Membedah Demokrasi...
Angin Perubahan Politik
KUALA LUMPUR, - Angin perubahan telah bermula di dunia Islam terutama di awal abad 15 hijrah ini. Kekuatan pasukan keselamatan regim Shah Iran telah dicabar oleh rakyat. Demonstrasi rakyat dengan tangan kosong dan genggaman penumbuk dihala ke udara, slogan dan hasrat yang sama dengan menolak regim facist Shah.
Kekuatan pasukan keselamatan berpecah apabila ribuan rakyat tangan kosong ditembak dengan muntahan peluru yang dibekal oleh USA dan sekutu barat. Kerajaan baru yang bermula dengan referandum dari rakyat, amat diharap memulakan era baru di dunia islam. Kekuatan pasukan keselamatan digunakan untuk melindungi rakyat dan menggerunkan musuh Islam, musuh negara, dan musuh kemanusiaan. Sudah tentu pencapaian revolusi Islam di Iran masih lagi kita tidak berpuas hati, diharap kekuatan negara dan ketenteraan adalah untuk melindungi rakyat, negara dan melindungi Islam seperti yg dihasratkan oleh rakyat terbanyak(majoriti) di negara tersebut.
Regim Suharto yang menggunakan kekuatan ABRI dan kepolisan untuk mempertahankan kekuasaannya akhirnya terbang dengan gerakan rakyat terutama mahasiswa. Reformasi pemerintahan berlaku setelah regim rakus Suharto diganti oleh gerakan Revolusi Rakyat. Polis dan ABRI diharap memainkan peranan melindungi rakyat dan melindungi negara bukan lagi melindungi regim pemerintah. Demokrasi yang berjalan di Indonesia sekarang, membolehkan rakyat menukar mana-mana regim yang mereka tidak setuju.
Majoriti rakyat menentukan pemerintah bukan lagi pemerintah(regim) memaksa rakyat untuk menerima mereka. Perubahan di Indonesia amat memberi harapan baru kepada umat Islam dan rakyat di dunia ke-3. Kekuatan ABRI dapat digunakan untuk melindungi rakyat, melindungi islam (dan lain-lain agama) dan melindungi kemanusiaan. Negara teramai umat Islam di dunia diharap dapat muncul sebagai negara contoh untuk melindungi golongan mustad'afin bukan menjadi tali barut mustakbirin.
Sudah tentu paling menggembirakan umat Islam dan rakyat di dunia ke-3 apabila melihat revolusi dan perubahan di Mesir. Regim yang tidak pernah mengamalkan demokrasi sejak zaman Jamal Abdul Nasir, Anwar Sadat dan regim zalim dan diktator diharap berakhir dengan terbangnya Hosni Mubarak. Ikhwan Muslimin dan lain-lain gerakan berhaluan kiri yang selama ini sentiasa memenuhi ruang penjara di Mesir, diharap ianya menjadi episod sejarah. Negara Mesir yang kaya dengan berbagai tamadun akan berubah(amat diharap) ke arah tamadun kemanusiaan dan peradaban Islam.
Kekuatan pemerintah diharap selepas ini digunakan untuk melindungi rakyat dan kemanusiaan dan menggerunkan golongan mustakbirin. Demokrasi yang bakal diperoleh di Mesir diharap dapat membuka lebaran baru umat Islam di abad ini. Pemerintah orang Islam terutama selepas perang dunia ke-2 di negara-negara orang islam di antara kerja adalah 'mengambil nyawa rakyat' dan memberhentikan aktiviti rakyat yang tidak sehaluan dengan pemerintah. Permulaan perubahan demokrasi di Mesir diharap menjadi pemangkin perubahan kepada negara-negara Arab di sekeliling Mesir yang masih memerintah dalam bentuk 'perimitif' seperti di negara beraja di Telok, di Libya, Algeria dan negara Arab yang lain.
Melalui perubahan di Mesir, kita harap angkatan tentera dan pasukan keselamatan yang besar akan memainkan peranan melindungi rakyat tak kira apa agama atau suku kaum, sebaliknya angkatan tentera yang besar itu digunakan untuk menamatkan regim rakus dan zalim Zionis Israel.
Negara Arab akan keluar dari alam facist dan pemerintah primitif satu demi satu bermula dari Mesir, Tunisia, Yaman, dan diikuti oleh Bahrain dan seluruh negara Telok. Demokrasi yang menjadi idaman rakyat akan menjadi kenyataaan di seluruh dunia Islam. Negara dan pasukan keselamatan yang kuat akan digunakan untuk melindungi rakyat, melindungi Islam, melindungi kemanusiaan dan bukan digunakan untuk melindungi regim.
Cukuplah sudah umat Islam kehilangan tamadun(civilised) ratusan tahun lalu. Abad 15 hijrah membawa sinar demokrasi dan umat Islam kembali menggamit ketamadunan yang pernah mereka pelopori dan menikmati perubahan yang bermula di Iran(1979), perubahan di Turkey, kemenangan parti pro-Islam dalam pilihanraya, reformasi dan demokrasi di Indonesia 1997, kebangkitan rakyat di dataran Tahrir, Mesir 2011 memang membawa harapan baru di dunia Islam dan dunia ketiga. Dominasi barat boleh ditamatkan atau dikurang dengan kemunculan kekuatan dan tamadun baru di dunia Islam.
Hj Mohamad Sabu



