Mansuh PPSMI: PAS
sokong GMP

18 Julai 2009

KUALA TERENGGANU, - Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Abu Bakar Chik berkata pendirian PAS sebagai sebuah gerakan massa tetap akan bersama-sama menentang gerakan memansuhkan Pengajian dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI).

Katanya, PAS tidak akan berhenti dalam menangani isu PPSMI tersebut sehingga pemansuhan dasar itu betul-betul jelas.

"Kita (PAS) menyokong usaha yang dibuat oleh Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) dan dia (GMP) bergerak di tiap-tiap buah negeri. Dan PAS sebagai gerakan massa (politik) bersama-sama dalam gerakan menentang PPSMI ini.

"Kita (PAS) tidak akan berhenti masalah (isu) ini sehingga pemansuhan itu betul-betul jelas.

"Sebenarnya, isu (pemansuhan) ini tidak jelas. Bila mula dan bila akhir. Sebab itu, banyak pihak yang tidak puas hati," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis terhadap isu PPSMI di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, semalam.

Ustaz Abu Bakar yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat mahukan pemansuhan dasar PPSMI itu dikuatkuasakan serta merta dan bukan tahun 2012.

Manakala, katanya peringkat-peringkat penghapusan itu boleh dibuat pilihan dalam menjawab bahasa Melayu atau bahasa Inggeris sehingga habis pusingan.

"Pemansuhan mesti berkuatkuasa serta merta dan peringkat-peringkat penghapusan itu bolehlah buat pilihan menjawab di dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris sehingga habis pusingan yang sedang berjalan sekarang."

Namun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan pemansuhan PPSMI itu bagi 'memancing' undi dalam pilihan raya kecil di N41 Manek Urai pada 14 Julai 2009 lalu.

-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-

-Oleh : Khairul Azlam Mohamad-


Pemansuhan PPSMI
dicurigai, kenapa 2012?

13 Julai 2009

KUALA LUMPUR, - Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menyifatkan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), yang berkuat kuasa 2012, terlalu lambat.

Pengerusi Lajnah Pendidikannya, Wardatul Jannah As-Sofea berkata, sepatutnya PPSMI sudah lama dimansuhkan kerana pelaksanaannya lebih kurang enam tahun lalu dilakukan secara tergesa-gesa

Ujarnya yang dihubungi baru-baru ini, soal pendidikan anak-anak bangsa tidak perlu diperjudikan atas faktor sentimen atau menerima tekan dari pelbagai pihak.

"Mengapa perlu tunggu sehingga 2012 kerana sejak dilaksanakan pada tahun 2003 dulu kira-kira enam meja bulat dibuat bagi memansuhkannya jadi tidak perlu dilewatkan lagi," tegasnya,

Malah katanya, beliau curiga pemansuhan PPSMI itu sebagai gula-gula pilihan raya untuk memenangi pilihan raya manek Urai.

"Kesangsian kami tetap ada dan kerana bagi kami sepatutnya ia dibuat lebih awal daripada tarikh tersebut," katanya.

Rabu lalu, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kabinet memutuskan mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.

Pelaksanaan PPSMI yang dilaksanakan kira-kira enam tahun lalu mendapat bantahan daripada pelbagai pihak dan kemuncaknya perarakan 100 ribu rakyat mansuhkan PPSMI ke Istana Negara pada 7 Mac lalu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) Dato' Baha Zain berkata, walaupun pemansuhan PPSMI oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat sebagai keberanian tetapi dalam hal bahasa kebangsaan ia bukan sekadar untuk dikembalikan pelajaran Matematik dan Sains kepada bahasa kebangsaan sahaja.

Katanya, yang perlu disertakan kerajaan satu perancangan yang mempunyai strategi baru untuk perhebatkan Bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu pengetahuan.

"Kalau tidak ia tidak ada makna apa-apa. Apa yang dimantapkan di sekolah itu harus juga diperhebat penggunaannya dalam masyarakat dan juga sektor-sektor kerajaan dan swasta.

"Kalau tidak Bahasa Melayu akan menjadi 'pulau' di sekolah sedangkan di luar persekitarannya orang masih mengagungkan dan mengutamakan Bahasa Inggeris," katanya.

Malah ujarnya, jika kerajaan hanya tumpukan di sekolah ia akan hilang keyakinan ibu bapa dan masyarakat di mana Bahasa Inggeris hanya dipentingkan di sekolah.

Sebaliknya beliau berkata, dalam kehidupan praktikal harian dalam sektor swasta dan awam ia tidak dikembangkan.

Tegasnya, untuk betul-betul memberi erti dan mengembalikan martabat Bahasa Melayu ia harus diperkukuh di dalam sekolah dandi luar sekolah.

Kerana itu katanya, kerajaan perlu mempunyai satu keazaman politik untuk memebina dan merancang secara struktural peningkatan keupayaan Bahasa Melayu sama dengan bahasa ilmu pengetahuan moden.

"Jangan terlalu banyak merisaukan rungutan-rungutan penentangan Bahasa Inggeris.

"Lagi pun masyarakat kita terlalu taksub terhadap Bahasa Inggeris saja seolah-olah menjadi lampu ajaib aladin yang boleh menyelesaikan segala masalah hidup dan mati.

"Ini satu pandangan yang sempit yang ditanam oleh penjajah budaya barat," katanya.

Beliau berkata, kerajaan jangan hanya sekadar menyelesaikan status bahasa Melayu di sekolah-sekolah tetapi harus melihat dalam konteks yang lebih besar iaitu keseluruhan pembinaan sahsiah dan tamadun bahasa tidak harus dibayangi Bahasa Inggeris.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Guru-guru Malaysia Barat, Mohamed Sabri Arshad berkata pemansuhan PPSMI adalah tuntutan rakyat Malaysia. Katanya, semua orang hendakkan pelajaran Sains dan Matematik dikembalikan dalam Bahasa Malaysia.

"Maknanya selepas ini kita boleh mendaulatkan kembali bahasa kita sebagai bahasa rasmi," katanya sambil menyambut baik pemansuhan tersebut.

-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-

-Oleh : Roy Rasul-


PPSMI: Bukan mansuh di sekolah
sahaja tetapi juga universiti

11 Julai 2009

KUALA LUMPUR, - Selaras dengan Akta Pendidikan 1996, pemansuhan PPSMI tidak seharusnya terbatas di peringkat sekolah sahaja kerana Akta Pendidikan turut merangkum sistem pendidikan di peringkat pengajian tinggi.

Bagi Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China, Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Beijing, Prof. Dr. Awang Sariyan, kerajaan seharusnya bertegas dalam pelaksanaan dasar bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama di peringkat Matrikulasi, Tingkatan Enam dan Institusi Pengajian Tinggi.

Jelasnya sewaktu dihubungi Harakahdaily semalam, keputusan memansuhkan PPSMI itu bertepatan dengan hujah dan alasan perjuangan pejuang-pejuang bahasa selama ini.

Dengan keputusan ini juga katanya, diharapkan kerajaan tidak akan mengulangi kesilapan pada waktu akan datang dengan melaksanakan sesuatu dasar yang bertentangan dengan dasar negara serta tidak berdasarkan kajian mendalam lebih dahulu.

Beliau juga menegaskan, pemansuhan tersebut membuktikan PPSMI bukanlah kaedah yang betul dan berkesan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris serta sains dan matematik di kalangan pelajar.

Jelas Presiden Persatuan Linguistik Malaysia ini juga, pelaksanaan kembali bahasa Melayu dalam pengajaran matematik dan sains menunjukkan dasar negara dalam bidang pendidikan telah sebahagiannya dikembalikan menurut undang-undang negara, iaitu akta Parlimen tentang kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara.

Sehubungan itu katanya, kerajaan seharusnya perlu itiqamah dan konsisten dalam mempertahankan dasar negara yang betul dan baik.

-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-

-Oleh : Nyza Ayob-


Samad Said: Bahasa Inggeris
dapat RM5 bilion, bahasa Melayu
dapat berapa?

11 Julai 2009

KUALA LUMPUR, - Sasterawan Negara Dato' A Samad Said berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan sewajarnya untuk memartabatkan bahasa Melayu di sekolah-sekolah sebagaimana yang diberikan untuk pengukuhan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.

Menurut Bernama, beliau berkata sekiranya kerajaan seperti yang dilaporkan memperuntukkan hampir RM5 bilion bagi mengukuhkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah, ia seharusnya boleh dilakukan terhadap bahasa Melayu.

"Saya ingin tahu juga, untuk memartabatkan bahasa Melayu berapa jumlahnya," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran buku antologi sajak bertajuk "Mengabdi, Melestari" sempena ulang tahun ke-30 Permodalan Nasional Berhad (PNB), di sini Jumaat.

Peruntukan RM5 bilion itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Dr Puad Zarkashi di Dewan Negara semalam.

Sementara itu A Samad Said yang juga Penasihat Gerakan Memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), menyifatkan pengumuman Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai PPSMI sebagai bukan pemansuhan PPSMI, tetapi menangguhkan pemansuhan.

"Cuma yang saya tidak setuju, ia (pemansuhan PPSMI) bukan sekarang, bukan tahun depan tetapi ia 2012," katanya.

Bagaimanapun, katanya beliau memahami bahawa pemansuhan itu tidak dapat dilakukan serta merta dan kesediaan kerajaan memenuhi tuntutan rakyat itu sudah cukup baik.

-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-


Kenyataan Media
Gerakan Mansuhkan PPSMI

10 JULAI 2009

KUALA LUMPUR

Berikut adalah kenyataan media Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) berhubung pemansuhan dasar itu pada 2012 oleh kerajaan tempoh hari:-

Kenyataan Media 9 Julai 2009

Gerakan Memansuhkan PPSMI(GMP) mengucapkan jutaan terima kasih kepada Y.A.B Tan Sri Muhyiddin Bin Yassin selaku Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang telah mengumuman pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) sepenuhnya tahun 2012.

-Bagi kami ini bererti bahawa mulai tahun 2010 semua pelajar baru tahun satu sekolah kebangsaan/sekolah jenis kebangsaan, sekolah menengah tingkatan 1 dan sekolah menengah tingkatan 4 akan memulakan sesi baru tahun 2010 dengan menggunakan bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda sepenuhnya.

- Untuk tujuan itu kementerian seharusnya telah bersedia untuk menyediakan buku teks dan bahan-bahan yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa kebangsaan atau dalam bahasa ibunda.

- GMP penuh berharap agar perubahan ini berlaku bukan sahaja di peringkat sekolah rendah atau sekolah menengah sahaja malah meliputi semua peringkat pendidikan termasuk peringkat universiti.

- GMP perihatin terhadap para pelajar sekolah yang penguasaan ilmu sains dan matematiknya bertaraf rendah akibat kegagalan memahami bahasa Inggeris. Sehubungan itu GMP berharap pihak Kementerian Pelajaran hendaklah mengadakan kelas pemulihan untuk membaiki pencapaian mereka setaraf dengan mutu pelajaran sains dan matematik sebelum 2003.

- Pemansuhan PPSMI ini adalah suatu kejayaan kepada perjuangan rakyat. Bagi menghargai sokongan rakyat terhadap perjuangan ini maka Sambutan Pemansuhan PPSMI akan diadakan pada ahad 19hb Julai 2009 jam 9.00 di Stadium Baru Bandar Bangi, Selangor. Semua dijemput hadir.Sekian Terima Kasih

Pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP), Dato' Dr. Hassan Ahmad

Dipetik Dari HarakahDaily.net


PPSMI: Kerajaan cuma
tangguhkan pemansuhan bukan
mansuhkan terus - Pak Samad

9 JULAI 2009

KUALA LUMPUR

Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said menganggap kerajaan hanya menangguhkan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) bukan memansuhkan terus dasar gila tersebut.

Beliau juga menegaskan tidak ada sebab bagi kerajaan menangguhkan pemansuhan dasar tersebut hingga ke tahun 2012 sedangkan ketika mahu melaksanakannya ia boleh dilakukan dalam tempoh enam bulan.

Pengumuman Menteri Pelajaran, tegas beliau, bersifat mengumpan rakyat untuk menghadapi pilihan raya kecil Dun Manek Urai dan juga pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Apa yang diumumkan oleh Muhyiddin itu hanya menangguhkan pemansuhan PPSMI bukan memansuhkannya terus.

"Jika benar mansuhkan, sepatutnya tahun depan semua pelajar tahun satu, tingkatan satu dan tingkatan empat sudah mula belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.

"Alasan mengatakan untuk mansuhkan perlu ambil masa tidak logik kerana ketika Perdana Menteri keempat dahulu mahu laksanakan hanya boleh ambil masa enam bulan, kenapa Perdana Menteri keenam perlu ambil masa tiga tahun untuk mansuhkan?" soal beliau.

Pak Samad juga menegaskan perjuangan untuk melestarikan bahasa Melayu akan tetap diteruskan biarpun beliau merasa lega dengan pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Tegas beliau lagi, demonstrasi jalanraya perlu diadakan sekali lagi tanda komitmen seluruh rakyat membantah PPSMI dan mendesak kerajaan segera memansuhkannya.

"Setiap perkara yang tidak dapat diselesaikan di dalam dewan rakyat perlu diadakan demonstrasi dan demonstrasi itu halal," tegas beliau dalam satu wawancara yang diadakan dengan Harakah yang akan disiarkan dalam keluaran akan datang.

Semalam, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai 2012.

Dipetik Dari HarakahDaily.Net

Irwan Muhammad Zain | foto Nasir Sudin


Pemansuhan PPSMI hasil
perjuangan rakyat

9 JULAI 2009

KUALA LUMPUR

Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengalu-alukan tindakan pihak kerajaan memansuhkan dasar PPSMI yang telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pelajaran sejak dari tahun 2003.

Tindakan pemansuhan ini adalah juga hasil dari kempen berterusan dan perjuangan yang dilakukan oleh pihak pejuang bahasa, pakar pendidikan, pengkaji, ibubapa pelajar, badan-badan bukan kerajaan (NGO), parti politik seperti PAS dan pelbagai lapisan masyarakat.

Keputusan pemansuhan ini dilaksanakan setelah ratusan juta wang rakyat dihabiskan untuk melaksanakan satu dasar yang tidak mengalami proses kajian dan perbahasan yang teliti, di samping ianya adalah merupakan satu ujikaji yang akhirnya mendatangkan kesan yang buruk kepada generasi anak-anak.

Para pengkaji dan ibubapa juga sebenarnya telah menilai prestasi pelajar dan jurang pencapaian matapelajaran Sains dan Matematik yang semakin melebar di antara pelajar luar bandar dan di kawasan kosmopolitan.

Selain dari penekanan bahasa Inggeris oleh pihak kerajaan, PAS juga berpendapat bahawa bahasa-bahasa ibunda yang ain juga perlu diberi ruang yang secukupnya untuk dipelajari oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini.

PAS juga menyeru pihak kerajaan supaya memperbetulkan kesilapan lalu apabila pihak kerajaan pimpinan Umno juga meneruskan sistem yang melemahkan bahasa Melayu dan peranannya dalam ilmu sejak beberapa dekad yang lalu apabila digubal Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

Tindakan ini sangat memalukan kerana rakan-rakan kita kaum Cina dan India dapat mempertahankan tulisan dan bahasa masing-masing, sedangkan tulisan jawi Bahasa Melayu dipinggirkan oleh dasar yang digubal oleh Umno sendiri. Oleh yang demikian, penggunaan bahasa Melayu bertulisan jawi juga mestilah diperkenalkan semua.

PAS berpendapat bahawa episod ini menyerlahkan beberapa kepincangan dalam pengenalan dasar dan pelaksanaan oleh kepimpinan negara.

Pertama, dasar yang sebegini besar dan melibatkan beberapa generasi pelajar khususnya, seharusnya melalui proses kajian dan perbahasan yang lebih mendalam sebelum ianya dapat dilaksanakan.

Ianya bukan sahaja melibatkan perbelanjaan yang menjangkau ratusan juta ringgit, tetapi juga telah menjadikan pelajar sebagai satu objek ujikaji dengan membuat dasar berpandukan kepada pandangan satu dua orang pemimpin negara semata-mata.

Dalam hal ini juga, pihak kerajaan hanya memandang sepi dan menunjukkan sikap berdegil terhadap semua pandangan yang mempertikaikan keberkesanan PPSMI di awal pengenalannya.

Kedua, pihak kerajaan tidak mempunyai satu mekanisme yang cekap dalam membuat penilaian segera terhadap pengenalan dasar ini, terutamanya dari segi keberkesanan dan juga audit perbelanjaan peruntukan yang telah dibelanjakan sewenang-wenangnya.

Seluruh episod ini sebenarnya menyebabkan kita juga berhak mempersoalkan kewajaran dasar-dasar besar yang lain, samada telah melalui proses-proses yang ketat sebelum ianya diperkenalkan.

Dipetik Dari HarakahDaily.Net

Oleh: Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang


Selesai urusan kroni punca
pemansuhan PPSMI
dikuatkuasa 3 tahun lagi!

9 JULAI 2009

KUALA KRAI

Keliru. Penghapusan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hanya dibuat tiga setengah tahun lagi dan bukan sekarang.

Inilah isu yang perlu diketahui ibu bapa. Mengapa kerajaan perlu mengambil masa tiga tahun lagi untuk menguatkuasakan penghapusan PPSMI. Persoalan ini seharusnya dijawab kerajaan kerana dibimbang ada agenda di sebaliknya.

Naib Presiden PAS Dato Mahfuz Omar berkata, penguatkuasaan pada 2012 agak terlewat setelah ia diperkenalkan pada 1999.

Katanya, beliau antara pihak yang terlibat menentang keras PPSMI pada peringkat awal kerana sudah menyedari tindakan tersebut merugikan anak Melayu terutamanya mereka yang tinggal diluar bandar.

"Saya yakin langkah yang diambil Timbalan Perdana Menteri menghapuskan PPSMI pada 2012 untuk memastikan kontraktor pembekal dan kroni yang mendapat anugerah membekalkan peralatan ICT mendapat manfaat sepenuhnya," katanya pada program ceramah di Manjor semalam.

Hadir sama pada ceramah itu, Bendahari PAS Dr Mohd Hatta Ramli, anggota jawatankuasa PAS, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali dan anggota Parlimen Jerai, Ustaz Firdaus.

Semalam Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan dasar PPSMI akan dimansuhkan kerajaan berkuatkuasa pada 2012.

Mahfuz juga menempelak segelintir pemimpin Umno yang dulunya beria-ia menyokong PPSMI yang dilaksanakan Tun Dr Mahathir Mohamad, tiba-tiba hari ini menyokong pula pembatalan tersebut.

"Tuan-tuan boleh lihat sendiri setelah sekian lama pihak pembangkang bersama Gerakan Mansuhkan PPSMI mengadakan pelbagai bantahan, menghantar memorandum, menghimpunkan 100,000 rakyat, tiba-tiba mereka yang dahulu menyokong dasar itu mengambil tindakan sebaliknya.

"Tidakkah ini dinamakan sebagai sikap hipokrit yang memperlihatkan kepentingan diri dan bukan untuk faedah masyarakat," katanya.

PAS telah lama desak...

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, perjuangan pelbagai pihak termasuk PAS bagi mendesak kerajaan menghapuskan PPSMI akhirnya menjadi kenyataan biar pun perkara itu berkuatkuasa tiga tahun lagi.

Katanya, beliau melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga apabila kerajaan terpaksa akur dengan desakan seluruh rakyat bagi menghapuskan PPSMI.

"Saya adalah antara orang yang paling gembira kerana pembatalan PPSMI itu kerana ia banyak menyusahkan rakyat terutama pelajar sekolah dan guru," katanya.

Beliau berkata, bagi melahirkan masyarakat yang maju dalam pelbagai bidang tidak seharusnya mereka mesti belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Ini kerana katanya telah terbukti kejayaan yang dicapai mereka dalam pelbagai bidang sebelum ini tidak melalui dasar PPSMI.

"Saya kerap kali memberitahu rakan-rakan termasuk sasterawan. Saya menceritakan kepada mereka pejabat saya kerap didatangi pegawai tinggi dari Thailand yang tak boleh berbahasa Inggeris dan juga Melayu, tetapi mereka maju dalam bidang pertanian.

"Bukan itu sahaja, mereka juga berjaya meningkatkan maju dalam bidang pertanian hanya menggunakan bahasa ibunda.

"Perubahan itu sebenarnya berkait rapat dengan fitrah manusia di mana bahasa itu sendiri sebagai nikmat dari Allah untuk berhubung antara satu dengan yang lain.

"Oleh itu saya syukur kepada Allah SWT hasil tentangan habis habisan dari rakyat peringkat bawahan sampai sasterawan Negara yang berarak ke sana sini akhirnya kerajaan terima biar pun penguatkuasaannya hanya tiga tahun lagi," katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan terpaksa membelanjakan begitu besar peruntukan sebelum ini kerana melaksanakan dasar PPSMI biar pun sejak awal lagi rakyat menentang.

"Berapa banyak peruntukan kerajaan keluarkan untuk mencetak buku baru pembelajaran PPSMI, menyediakan kemudahan ICT dan kursus untuk guru dan pelbagai lagi.

"Oleh itu saya doakan mudah-mudahan perkara ini tidak berulang lagi pada masa depan. Sila dengar sungutan rakyat.

"Langkah kerajaan membatalkan PPSMI membuktikan pemimpin BN mengaku melakukan kesilapan paling besar," ujarnya.

Beliau juga mempersoalkan mengapa kita tidak memtingkatkan mutu bahasa ibunda melalui Dewan Bahasa Dan Pustaka dengan mencipta lebih banyak lagi istilah-istilah baru.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Mobalisasi, Suhyaizan Kaiat berkata, pemansuhan PPSMI sebenarnya kejayaan perjuangan rakyat antaranya perhimpunan 100,000 rakyat.

Sahaizan yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat berkata, sebelum itu kerajaan tidak pernah berfikir untuk menghapuskan PPSMI biar pun ditentang rakyat dari awal lagi.

Bantah ISA pula

Mahfuz juga berkata, rakyat hendaklah datang beramai-ramai pada 1 Ogos ini untuk membantah Akta ISA.

Beliau yang juga anggota parlimen Pokok Sena mendakwa Perdana Menteri melantik sebuah syarikat yang dikenali APCO Worldwide semata-mata bagi menarik sokongan rakyat kepada kepemimpinan beliau dengan menggunakan duit kerajaan.

Bagaimanapun kata beliau usaha Dato' Seri Najib Razak untuk meraihkan kembali sokongan rakyat nampaknya kurang berkesan memandangkan terdapat banyak tekanan diterima termasuk oleh Dr Mahathir.

Mahfuz juga berharap Perdana Menteri menjelaskan ke mana duit Petronas sebanyak RM254 billion digunakan kerajaan dalam tempoh enam tahun sejak era Tun Abdullah Ahmad Badawi sehingga sekarang.

"Kalau dulu masa Tun Mahathir memerintah kita boleh lihat projek mega seperti pembinaan Litar Formula 1 Sepang, Menara Petronas, tetapi tidak nampak apa yang dibua semasa pemerintahan Abdullah," ujarnya.

Dr Lo' Lo' berkata, sepanjang kempen di Dun Manek Urai kita lihat Umno dan BN banyak menyalahgunakan peralatan kerajaan dalam kempen mereka termasuk sekolah, polis, tentera dan kakitangan hospital.

"Kita datang ke sini bersama jentera parti. Kita terpaksa guna perbelanjaan sendiri, sedangkan mereka datang guna jentera kerajaan, diangkut guna helikopter. Dah berapa ratusan ribu duit rakyat hilang begitu sahaja," katanya.

Dipetik Dari HarakahDaily.Net

Oleh: Salmah Mat Husain & Mohd Nor Yahya | Foto Miji


Mansuhkan PPSMI:
Kemenangan Rakyat

9 JULAI 2009

KUALA LUMPUR

Berikut adalah kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad berhubung pengumuman pemansuhan PPSMI 2012 oleh kerajaan semalam:-

Kenyataan Media 8 Julai 2009

Satu kemenangan untuk rakyat dengan PPSMI dimansukhkan mulai 2012, demikian diumumkan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin, susulan keputusan mingguan jemaah menteri pagi ini. Beliau membuat pengumuman jam 2.30 petang 8hb Julai 2009 di kementeriannya di Putrajaya.

Di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik, sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing.

Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing.

Rumusan boleh diambil daripada keputusan ini,

1.Menunjukkkan bahawa pentingnya rakyat mesti bersatu.

2. Pas telah mendahului dalam menentang dasar ini sehingga menyaman kementerian pelajaran. Dalam Muktamar Pas pada 5hb Jun 2009 telah menganugerahkan tokoh bahasa kepada Dato' Ahmad Said, Dr Hassan Ahmad dan Prof Dr. Abdullah Hassan. Menunjukkan bahawa Pas serius dalam isu ini.

3. Menunjukkan bahawa Umno adalah pengkhianat bangsa dan bahasa sendiri.

4.Penglibatan golongan sastrawan seperti Dato' Samad Said dan Dato' Dr Hasan Ahmad adalah penyumbang besar kejayaan ini.

5. Keberanian Prof Dr Abdullah Hassan, Prof Dr Shahrir Mohd Zin, Prof Nik Sapiah Karim adalah penyumbang besar kepada kejayaan rakyat. Semangat mereka perlu dicontohi oleh mereka yang berada di menara gading. Jangan kita ada ijazah berjela-jela tetapi mempunyai semangat kerdil.

6.Tahniah juga kepada semua rakyat yang telah menjayakan himpunan 100 ribu rakyat untuk mansukh PPSMI pada 7 Mac 2009. Sehingga terpaksa menelan gas pemedih mata dan dibelasah oleh FRU.

Dipetik Dari HarakahDaily.Net


PPSMI dimansuhkan mulai 2012

8 JULAI 2009

KUALA LUMPUR

Dikemaskini 5.05pm Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sepenuhnya tiga tahun lagi, demikian diumumkan menteri pelajaran.

Tan Sri Muhyiddin Yassin itu berkata di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar dua matapelajaran itu.

Sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing, tambahnya.

Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing pada 2014.

Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mendapat semakin banyak bantahan, khususnya sejak awal tahun ini apabila sekumpulan aktivis bahasa berjaya menggerakkan ribuan orang berarak ke Istana Negara.

Dalam sidang media khas di Putrajaya, Muhyiddin berkata kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi kementeriannya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran bahasa Inggeris.

"Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai PPSMI sejak dasar ini mula dilaksanakan pada 2003," katanya.

Muhyiddin menyebut beberapa kelemahan besar dalam PPSMI yang mendesak kerajaan mengembalikan dasar bahasa pengantar untuk pengajaran dua subjek teknikal itu.

Rentetan pelaksanaan PPSMI

Julai 2002 - Mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Januari 2003 - Dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah

Januari 2007 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah

Januari 2008 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah

Mac 2009 - Lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Ia didukung Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."

Mei 2009 - Kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus mencipta rekod sejarah budayawan menentang dasar kerajaan tersebut.

Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara."

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."

Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012..

Dipetik Dari MalaysiaKini


Demo PPSMI 7 MAC 2009



Demo PPSMI : Polis Ganas???



Demo PPSMI : Perkarangan Masjid Negara



Demo PPSMI : Dihujani Gas Polis



Demo PPSMI : Kezaliman Polis