" KOLEKSI BERITA NO:2 "
RAKAMAN HIMPUNAN BANTAH ISA - JAM 11.OO PAGI
"LAGI VIDEO RAKAMAN DEMO ISA 1"
"LAGI VIDEO RAKAMAN DEMO ISA 2"
"LAGI VIDEO RAKAMAN DEMO ISA 3"
"LAGI VIDEO RAKAMAN DEMO ISA 4"
"LAGI VIDEO RAKAMAN DEMO ISA 5"
"LAGI VIDEO RAKAMAN DEMO ISA 6"
"LAGI VIDEO RAKAMAN DEMO ISA 7"
"LAGI VIDEO RAKAMAN DEMO ISA 8"
Hassan Ali, Ronnie Liu
sepakat isu 'Arak' selesai
KUALA LUMPUR, - Pesuruhjaya PAS Selangor Dato' Dr Hassan Ali bersama Exco DAP Ronnie Liu menyatakan kata sepakat isu penjualan Arak dianggap sudah selesai.
Kedua-dua mereka dilihat berjabat tangan dan berdamai secara terbuka di satu sidang media bersama di Tropicanna dekat sini petang tadi.
Dalam kenyataan kedua-dua belah pihak, mereka bersetuju bahawa penjualan arak dibenarkan bagi orang bukan Islam.
Namun ianya mesti dikawal dan tidak dibenarkan kepada orang Islam. Dalam masa yang sama, difahamkan, kedua-duanya bersetuju bahawa tidak ada permit baru akan dikeluarkan bagi tujuan penjualan minuman beralkohol itu.
Turut hadir di sidang media yang dibuat sejurus selepas Seminar Pakatan Rakyat di Tropicana, ialah Penasihat KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung PAS Dato' Mustafa Ali beserta barisan pimpinan parti masing-masing.
Dalam sidang media itu Anwar menyatakan bahawa penubuhan Jawatankuasa Displin Pakatan Rakyat akan ditubuhkan di peringkat pusat bagi memantapkan lagi dasar dan pelan tindakan pemimpin Pakatan Rakyat.
Seminar itu juga adalah bertujuan memperkukuhkan Pakatan Rakyat sekaligus cuba menangkis pelbagai tohmahan dan serangan 'pyswar' yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) dan Umno mutakhir ini.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh : Hazayani & Dzulfikar Mashoor| Foto Wan Zahari-
MOTIVASI RAKYAT SIRI 7
BERSAMA HJ MOHD SABU
Ikuti Motivasi Rakyat Siri 7 oleh Hj Mohd Sabu di Surau Kg Baru, Tambak Bunga
Ikuti penjelasan selama 1 jam oleh HJ MOHAMAD SABU dalam siri kuliah beliau.
Jangan lupa hadir beramai-ramai.
Kemaraan rakyat tidak
mampu lagi dihalang kerajaan BN
KUALA LUMPUR, - Biar pun lebih setahun gelombang kebangkitan rakyat memuncak, namun belum nampak tanda-tanda ia kembali reda. Sebaliknya momentum itu terus membengkak.
Perhimpunan di jalan raya tidak pernah surut biar pun berdepan dengan ugutan dan tangkapan oleh polis.
Bermula dengan himpunan Bersih, Hindraf,PROTES, PPSMI dan semalam Mansuhkan ISA tetap mendapat sambutan biar pun risikonya tinggi.
Secara jelas pemerhati politik melihat rakyat semakin berani meluahkan rasa tidak puas hati mereka biar pun terpaksa berdepan dengan tangkapan polis.
Petang semalam sekali lagi puluhan ribu rakyat prihatin tidak patah semangat turun berdemontrasi di jalan raya menuntut dimansuhkan ISA, sebuah akta yang dianggap tidak bertamadun.
Sehingga jam 11 malam tadi polis Kuala Lumpur dilaporkan memberitahu seramai 589 peserta demontrasi aman termasuk 44 remaja bawah umur 18 tahun dan 40 wanita ditangkap di bawah Akta Polis 1967.
Turut ditahan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta pelajar sekolah menengah.
Pengerusi KeADILan Kelantan, Abdul Aziz Kadir berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) kini benar-benar terdesak apabila terpaksa memperalatkan pasukan polis bagi mengekang kebangkitan rakyat.
Bekas guru, Wan Yusof Wan Mustafa berkata, kerajaan BN tidak mampu lagi menghalang kemaraan rakyat biar pun digunakan begitu ramai anggota polis dan semburan gas pemedih mata.
"Teknik terdesak Umno menakutkan rakyat bagi menghalang kebangkitan mereka dengan menahan begitu ramai peserta demontrasi membangkitkan lagi kemarahan masyarakat.
"Rakyat makin bertambah faham dan berani menegak keadilan walaupun diancam dengan penahanan. Umno tiada pilihan lagi melainkan memansuhkan ISA," katanya di sini.
Beliau yang juga Adun Gual Ipoh berkata, memperlambatkan pemansuhan ISA akan mempercepatkan lagi proses kejatuhan kerajaan BN.
Katanya juga apa yang berlaku semalam polis seakan-akan menyediakan Umno tempat jatuh yang lebih tinggi sehingga tidak mampu bangkit lagi.
"Ini kerana perlembagaan tidak pernah menghalang perhimpunan secara aman, manakala tugas polis sepatutnya membantu melancarkan perarakan dan bukannya membuat provokasi dengan menembak gas pemedih mata dan water canon.
"Tanpa menahan rakyat yang berhimpun dan provokasi lain perarakan menyerah memorandum pastinya akan berjalan lancar," ujarnya.
Seorang pegawai pencen yang enggan dikenali berkata, kerajaan BN tidak mampu lagi menyekat kebangkitan rakyat biar pun terpaksa menggunakan ramai anggota keselamatan.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh : Lanjusoh-
Himpunan berjaya, GMI akan
hantar Memo 10 Deklarasi ISA
kepada Agong secepat mungkin
KUALA LUMPUR, - Sidang media khas yang diketuai Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi antara lain memutuskan akan menghantar Memorandum 10 Dekralasi ISA kepada Yang Dipetuan Agong dalam masa terdekat.
Sidang media turut dihadiri Lim Kit Siang; Dato Mustapha Ali, Dato' Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub, Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh serta beberapa pimpinan Pakatan Rakyat yang lain. Demikian lapor wartawan Harakah, NYZA AYOB dari Pejabat Agung PAS.
Oleh kerana sekatan dan kekangan polis yanga agak ketat, menyebabkan tiada siapa dari pimpinan GMI dan Pakatan Rakyat yang bolos ke Istana Negara. Sebaliknya semua kumpulan penyokong berpecah dan akhirnya menuju ke Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut.
Antara tuntutan 10 Deklarasi ISA itu ialah mahu kerajaan melaksanakan siasatan awam dan menyiasat semua kes penyiksaan, penganiayaan, kezaliman dan tidak berperikemanusiaan ISA selama ini.
Anwar menyifatkan Himpunan MANSUH ISA berjaya mencapai sasaran apabila lebih 100,000 penyokong Anti-ISA berkumpul di merata tempat sekitar Kuala Lumpur setelah di halang secara tegar oleh pihak polis.
Dianggar lebih 200 orang ditahan sebelum dan semasa perarakan. Antara ahli parlimen Pakatan Rakyat yang ditahan termasuklah Dr. Mujahid Yusuf Rawa dan Sivarasa Rasiah. Tengahari tadi pula, Norlaila Osman, Narshitah Mohd Nor dan Aiman Athirah Al-Jundi juga turut ditahan.
Kesemua mereka yang ditahan dipercayai telah di bawa ke IPD Cheras. Para peguam kini sedang berusaha untuk menyelesai dan membebaskan ke semua tahanan tersebut.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh : Tarmizi Mohd Jam-
Percubaan polis masuk
pejabat Agung PAS gagal!
KUALA LUMPUR, - Kira-kira jam 5.15 petang tadi, pihak polis cuba memasuki Pejabat Agung PAS dipercayai bagi menahan beberapa pimpinan utama Pakatan Rakyat.
Namun cubaan itu berjaya dipatahkan oleh anggota Unit Amal yang berkawal di Pejabat Agung PAS.
Pada jam 5.20 lima trak FRU mengawal di pejabat tersebut, namun beberapa minit selepas gagal memasuki Pejabat Agung PAS, mereka beredar.
Harakahdaily difahamkan, pimpinan utama Pakatan Rakyat masih berada di pejabat tersebut.
Sementara di Maju Junction, polis masih bertempur dengan peserta himpunan, namun lebih ganas dengan mengejar serta melemparkan gas pemedih mata.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh : Nyza Ayob dan Wan Nordin-
1 Ogos 2009 hari
membanggakan
rakyat Malaysia
KUALA LUMPUR, - 1 Ogos. Dari dalam LRT aku melalui Stesen Mesjid India. LRT itu berhenti tetapi pintu tidak dibuka. Tiada penumpang yang naik atau dibenarkan turun. Ada pengumuman sebelum itu bahawa LRT tidak berhenti di Stesen Mesjid Jamek dan Stesen Bandaraya kerana ada perhimpunan di Dataran Merdeka.
Apabila LRT Star yang aku naiki itu melalui kawasan berhampiran Dataran Merdeka, aku lihat padang Dataran itu kosong, tak ada manusia. Tidak menghairankan. Kawasan di situ dipenuhi dengan pasukan polis FRU lengkap dengan trak-trak merah mereka yang siap sedia dengan meriam air.
Bagaimanapun LRT itu kemudian berhenti di Stesen Bandaraya. Pintu kenderaan itu dibuka yang dikatakan sebelum ini tidak boleh turun. Aku segera turun.
Aku lihat Jalan Kucing telah dipenuhi sebahagiannya dengan penunjuk perasaan yang berbaju merah dan hitam. Kumpulan yang pertama aku lihat mereka sedang berarak ke arah Mesjid Negara. Kumpulan yang kedua berada di sekitar Kompleks Sogo. Aku turun dan menyertai kumpulan di Kompleks Sogo.
Tembakan bermula
Tidak sampai lima minit berada di situ tembakan gas pemedih mata kedengaran dan sesetengah orang ramai yang berhimpun mencari tempat selamat. Aku melihat pasukan polis memburu rakyat yang berhimpun untuk menyatakan bantahan mereka terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA yang telah berumur kini hampir 50 tahun.
Kehadiranku pada petang ini dalam perhimpunan mendesak supaya ISA dimansuhkan tidak penting. Sama ada aku datang atau tidak datang, anak-anak muda, aktivis-aktivis yang berani akan tetap menjayakan perhimpunan bersejarah ini untuk mengkuburkan ISA.
Aku yang telah agak tua ingin turut sama. Aku ingin sertai detik yang bersejarah ini. Aku tidak mahu malu pada diriku sendiri bersenang-senang di rumah pada hujung minggu sedangkan sebahagian rakyat yang sedar sedang berhempas pulas berdepan polis, gas, gari, tangkapan, undang-undang dan penjara untuk memperjuangkan hak demokrasi dan kebebasan rakyat dengan menentang ISA.
"Jangan lari," teriak satu suara.
Kemudian kelihatan orang kiri kananku lari. Orang yang berteriak jangan lari itu juga akhirnya lari apabila sebiji canister gas pemedih mata jatuh tak jauh dari kami. Ketika itu aku sedang berada di sebatang jalan antara Kompleks Sogo dengan sebuah bangunan bank berhadapan stesyen LRT Bandaraya.
Ada etika terhormat
Aku bukan hero. Jadi aku pun turut sama berundur ke arah Jalan Tuanku Abdul Rahman. Hanya aku ingatkan diri sendiri kalau berundur pun mesti ada etika secara terhormat, jangan lari cabut macam seorang penakut. Pengalaman masa muda-muda sewaktu mahasiswa dahulu mengajarku supaya jangan takut sangat pada gas pemedih mata.
Tapi kini sudah tua. Aku sentiasa memerhatikan di mana jalan selamat sekiranya diburu FRU.
Aku nampak anak-anak muda sungguh berani. Anak-anak muda yang ramai di tempat aku berada kelihataan begitu berazam menyatakan bantahan mereka terhadap ISA.
Mereka memakai baju-baju sama ada berwarna merah atau hitam yang tertulis dengan kata-kata antara lainnya "ISA Akta Zalim".
Bila diri sudah terasa tua, pada generasi mudalah harapan kita terletak supaya agenda perubahan masyarakat untuk keadilan dan kebebasan diteruskan. Dan aku hadir antara lainnya ialah untuk memberi sokongan kepada anak-anak muda yang berani berdepan polis dan alat negara dalam usaha membantah ISA.
Jika esok lusa aku mati, anak cucuku yang dapat membaca tulisan ini akan menyedari bahawa ayah atau datuk mereka pernah berada di atas jalanraya menuntut ISA dimansuhkan.
Perhimpunan menentang ISA di kawasan sekitar Sogo dan kemudian di Jalan Tuanku Abdul rahman ini disertai rakyat pelbagai kaum, peringkat umur. Orang yang berumur 50-an pun macam aku agak ramai. Lelaki dan perempuan. Kebanyakannya semuanya sudah merah mata masing-masing kerana pedih asap gas.
Tawar garam
Ada seorang muda yang kenal padaku menawarkan garam kepadaku untuk mengurangkan pedih. Aku ucapkan terima kasih, kerana masih boleh bertahan. Sebenarnya aku tak tahu bagaimana hendak menggunakan garam itu.
Tiba-tiba pasukan FRU memburu kami, dan seperti orang lain aku berundur ke lorong belakang Jalan Tuanku Abdul Rahman iaitu kawasan orang berniaga pakaian, kuih muih dan air. Aku harus berhati-hati supaya tidak terjerumus ke kuali minyak panas yang sedang mengoreng cempedak atau pisang.
Aku rasa aku telah tersilap berundur di kawasn sesak seperti itu.
Aku bergerak ke arah Jalan Mesjid India. Kemudian aku lihat sepasukan polis biasa berkaki ayam mengejar seorang pemuda pembantah ISA yang berpakaian t-shirt hitam dengan lambang anti-ISA, berumur lewat 20-an. Aku melihat jam di tangan.
Ketika itu pukul 3.05 petang, anak muda Melayu itu diheret oleh polis beruniform biru itu dan disumbat ke dalam kereta proton wira Polis berwarna putih. Aku tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu pemuda itu walaupun aku seorang peguam.
Begitu angkuh polis-polis yang menangkap pemuda itu dan mengherdik orang ramai di kawasan Jalan Mesjid India berhadapan Panggung Collesium. Tetapi aku lihat orang ramai tidak takut dengan jerit herdik itu. Orang ramai faham apa yang dibantah ialah ISA.
Dari segi undang-undang atau lebih tepatnya jurisprudence, aku dapat melihat di hadapan mata bagaimana rakyat biasa bangun untuk menentang satu undang-undang yang mereka anggap zalim.
Tekan suara rakyat
Aku dapat menyaksikan bagaimana jentera atau mesin negara dalam bentuk polis sedang menekan suara rakyat. Inilah jentera atau mesin negara dalam bentuk polis atau tentera yang selama ini bersama-sama undang-undang seperti ISA menjadi tunggak untuk sesebuah kerajaan berkuasa.
Hari 1 Ogos ini hari yang membanggakanku sebagai rakyat Malaysia. Ternyata kerajaan Barisan Nasional yang telah berkuasa lebih 50 tahun ini dengan dibantu oleh ISA sedang ditentang oleh rakyat jelata. satu waktu dulu hanya parti-parti politik pembankang, para pelajar dan intelektual membantah ISA.
Tetapi kini Kuala Lumpur pada petang Sabtu ini hampir lumpuh apabila rakyat bangun bersatu menyatakan bahawa ISA yang telah berumur 50 an itu mestilah dimansuhkan.
ISA tidak sesuai lagi dengan dunia sekarang yang rakyat semakin sedar hak kebebasan dan hak demokratik mereka sebagai rakyat dalam sebuah negara Malaysia yang merdeka.
Penahanan tanpa bicara yang menjadi asas ISA mesti ditentang. Rakyat telah nyatakan tuntutan mereka. Kerajaan BN yang ada sekarang perlu akur. Pindaan sekadar perubahan kosmetik tidak mencukupi.
Pemansuhan total ISA adalah tuntutan rakyat.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh : Hassan Karim-
BN-Umno kini 'lemas'
perlukan 'talian hayat'
KUALA LUMPUR, - Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyifatkan Barisan Nasional (BN) dan Umno dalam keadaan 'lemas dan memerlukan 'talian hayat' untuk memberikan suntikan oksigen agar dapat terus bernafas' untuk mendapat sokongan masyarakat.
Beliau berkata demikian sebagai respons kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menganggap Menteri Besar Kelantan,Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menghulurkan tangan untuk berbaik-baik dalam konteks PAS-Umno sedangkan Mursyidul Am PAS itu menegaskan kerjasama yang akan dijalinkan antara Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Pusat.
Jelas Idris, sebagai seorang Menteri Besar, Tuan Guru Nik Aziz menyatakan mengenai hak yang perlu diperolehi negeri berdasarkan konsep Persekutuan yang perlu difahami oleh pimpinan BN dan Umno hari ini.
"Apabila bercakap mengenai kerjasama antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri, ia amat berbeza dengan kerjasama antara PAS dan Umno atau BN. Apabila disebut Kerajaan Kelantan, sudah tentu rakyatnya termasuk juga orang-orang Umno dan BN atau 'orang atas pagar'.
"Amat jelas, Tuan Guru Nik Aziz hanya bercakap soal kerjasama antara kerajaan yang perlu diberi oleh kerajaan yang memerintah negara berdasarkan konsep Persekutuan yang perlu dihormati oleh kerajaan,"jelasnya sewaktu dihubungi Harakah.
Idris juga menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu cuba untuk memecah belah keharmonian yang telah dibina dalam Pakatan Rakyat serta bertindak mengelirukan rakyat agar hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat.
"Biasalah orang yang dalam kelemasan. Apabila dia lemas, apa sahaja yang datang padanya dia bertaut untuk menyelamatkan diri. Termasuklah bertaut pada batang pisang atau pada buaya sekalipun dia sanggup.
"Orang yang lemas ini juga umpama orang yang 'gila talak'. Talak pula talak tiga. Sebab itulah BN dan Umno ini mempunyai tujuan untuk memecah belah perpaduan yang dibina antara Pakatan Rakyat,"katanya.
Idris turut menyelar kenyataan Muhyiddin yang seolah-olah ingin menggambarkan Melayu mesti bersatu dengan Umno.
Tegasnya, jika Umno sesama kepimpinan mereka sering bertelagah serta tidak bersatu, bagaimana parti itu boleh mengajak PAS untuk bersama-sama menyertai mereka.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh : Nyza Ayob-
Kematian Teo, polis digesa
siasat di bawah Seksyen 302
KUALA LUMPUR, - PAS Selangor mendesak agar pihak polis segera menyiasat kes kematian Teoh Beng Hock di bawah Seksyen 302, kanun keseksaan.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman menegaskan polis harus menyiasat kes kematian bekas setiausaha Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah itu itu kerana penubuhan Suruhanjaya DiRaja sebagai melepaskan batuk di tangga dan tidak mampu meyelesaikan persoalan berhubung kematian tersebut.
Jelasnya, penubuhan suruhanjaya tersebut tidak bermakna mereka yang terlibat adalah terlepas daripada kesalahan di bawah kanun keseksaan.
Dalam pada itu katanya, PAS Selangor mendesak agar suspek-suspek kes, direman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah supaya rakyat dapat menilai keadilan pihak polis serta tidak berlaku 'penyiasatan terpilih' kepada mana-mana pihak.
"Kami juga mendesak agar Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussin dan Ketua Polis Negara menjawab segera persoalan mengapakah suspek yang terlibat dalam peristiwa kematian Beng Hock masih tidak direman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah?
"Sedangkan kita tahu polis amat cepat bertindak mereman mana-mana suspek yang terlibat dalam kes-kes jenayah walaupun tidak melibatkan kematian sebelum ini,"katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily semalam.
Sehubungan itu katanya, PAS Selangor mahu Tan Sri Musa Hassan selaku Ketua Polis Negara menjawab mengapakah terdapat penyiasatan terpilih dalam kes tersebut yang mana suspek yang terlibat di dalam soal siat kes Beng Hock masih lagi bergerak bebas dan ditukarkan ke ibu pejabat SPRM bagi tujuan khusus.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh : Nyza Ayob-
Pakatan Rakyat desak
Ketua Polis Negara dipecat!
KUALA LUMPUR, - Pakatan Rakyat semalam sebulat suara mendesak agar Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak dilanjutkan lagi khidmatnya dan perlu digantikan dengan KPN yang lebih berwibawa.
Menurut Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, desakan itu dibuat selepas dalam mesyuarat Pakatan Rakyat yang dihadiri seluruh kepimpinan parti DAP, PAS dan KeADILan menyetujui bahawa Musa Hassan tidak berjaya mengurangkan kadar jenayah di negara ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang medianya bersama wartawan di Bilik Jawatankuasa 1, Bangunan Parlimen pada petang semalam.
Turut hadir ialah, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden KeADIlan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib-naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayob dan Dato' Mahfuz Omar; Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali, Dr Lee Boon Chye dan Sivarasa Rasiah; Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar; Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh; Ketua Wanita KeADILan, Zuraida Kamaruddin; Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan dan ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin selain beberapa pimpinan PR lagi.
Menurut Anwar, masalah jenayah dan rasuah masih terus membelenggu negara hingga persepsi negara lain buruk terhadap Malaysia.
Tambahnya, Pakatan Rakyat akan meminta satu pertemuan diadakan dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak berhubung hal tersebut, dan meminta Perdana Menteri mempertimbangkan tuntutan itu.
Musa juga dakwa Anwar, terbabit dengan beberapa skandal yang hingga kini masih disangsikan beberapa siasatan yang tiada keputusan ke atasnya.
Pakatan Rakyat juga melihat, kegagalan Musa mengatasi kemelut jenayah yang berpanjangan dan semakin parah adalah satu kegagalan besar membuatkan rakyat kini semakin bimbang dengan masalah jenayah, katanya.
Sementara itu, Pakatan Rakyat turut memutuskan beberapa resolusi antaranya; Musa tidak sepatutnya memohon perkhidmatannya sebagai Ketua Polis Negara disambung dua tahun lagi; pelantikan ketua polis negara yang baru; Perdana Menteri patut memasukkan Indeks Prestasi (KPI) bagi pencegahan jenayah pelbagai kategori yang dicadangkan dalam Laporan Suruhanjaya Diraja Polis Dzaiddin dan Menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh : Wan Nordin Wan Yaacob-
GMI: 1,000 petugas PAS
kawal demo anti-ISA
Seribu petugas Unit Amal PAS akan dikerahkan 1 Ogos ini bagi mengawal keselamatan peserta demonstrasi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) agar tidak bertembung dengan kumpulan penyokong akta tersebut.
"Bagi saya, kita sama-sama bertanggungjawab. Kita sudah bincang cara mengawal disiplin (peserta kita).
"Kawalan Unit Amal seramai seribu orang telah dikerah untuk mengawal (aspek) keselamatan sahaja," kata Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh.
Beliau diminta mengulas pendekatan keselamatan GMI, sebagai penganjur, bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini dengan ribuan pendukung ISA yang dikepalai oleh Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris).
GMI juga akan mengeluarkan panduan kepada peserta Himpunan MANSUH beberapa hari lagi supaya bersedia menghadapi sebarang provokosi yang mungkin timbul pada hari tersebut, tambahnya.
"Kita juga minta kerjasama polis, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Majlis Peguam bagi memantau perhimpunan ini.
"Kita mesti bertanggungjawab terhadap kumpulan masing-masing. Kalau di pihak mereka (Pewaris) juga, merekalah yang kena bertanggungjawab," kata Syed Ibrahim kepada Malaysiakini.
Diminta mengulas kenyataan Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali, yang tentang kemungkinan timbul huru-hara, beliau berkata:
"Kita tidak boleh kata huru-hara. Persoalan sebenarnya, apa motif mereka (kumpulan pro-ISA) mahu berhimpun pada masa itu juga?"
Demonstrasi serentak dua kumpulan berlawanan pendirian itu dibimbang boleh "menimbulkan huru-hara".
"Bila GMI dan Pewaris – dua kumpulan yang berbeza pendirian mengenai ISA – mengadakan perarakan pada masa dan hari yang sama, mungkin akan berlaku huru-hara," kata Ibrahim kepada Malaysiakini.
Ribuan penyokong pembangkang dan aktivis 83 NGO bersama GMI akan bergerak mulai 2 petang dari tiga lokasi – kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara – dengan berpakaian hitam dan merah.
Sementara penyokong ISA bersama Pewaris bersama lebih 10 NGO Melayu merancang perhimpunan bertemakan "1Malaysia, Selamatkan Malaysia, Kekalkan ISA dan Pertahankan Hak Keistimewaan Orang Melayu" di tiga lokasi di tengah Kuala Lumpur sebelum bergerak ke Dataran Merdeka pada 1 tengah hari.
Mulai 11 pagi, mereka yang berpakaian putih dijadual berhimpun di Pasar Seni, Masjid Negara dan Padang Merbok, sebelah Bank Negara, sebelum menurunkan tandatangan di atas kain rentang gergasi sepanjang 200 kaki di dataran tersebut dan kemudian berarak ke Istana Negara.
-Dipetik Dari MalaysiaKini-
-Oleh : Jimadie Shah Othman-
PAS Selangor desak tubuh
suruhanjaya siasatan
KUALA LUMPUR, - PAS Selangor memandang serius insiden kematian Setiausaha Politik Exco kerajaan negeri, mendiang Teoh Beng Hock semasa berada dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor, Khairuddin Othman berkata, PAS Selangor mendesak agar kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya bebas yang dianggotai semua parti politik serta panel berkecuali dalam tempoh 14 hari daripada tarikh insiden.
PAS Selangor juga katanya, mendesak agar suruhanjaya tersebut mengeluarkan kertas putih dan umumkan kepada rakyat.
Menurut beliau, PAS Selangor berpendirian SPRM hanya boleh disiasat oleh suruhanjaya bebas yang lain kerana pihak polis tidak mempunyai bidang kuasa yang mencukupi untuk menyelesaikan kes tersebut.
Katanya, ini sekali gus bagi membersihkan nama SPRM kerana terikat pada peraturan yang diletakkan oleh Menteri Dalam Negeri.
PAS Selangor mendesak agar semua siasatan yang dilakukan terhadap mana-mana exco kerajaan negeri dihentikan serta merta sehingga suruhanjaya siasatan selesai melakukan siasatan dan SPRM membersihkan namanya.
"Peristiwa ini sangat memalukan SPRM dan menghilangkan kenyakinan rakyat terhadapnya terutama terhadap tahap keselamatan saksi semasa berada dalam tahanan," katanya.
Beliau menegaskan, jika suruhanjaya itu tidak dilakukan maka proses pengembalian keyakinan tidak berlaku, kredibiliti dan profesionalisme SPRM sebagai agensi penguatkuasa kerajaan akan terus dipertikaikan masyarakat.
Selangor turut mengucapkan takziah keapada keluarga dan sahabat mendiang di atas peristiwa yang sangat menyedihkan itu, katanya.
Semoga pihak yang terlibat dapat bersabar di atas kehilangan tragis orang yang disayangi, katanya.
Khairuddin mewakili Pesuruhjaya PAS, Dato' Dr Hasan Mohd Ali yang kini berada di Timur Tengah atas urusan kerajaan negeri.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh : Saidah Hairan-
Kematian Teoh: Pemuda
Pakatan mahu siasatan menyeluruh
Pemuda Pakatan Rakyat mahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) campurtangan untuk mendesak kerajaan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kematian Teoh Beng Hock Khamis lalu.
Kata mereka, ia termasuk persoalan siapakah pembunuhnya, bagaimana dia dibunuh dan kenapa dia dibunuh.
Teoh ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disoal siasat - sebagai saksi - berhubung dakwaan salahguna peruntukan DUN di Selangor.
Desakan itu terkandung dalam memorandum yang dihantar kepada Suhakam petang tadi. Ia ditandatangani oleh Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan, Ketua Angkatan Muda PKR (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin dan Ketua Pemuda DAP (Dapsy), Loke Siew Fook.
Hadir sama ialah Naib Ketua Pemuda PAS Ahmad Sabki Yusof, Setiausaha Pemuda PAS Kamaruzzaman Mohamad dan Naib Ketua AMK Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.
Memorandum diterima oleh Pesuruhjaya Suhakam Datuk Dr Abdul Monir Yaacob dan Datuk Siva Subramaniam di pejabat suruhanjaya itu petang ini.
Nasruddin kemudiannya membaca kandungan memorandum tersebut kepada pihak media.
Anggota mesti berintegriti
Dalam memorandum tersebut, Pemuda Pakatan berkata, langkah tersebut perlu disegerakan di samping menilai cara penyiasatan SPRM serta isu-isu lain yang berbangkit seperti dakwaan beberapa individu yang mereka dicederakan oleh anggota polis ketika berdemontrasi di Plaza Masalam Jumaat lalu.
Di samping itu, mereka juga mahu anggota suruhanjaya diraja itu dianggotai mereka yang berintegriti dan tidak pernah terlibat dengan apa-apa skandal.
"Pemilihan anggota dari kalangan NGO dan parti pembangkang juga penting bagi menjamin suruhanjaya tersebut tidak dipersoal dan memenuhi kehendak masyarakat seluruhnya.
"Pelantikan anggota yang berintegriti akan dapat mencapai objektif penubuhan suruhanjaya diraja itu bagi menyiasat kematian penuh misteri Teoh," kata memorandum itu.
Pemuda Pakatan Rakyat juga menegaskan keputusan kerajaan menghadkan peranan suruhanjaya diraja menunjukkan kerajaan tidak telus dalam menyelesaikan misteri kematian Teoh.
Sebaliknya, katanya, suruhanjaya itu perlu mempunyai peranan yang lebih besar dan tidak dihad dengan tugas-tugas tertentu sahaja.
Menurut memorandum itu lagi, Suhakam perlu mengambil tindakan tepat untuk mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat, bukan sahaja kepada SPRM tetapi juga institusi penguatkuasa kerajaan secara keseluruhanya.
Sebelum itu, sekumpulan kecil pemimpin Pemuda Pakatan Rakyat berarak daripada Masjid Jamek - selepas solat Jumaat - menuju ke pejabat Suhakam untuk menyerahkan memorandum tersebut.
Perarakan kecil
Mereka dipantau dua pegawai polis yang mengekori mereka manakala lapan lagi anggota polis menaiki kenderaan pacuan empat roda, bergerak perlahan-lahan di belakang mereka.
Mengulas mengenai memorandum itu, Siva Subramaniam berkata pihaknya menganggap kematian Teoh sebagai satu insiden yang tidak sepatutnya berlaku kerana mendiang dalam siasatan.
"Menjaga nyawa adalah hak asasi manusia. Suhakam telah mengeluarkan kenyataan - di mana kita melahirkan rasa terkejut dengan kematian Teoh - malangnya akhbar tempatan memilih untuk tidak menyiarkannya," katanya.
Bagaimanapun, Siva berkata, pihaknya menganggap keputusan kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja sebagai satu langkah yang bijak untuk memberi jawapan kepada kematian Teoh.
"Prosedur tetap SPRM adalah sejajar dengan hak asasi manusia. Dalam insiden ini bukan sahaja mendiang Teoh terlibat, ada orang lain juga yang terlibat.
"Tetapi kita lihat bahawa banyak NGO serta Pemuda PAS, AMK dan Pemuda DAP, meminta supaya terma suruhanjaya itu ditambah, supaya menyiasat punca kematian, kenapa kematian itu berlaku dan jika ada salahguna kuasa, oleh pihak-pihak mana," katanya.
Sehubungan itu, Siva berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan 17 pesuruhjaya Suhakam yang lain bagi menimbangkan permintaan tersebut.
-Dipetik Dari MalaysiaKini-
-Oleh : Abdul Rahim Sabri-
Pakaian siswi terkoyak
bergelut dengan tujuh polis
Pakaian seorang pelajar wanita didakwa terkoyak sewaktu bergelut dengan tujuh anggota polis yang cuba menahannya berhubung perhimpunan menyokong umat Islam di Thailand, Jumaat lalu.
Aisyah Jamilah Wan Ahmad, yang tidak dinyatakan tempat belajarnya, termasuk tujuh aktivis mahasiswa yang ditahan di dua balai polis petang 17 Julai lalu selepas ditangkap dekat bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak.
Perkara tersebut diadukan oleh penyelaras Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema), Lee Song Yong kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pagi ini.
Memorandum yang mengandungi butiran aduan itu dihantar oleh beberapa kumpulan mahasiswa, termasuk Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).
Lee juga mendakwa, polis enggan membenarkan tiga - yang ditahan di balai polis Sentul -daripada tujuh pelajar itu mendapatkan khidmat peguam walaupun telah memberikan kerjasama dan pengamal undang-undang telah lama menunggu.
"Dalam tempoh penahanan selama 24 jam, tiga orang mahasiswa hanya diberi (makan) dua keping roti," tambahnya, yang ditahan di situ bersama dua lagi aktivis pelajar.
"Mereka ditahan dalam dua bilik kecil dan seramai 16 orang (tahanan) terpaksa berkongsi ruangan yang terhad sehingga beberapa orang terpaksa tidur di tepi tandas."
Lee juga mendakwa "tahanan tidak dibenarkan memakai baju dalam cuaca yang sejuk," selain tidak dibekalkan minuman yang bersih, sebaliknya meminta tahanan mengambil air paip.
Polis juga didakwa tidak profesional apabila tersilap membawa tiga pelajar itu ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman.
"Perkara ini kami anggap sebagai tindakan dan kesilapan yang menyusahkan tahanan," katanya dalam aduan tersebut.
Empat lagi pelajar, termasuk Aisyah Jamilah dan mahasiswi Shamsul Mahida Abd Malek, ditahan di balai polis Dang Wangi.
Beberapa kumpulan siswa itu juga mengadu kepada Suhakam berhubung penahanan Presiden PMIUM Shazni Munir Mohd Ithnin yang disoal siasat berhubung isu-isu semasa termasuk isu kematian Teoh Beng Hock dan demonstrasi besar menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), 1 Ogos ini.
Beliau antara tiga suspek yang dicari polis bagi siasatan kes menconteng dinding dewan kuliah utama Akademi Pengajian Islam (API) dengan perkataan "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya," selain cubaan membakar di tempat itu.
Shazni Munir dijangka akan dibawa ke mahkamah dalam masa terdekat selepas dua lagi pelajar API dibawa ke muka pengadilan 30 Jun lepas.
Dalam aduan yang sama, mereka juga membawa isu penahanan dua pemimpin Dema - Ong Jing Cheng dan Yap Heng Lung - di balai polis Pantai atas siasatan kes menceroboh Universiti Malaya, 12 Julai lalu.
Polis didakwa menafikan hak Ong dan Yap membuat aduan polis bagi membalas laporan polis pegawai keselamatan universiti dan juga memaksa kedua-duanya menurunkan tandatangan di borang melucutkan hak mereka untuk mendapatkan khidmat guaman.
-Dipetik Dari MalaysiaKini-
-Oleh : Abdul Rahim Sabri-
Suhakam siasat polis
tahan 5 peguam
dikemaskini Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan mengadakan siasatan awam bulan depan berhubung penahanan lima peguam di balai polis Brickfields, Mei lepas.
Siasatan awam itu bertujuan memeriksa sama ada tindakan polis itu cuba menghalang khidmat guaman kepada sekumpulan aktivis yang membantah krisis politik Perak dan, oleh itu, mencabuli Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 28 Kanun Acara Jenayah.
Ia juga bertujuan memeriksa sama ada wujud kewajaran untuk menahan lima peguam itu bawah Seksyen 27 Akta Polis yang boleh dianggap satu pencabulan hak asasi.
Siasatan itu ditetapkan pada 14 hingga 16 Ogos ini di pejabat suruhanjaya itu di Jalan Raja Laut.
Panel siasatan diketuai oleh peguam kanan, yang juga pesuruhjaya Suhakam, Datuk Muhammad Shafee Abdullah.
Dalam kenyataan medianya hari ini, jika siasatan terbuka mendapati wujud pencabulan hak-hak asasi, Shafee berkata panel juga ingin mengenal pasti pihak yang bertanggungjwab dalam insiden tersebut, bagaimana ia berlaku termasuk tatacara yang menyebabkan ia terjadi dan syor-syor supaya ia tidak berulang.
Lima pengamal undang-undang berkenaan ditahan dalam satu perhimpunan di depan ibu pejabat polis daerah Brickfields pada 7 Mei lalu - hari persidangan DUN Perak yang dipenuhi kontroversi.
Fadiah Nadwa Fikri, Murnie Hidayah Anuar, Puspawati Rosman, Ravinder Singh Dhalliwal dan Syuhaini Safwan semuanya dibebaskan petang keesokannya.
Kelima-limanya, yang menganggotai biro khidmat guaman Majlis Peguam Kuala Lumpur, hadir di situ bagi mewakili sekumpulan aktivis yang ditahan kerana membantah penangkapan Wong Chin Huat, seorang jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), yang menganjurkan orang ramai memprotes persidangan itu dengan berpakaian hitam.
Wong ditahan 5 April lalu selepas melancarkan kempen "1Black Malaysia" dan direman selama tiga hari di ibu pejabat polis daerah tersebut.
Shafee menambah, siasatan awam itu terbuka kepada orang ramai dan akhbar tetapi rakaman suara dan video oleh mana-mana pihak tetap dilarang.
Suhakam masih menyiasat insiden tersebut dan jumlah saksi yang akan memberikan keterangan belum diputuskan, katanya.
Mereka yang menyaksikan insiden tersebut atau mempunyai maklumat mengenainya digesa menghubungi segera suruhajaya tersebut.
-Dipetik Dari MalaysiaKini-
Muqabalah Zahid-Ehud
Barak menghiris hati ummah
Ketika mengiringi Puan Malak al-Shaibani, Timbalan Pengarah Pusat Promosi Pelaburan dan Pembangunan Eksport Oman (The Omani Centre for Investment Promotion and Export Development (OCIPED)) ke beberapa agensi kerajaan dan swasta di ibu negara sepuluh tahun lalu, beliau menceritakan pengalamannya berhadapan dengan lobi Israel di Timur Tengah.
Menurut Malak, tiga orang wakil daripada Kementerian Perdagangan Israel pernah datang ke OCIPED untuk bertemu dengannya bagi membincangkan kemungkinan mewujudkan urusan perdagangan dua hala Oman-Israel.
Beliau enggan bertemu dengan wakil Kerajaan Israel itu atas dua sebab. Pertama Oman tidak mempunyai apa-apa hubungan diplomatik dengan Israel. Oleh itu perbincangan dengan wakil Israel tidak membawa sebarang faedah kepada aspek pelaburan dan eksport Oman.
Keduanya, beliau risau jika pertemuan itu hanya akan dijadikan modal publisiti murahan oleh Israel dan disiarkan dalam media massa negara haram itu. Hasilnya nanti, Malak khuatir akan disalah lapor sebagai menyokong kewujudan Israel dan dirinya pula menjadi sasaran para pejuang Palestin termasuk Hamas.
Begitulah sikap berhati-hati yang ditunjukkan seorang pegawai tinggi kerajaan Oman. Israel sebenarnya wajar dilayan begitu kerana sejarah membuktikan negara haram itu adalah duri dalam daging keamanan rantau Teluk!
Amat malang bagi mana-mana pegawai atau pemimpin kerajaan negara umat Islam untuk bertemu dengan pegawai dan pemimpin Israel (atas apa juga alasan) kerana ianya pasti dijadikan modal oleh 'spin doctor' dan media propaganda Israel untuk menunjukkan 'negara tanpa restu' itu sudah semakin diterima oleh dunia khususnya negara-negara umat Islam.
Pastinya berita pertemuan bekas Menteri Agama Kerajaan BN yang sekarang menjawat Menteri Pertahanan, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak di satu majlis cocktail di Perancis amat mendukacitakan kita.
Pertemuan itu walaupun ringkas menimbulkan pelbagai persoalan memandangkan negara tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel. Jika Zahid beralasan mahu menyampaikan pandangan Malaysia terhadap isu Timur Tengah, apakah tindakannya itu telah mendapat restu kabinet khususnya Kementerian Luar?
Tentu tidak banyak yang mampu dibincangkan Zahid dan Ehud Barak dalam pertemuan 35 minit itu, tetapi ia sudah cukup untuk dijadikan modal bagi Ehud Barak menunjukkan sikap berlembut Malaysia dalam soal hubungan dua hala. Zahid sendiri mengakui beliau satu-satunya Menteri Pertahanan yang bermuqabalah dengan Ehud Barak pada majlis sempena Pertunjukan Udara Paris itu.
Ini bukanlah 'pertemuan haram' pertama dilakukan pemimpin BN khususnya Umno dengan pemimpin Zionis Israel. Mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad juga dilaporkan bertemu dengan Perdana Menteri Israel, Yitzhak Rabin di Perancis pada 1995 manakala krew TV3, sebuah stesen TV milik tidak langsung Umno menjadi rakyat Malaysia pertama masuk ke Israel melalui lapangan terbang antarabangsa Ben Gurion, Tel Aviv beberapa tahun kemudian.
Sebenarnya banyak kisah kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin yang boleh dinukilkan. Sejak tertubuhnya negara haram Israel pada 1948 dengan bantuan kuasa-kuasa besar dunia, rantau Teluk tidak lagi aman.
Pencerobohan Israel terhadap wilayah autonomi Gaza bermula akhir tahun lalu mengakibatkan ribuan korban. Sempadan Gaza-Mesir ditutup mulai 5 Februari 2009 walaupun untuk misi bantuan kemanusiaan, mengakibatkan Gaza menjadi umpama 'penjara terbuka' bagi 1.5 juta rakyatnya.
Sempadan Gaza-Mesir kini dikawal empat pihak - Mesir, Israel, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah. Tiada sebarang bekalan makanan, ubat-ubatan dan binaan dibenarkan melepasi sempadan. Aktiviti lintas sempadan melalui terowong-terowong yang berselirat di sepanjang sempadan kini dikawal oleh kamera litar tertutup (CCTV).
Aktivis badan bukan kerajaan (NGO) Barat turut disekat daripada melintasi sempadan sehingga mendorong mereka mengadakan demonstrasi, piket dan berkampung di Rafah Gate.
Perkembangan yang berlaku ini sepatutnya menginsafkan Zahid tentang peri kejamnya Israel dan kuasa-kuasa besar dunia terhadap rakyat Palestin khususnya di Gaza.
Muqabalah Zahid-Ehud Barak sebenarnya tidak bermanfaat langsung untuk Palestin. Ia menambahkan lagi luka mereka seperti terlukanya hati umat Islam negara ini kerana sikap dangkal, tidak sensitif dan naifnya Zahid. Di mata Zionis Israel, Zahid pastinya diiktiraf sebagai pemimpin Islam yang toleran dan mudah dibawa berbincang.
Mungkin banyak yang boleh dipelajari Zahid daripada Israel khususnya pengganas bernama Ehud Barak!
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh : Ahmad Tajdid-
Lagi kecaman pertemuan
Zahid dengan pemimpin Israel,
Ehud Barak
Berikut adalah kenyataan media Parti Keadilan Rakyat yang melahirkan rasa kecewa dengan pendedahan laporan bahawa Menteri Pertahanan Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Israel, Ehud Barak di Paris bulan lepas.
Turut dilaporkan ialah Zahid telah terlebih dahulu mengakui menemui Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, dan bahawa beliau (Zahid) telah berkeras supaya tidak ada jurugambar yang hadir dalam pertemuan tersebut.
Walaupun langkah berjaga-jaga telah diambil bagi memastikan pertemuan tersebut kekal menjadi rahsia, jelaslah sekarang bahawa apa yang berlaku di Paris, tidak semestinya hanya kekal di Paris!
Pertemuan yang sedemikian rupa dengan regim yang telah dikecam di seluruh dunia kerana kekejamannya di Palestin dan Lebanon secara tidak langsung menunjukkan ketidakpekaan dalam isu moral dan politik, tidak kira apa jua justifikasi yang diberikan oleh Zahid.
Sesungguhnya, adalah amat menyedihkan sekiranya Zahid berasakan bahawa pertemuannya dengan Israel akan membuatkan Israel mengubah caranya, sedangkan sekutu-sekutunya yang paling setia seperti Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat pun tidak berjaya dalam desakan supaya regim Zionis mengubah caranya, contohnya desakan untuk menghentikan pembinaan pendudukan haram Yahudi di atas tanah Palestin.
Oleh itu, kita hanya dapat membuat kesimpulan bahawa terdapat lebih daripada sekadar pertemuan yang biasa dalam gerak isyarat diplomatik singkat Zahid dengan Menteri Pertahanan Israel, yang merupakan orang yang sama yang bertanggungjawab dalam semua serangan udara yang dikecam hebat oleh kerajaan Malaysia selama ini.
Pertemuan ini menimbulkan persoalan tentang keupayaan Zahid dalam membuat penilaian yang baik dalam tempoh yang singkat sejak dilantik sebagai Menteri Pertahanan.
Apakah urusan Malaysia untuk bertemu dengan Menteri Pertahanan sebuah regim yang mana ia tidak mempunyai hubungan, atau yang tidak pernah diakui hubungannya?
Bagi menambahkan lagi keraguan, pertemuan tersebut bukannya di antara dua orang menteri luar negeri, tetapi di antara dua orang menteri pertahanan.
Protokol politik tidak akan membolehkan dua orang Menteri Pertahanan kerajaan-kerajaan yang tidak mempunyai hubungan diplomatik untuk mengadakan pertemuan. Jelaslah Zahid telah melangkaui deskripsi kerjanya.
Satu-satunya orang yang boleh menjawab persoalan ini ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Atau mungkin juga Zahid, yang pada awal tahun ini memainkan peranan 'memperjuangkan Islam' dengan amaran kerasnya kepada pemimpin-pemimpin bukan Islam di Malaysia supaya 'tidak menguji kemarahan orang Islam', mahukah beliau memberitahu kebenaran dan membuat pengakuan tentang kepura-puraan diplomatiknya?
Latheefa Koya
Ketua Penerangan
Parti Keadilan Rakyat
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
Kematian Teo: Kerajaan
negeri kesal keputusan kabinet
SHAH ALAM, - Kerajaan negeri Selangor kesal dengan keputusan yang diumumkan oleh kabinet yang memutuskan satu Suruhanjaya ditubuhkan dengan terma-terma khusus dalam siasatan kematian pembantu exco, Teo Beng Hock.
Terma-terma tersebut ialah meneliti dan mengkaji peraturan yang berkaitan dengan soal siasat yang diguna pakai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Serta menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi manusia semasa proses soal siasat terhadap Teoh untuk memastikan perkara yang sama tidak berulang kembali.
Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menyatakan kekesalan dengan keputusan itu percaya Suruhanjaya ini perlu dipertaggungjawab untuk menyiasat kematian Teoh dan bukannya inkues seperti yang diputuskan oleh kerajaan persekutuan semalam.
Beliau juga mempersoalkan keperluan untuk menggunakan dua prosiding yang berlainan untuk menyiasat perkara yang berkait rapat dan melibatkan saksi-saksi yang sama.
"Kita telah meminta satu Suruhanjaya Diraja menyiasat kematian mendiang dan juga kredibiliti SPRM.
"Kita merasakan Suruhanjaya adalah prosiding yang terbaik bagi memastikan keadilan untuk mendiang dan keluarganya," katanya.
Walaubagaimanapun, katanya, kerajaan negeri akan tetap akan melantik peguam untuk mewakili pihak pegawai kerajaan negeri dalam prosiding Suruhanjaya Diraja dan inkues.
"Langkah ini adalah perlu memandangkan mendiang Teoh adalah pegawai kerajaan negeri dan juga untuk memastikan hak-hak mendiang dan keluarga terbela," jelasnya.
Sebelum ini, kerajaan negeri Selangor telah mengumumkan bahawa siasatan SPRM ke atas pegawai daan wakil rakyat Pakatan hanya boleh dilakukan di pejabat dimana mereka bertugas.
Menurut beliau, keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri petang tadi adalah bertujuan untuk menjamin keselamatan pegawai di samping memberi kerjasama kepada pihak SPRM sehingga siasatan ke atas tragedi ini selesai.
"Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri turut mengarahkan semua pegawai perlu memaklumkan kepada penasihat Undang-undang kerajaan negeri jika mereka dipanggil oleh SPRM untuk membantu siasatan.
"Kerajaan negeri juga akan melantik satu panel peguam untuk membantu mana-mana pegawai yang disoal siasat," katanya dalam satu kenyataan.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh : Muhammad Arif Ismail-
SPRM calarkan
imej Najib?
KUALA LUMPUR, - Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak cuba untuk memulakan langkah 100 harinya sebagai Perdana Menteri dengan mengemukakan apa yang disifatkan sebagai insentif dan faedah kepada rakyat Malaysia.
Insentif ini dikemukakan dengan tujuan untuk menyakinkan rakyat bahawa beliau adalah PM yang lebih baik daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang 'dipaksa' melepaskan jawatan akibat prestasi buruk Umno-Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 12, 8 Mac 2008.
Sebaik mengangkat sumpah, Najib memperkenalkan KPI (Key Performance Index atau Petunjuk Prestasi Utama) bagi mengukur dan menilai prestasi setiap Menteri diikuti dengan penilaian prestasi Kementerian, agensi-agensi kerajaan dan sebagainya.
KPI ini pada aspek pengurusan, merupakan satu usaha yang baik ke arah mempertingkat ketulusan, kesungguhan dan keberkesanan seseorang Menteri atau agensi yang berkaitan.
Kononnya jika KPI dapat dilaksanakan sebaiknya, tahap sokongan rakyat terhadap kerajaan BN dapat dipertingkatkan.
Seterusnya Najib memperkenalkan konsep One Malaysia, khusus untuk menarik sokongan rakyat bukan Melayu yang semakin terhakis keyakinan mereka terhadap kepimpinan Umno-BN sama ada di peringkat negeri mahupun di peringkat Pusat.
Kemudian Najib menyusuli langkahnya dengan membuat 11 pengumuman mesra rakyat yang dibuat bersempena genap 100 hari beliau menjadi PM, 12 Julai lepas.
Najib juga turut mengumumkan enam bidang keberhasilan utama nasional (KRA) untuk mencapai matlamat KPI dengan lebih berkesan.
Keenam-enam bidang itu ialah, mencegah jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan dan meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah.
Malangnya, semua usaha yang dilakukan Najib dengan tujuan untuk memurnikan persepsi rakyat terhadap kepimpinan barunya, tercalar dan dipertikaikan rakyat akibat kematian Teoh Beng Hock semasa dalam siasatan di bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Teoh merupakan Setiausaha Politik Exco Negeri Selangor dari DAP, Ean Yong Hian Wah, disoal siasat SPRM berhubung dengan dakwaan salahguna peruntukan Dewan Undangan Negeri.
Kematian Teoh membuka persoalan yang sangat besar, bukan sahaja kematiannya menjadi suatu misteri yang harus disiasat dengan seadil-adilnya.
Malah, ianya membuka mata rakyat terhadap SPRM, yang sejak keujudannya gagal menampilkan imej sebagai sebuah badan professional, telus dan terkecuali daripada pengaruh pemimpin kerajaan Umno-BN.
Tindakan SPRM menyiasat dakwaan salahguna peruntukan Dun oleh Adun Pakatan Rakyat di Selangor merupakan satu tindakan yang bermotif politik untuk memburukkan imej kerajaan negeri dan parti komponen Pakatan Rakyat.
Sebaliknya SPRM langsung tidak memperdulikan, malah tidak langsung mengambil tindakan ke atas aduan rasuah yang dibuat terhadap ramai ahli politik Umno-Barisan Nasional terutamanya Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo, bekas Menteri Besar Selangor dan yang terlibat dalam skandal PKFZ.
SPRM menunjukkan bahawa ia berperanan dan berfungsi sebagai alat Umno-BN untuk mencabuli kebebasan individu, autonomi rakyat untuk memilih wakil rakyat mereka dan konsep Federalisme yang kesemuanya termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
SPRM hanya membuktikan bahawa semua langkahnya bermotifkan politik, dengan tujuan untuk melindungi parti perasuah yang terbesar dalam negara iaitu Umno yang terkumpul di dalamnya penjenayah rasuah politik wang.
Imej Najib sudah tercalar dengan buruk, langkah 100 harinya begitu sumbang dan tersasar. Belum lagi KPI terlaksana, sudah wujud tanda-tanda kerapuhan kerajaan Umno-BN.
Usaha untuk memalitkan imej negatif terhadap Pakatan Rakyat akan terus gagal kerana Najib, Menteri-menteri, agensi kerajaan, Umno dan BN terus melakukan kesilapan yang semakin menjerumuskan mereka ke lembah kehancuran.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh : Mohd Rashidi Hassan | rashidi@harakah.net.my-
SPRM mahu rampas
kerajaan negeri Selangor?
KUALA LUMPUR, - MAJLIS Pimpinan Pakatan Rakyat menyatakan rasa dukacita yang amat mendalam di atas kematian mendiang Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Selangor.
Mewakili seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan, pihak Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.
Sebelum ini telah terdapat banyak kematian yang berlaku dalam tahanan pihak berkuasa seperti Allahyarham Rumie Azzan Mahlie dan mendiang Ananthan Kugan.
Kematian mendiang Teoh Beng Hock merupakan kemuncak kepada penyalahgunaan kuasa pihak berwajib dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan rakyat.
Sehingga kini pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah secara berterusan menjalankan siasatan dan membuat ancaman ke atas para pemimpin Pakatan Rakyat, sedangkan laporan demi laporan mengenai penyalahgunaan kuasa para pemimpin Barisan Nasional tidak diendahkan.
Ini adalah bukti kukuh bahawa suruhanjaya yang baru beroperasi selama enam bulan itu hanyalah dijadikan alat oleh Barisan Nasional dan Umno untuk melemahkan Pakatan Rakyat.
Jawapan tegas
Rakyat menuntut jawapan yang lebih tegas dari SPRM dan Perdana Menteri yang menjadikan SPRM sebagai kuda tunggangan Umno, dalam tindakan untuk merampas kerajaan negeri Selangor yang diterajui oleh Pakatan Rakyat.
Badan seperti SPRM seharusnya bertindak profesional dan menyelamatkan integriti mereka dengan mengambil tindakan ke atas laporan terhadap para pimpinan Barisan Nasional yang telah diketahui umum terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
SPRM juga seharusnya memberhentikan teknik mendera dalam soal siasat mereka.
Dalam kes Mendiang Teoh, SPRM perlu mengenal pasti pegawai terlibat seterusnya membawa mereka ke muka pengadilan.
Kami percaya bahawa rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap SPRM dan institusi lain yang dtubuhkan oleh kerajaan.
Pakatan Rakyat akan terus menerus menentang kezaliman dan salahguna kuasa institusi ini dengan mengadakan kempen di seluruh negara.
Sehubungan dengan itu Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat hari ini mendesak dan bertegas agar satu Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi menyiasat kematian mendiang Teoh Beng Hock dan meneliti teknik dan kaedah siasatan SPRM selama ini. (17 Julai)
Kenyataan media ini dikeluarkan oleh:
Dato' Seri Anwar Ibrahim
Ketua Umum KeADILan
Dato' Seri Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
Lim Kit Siang
Ketua Ahli Parlimen DAP
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh : Pimpinan Pakatan Rakyat-
Kematian Teoh: Pemuda PAS
akan serah memorandum
pada Agong
KUALA LUMPUR, - Dewan Pemuda PAS Pusat akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi melakukan siasatan ke atas kes kematian Teo Beng Hock yang dipercayai terjatuh dari bangunan pejabat Suruhanja Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketuanya, Ustaz Nasruddin Hassan menegaskan penubuhan suruhanjaya tersebut amat penting kerana rakyat mengharapkan satu siasatan rapi, telus dan bertanggungjawab diambil oleh pihak kerajaan untuk menyiasat tragedi ini.
Dalam pada itu, beliau turut mencabar agar Pengerusi SPRM, Dato' Seri Ahmad Said Hamdan segera meletakkan jawatan bagi membolehkan satu penyiasatan telus dan teliti dilakukan.
Jelasnya, Ahmad Said mestilah mengambil tanggungjawab atas tragedi yang berlaku ke atas setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah itu.
Nasruddin yang dihubungi Harakah melahirkan kekecewaan kerana sehingga hari ini terlalu banyak tragedi malang seperti kes cedera dan kematian dalam tahanan.
Beliau menegaskan menjadi tanggungjawab penuh pihak yang menahan, menjaga keselamatan dan kebajikan tahanan sebelum ia disabitkan bersalah.
"Sekalipun pihak yang menahan tidak melakukan pembunuhan tersebut, keselamatan tahanan tetap di bawah jagaan mereka selama ia masih dalam tahanan atau premis tahanan.
"Seharusnya peristiwa seperti ini tidak berlaku apalagi dalam kawasan pihak yang menahan. Malangnya di negara kita hari ini , siapa jua yang ditahan tidak mempunyai jaminan keselamatan diri. Mereka seperti dihukum terlebih dahulu sebelum mereka disabitkan bersalah," katanya.
Sehubungan itu, kerajaan wajib mengeluarkan satu kertas putih berkaitan perkara ini memandangkan sudah banyak kes yang melibatkan kematian dalam tahanan.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh : Nyza Ayob-
Manek Urai hidupkan
kembali roh Umno?
Sama ada benar atau palsu janji dilafazkan dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Manek Urai, namun hakikatnya dari sudut fizikal Umno-Barisan Nasional (BN) telah berjaya mempengaruhi hampir 95 peratus pencapaian majoriti PAS pada pilihan raya umum (PRU) 2008.
Secara tidak langsung percaturan politik Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Timbalan Presiden Umno, seolah-olah hampir memberi pukulan maut tidak mampu disangkal oleh PAS.
Sebagaimana dilaporkan, BN mendominasikan seluruh jentera kerajaan sebagai senjata kempennya. Tetapi umpan dilihat paling berkesan ialah janji projek jambatan baru, kota agropolitan dan anak emas.
Selain itu taktik paling buruk dan kotor seperti mana didakwa pihak lawannya ialah sogokan rasuah bernilai tinggi sehingga mencecah ribuan ringgit.
Sejauh manakah kebenaran itu, tuhan saja yang maha tahu. Yang pasti kemenangan tipis PAS menggambarkan keupayaan Umno mengubah senario politik semasa di Manek Urai. Secara tidak langsung Umno boleh berbangga walaupun tewas di pertarungan kali ini.
Tinjauan The Malaysian Insider sepanjang tempoh berlangsungnya kempen pilihan raya ternyata PAS lebih terkehadapan menguasai keadaan berbanding Umno.
Hampir setiap tempat, bermula dari Sungai Sok hingga ke Laloh program PAS sentiasa sesak, laungan takbir tanda sokongan padu kepada parti itu tidak pernah menyepikan kesunyian malam.
Apatah lagi kalau melihat tiga malam terakhir, mengikut adat Umno sudah boleh gulung tikar dan angkat bendera putih. Kehadiran Anwar Ibrahim di kampung Peria disambut 5,000 penyokong. Tetapi program Umno yang diadakan bersebelahan cuma dihadiri penonton seramai paling tinggipun 50 orang. Betapa nazak sambutan diberi kepada BN.
Benar kata orang, di dalam politik serba kemungkinan. Sebab itu banyak telahan dan spekulasi jarang menepati sasaran hatta dari penganalisis politik hebat sekalipun.
Kehadiran ribuan audien tidak boleh dijadikan referendum kekuatan sesebuah parti kerana mungkin ia terdiri daripada penyokong-penyokong luar kawasan. Jadi, tidak wajar persoalan ke mana pergi ribuan penyokong yang pernah membanjiri ceramah PAS sebelum ini dikaitkan dengan kemenangan tipis dialaminya.
Sebaliknya PAS akan diihat lebih rasional sekiranya cuba beralternatif mencari di mana pengundi luar seramai lebih 1,000 orang dikatakan penyokong tegar PAS dilaporkan pulang dan memberi jaminan mengundi bulan?
Mengambil sikap berterusan menyelar parti lawan menggunakan rasuah selepas keputusan sudahpun muktamad bukan jalan penyelesaian sesuatu masalah. Jika benar dakwaan itu serahkan saja kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya. Mengadakan 'domestic inquiry' parti barangkali lebih utama.
Walau apapun, perspektif politik pasca PRK Dun Manek Urai 14 Julai menjadi momentum baru kepada kedua-dua parti menghadapi PRU akan datang.
Justeru PAS tidak wajar berbangga dengan bayang-bayang sendiri menjulang kemenangan tipisnya itu. Sebaliknya PAS mesti sedar bahawa roh Umno telah kembali pulih di Manek Urai bagi mengisi methodologi baru menjejaki rentak lawan.
Atau adakah, ada kesan kepada penyokong / pengundi PAS yang di atas pagar, marah di atas muzakarah atau muqabalah yang cuba dimainkan oleh Umno/BN? Kalau betul, bijaklah mereka.....dan lemah kepada kita kerana mengikut alunan tarian mereka.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh : Mohd Zuharman-
SU politik exco mati
jatuh bangunan SPRM
SHAH ALAM, - kemaskini 6.23pm
Setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, terbunuh selepas dipercayai jatuh bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam.
Mayat Teo Beng Hock, 30, ditemui di atas bumbung bangunan bersebelahan pejabat suruhanjaya tersebut.
Semalam Teo telah dibawa ke pejabat tersebut untuk disoal siasat berhubung dakwaan salah guna wang peruntukan DUN membabitkan beberapa ADUN Pakatan Rakyat negeri itu.
Berikutan berita mengejut dan luar biasa tersebut, para pemimpin Pakatan, termasuk Ean, bergegas ke bangunan tersebut.
Pemimpin DAP lain yang berada di pejabat SPRM termasuk exco kerajaan Selangor, Ronnie Liu; Speaker DUN Teng Chang Khim dan ahli parlimen Petaling Jaya Selatan, Tony Pua.
Liu and Teng mengesahkan bahawa mayat itu mendiang Teo.
Sewaktu ditemui, mendiang berbaju putih bersama kot hitam.
Dalam sidang media di pejabat SPRM negeri itu, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Shukri Abdull berkata mayat ditemui mati jam 1.30 tengah hari ini.
Ditanya bagaimana mendiang ditemui, beliau berkata seorang pegawai suruhanjaya ke tempat kejadian selepas mendengar jeritan seseorang tentang mayat itu.
Menurutnya lagi, siasatan terhadap Teo - sebagai saksi kes - selesai kira-kira 3.45 pagi tadi tetapi dilihat masih berada di bangunan tersebut sekitar jam 6 pagi.
SPRM tidak jelas sama ada beliau mati akibat terjatuh atau terjun dari bangunan tersebut.
Sementara itu, SPRM mengesahkan sedang menyiasat empat ADUN Selangor berhubung dakwaan salah guna peruntukan wakil rakyat.
Shukri mengesahkan suruhanjaya itu semalam menyerbu empat pejabat ADUN berkenaan dan meneliti beberapa dokumen bagi membantu siasatan, lapor laman web Utusan Malaysia.
"(Siasatan) itu prosedur biasa. Kalau kita terima apa-apa aduan, memang kita akan ke pejabat atau rumah mereka," katanya kepada pemberita di Akademi SPRM hari ini.
Sementara itu, peguam M Manoharan, yang menemani Teo ke pejabat SPRM semalam berkata, mendiang kelihatan biasa dan tidak menunjukkan sebarang tanda menghadapi sebarang tekanan.
(foto: Teo, kanan, bersama Ean Yong berbual dengan pegawai siasatan di pejabat exco itu)
"Dia nampak gembira dan tenang. Saya menasihatkannya bagaimana hendak mengendalikan soal siasat tersebut kerana saya tidak dibenarkan untuk bersamanya" katanya.
Manoharan, yang juga ADUN Kota Alam Shah kali terakhir melihat Teo pada kira-kira jam 7 petang semalam.
Setakat jam 6 petang ini, mayat Teo masih berada di atas bumbung tempat dia jatuh.
Komputer riba Teo dirampas
Pejabat Ean telah diserbu SPRM semalam di mana sebuah komputer riba milik Teo dan sebuah komputer meja telah dirampas.
SPRM juga menyerbu pejabat ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San.
Selain Ean dan Lau, lima lagi wakil rakyat Pakatan turut disiasat, iaitu Teresa Kok (Kinrara), Hannah Yeoh (Subang), Elizabeth Wong (Bukit Lanjan), Dr Cheah Wing Yin (Damansara Utama) and Edward Lee (Bukit Gasing).
SPRM sebelum itu telah menyoal siasat beberapa orang, termasuk pembantu lima wakil rakyat - Ean, Lau, Kok, Wong dan Yeoh.
Wakil rakyat Pakatan Selangor masing-masing diberi RM500,000 setahun untuk membiayai program kemasyarakatan di kawasan masing-masing. SPRM mendakwa dana tersebut telah disalahguna.
R Sivarasa, yang juga ahli parlimen Subang berkata, kematian Teo berlaku dalam keadaan yang meragukan.
"Sehingga ini, kita mempertanggungjawab SPRM terhadap kematian tersebut sehingga kita mendapat penjelasan yang
memuaskan," katanya.
ADUN Kg Tunku diminta temui SPRM
ADUN DAP Kampung Tunku, Lau Weng San akan memberi kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Menurut kenyataannya, Lau berkata, beliau akan hadir di pejabat SPRM Selangor untuk memberi kenyataan tersebut pada jam 1.30 tengahari ini.
Lau adalah salah seorang daripada tujuh wakil rakyat Pakatan Rakyat Selangor yang disiasat oleh SPRM dakwaan salah guna wang peruntukan DUN.
Sebelum ini dilaporkan SPRM sedang menyiasat tujuh wakil rakyat Pakatan tersebut berhubung penggunaan dana kerajaan negeri dalam kawasan pilihanraya masing-masing.
Selain Lau, enam lagi wakil rakyat tersebut ialah Teresa (Kinrara), Hannah Yeoh (Subang), Elizabeth Wong (Bukit Lanjan), Ean Yong Hian Wah (Sri Kembangan), Dr Cheah Wing Yin (Damansara Utama), Edward Lee (Bukit Gasing) dan Lau Weng San (Kampung Tunku).
Kesemua wakil rakyat berkenaan diperuntukkan RM500,000 setiap tahun, yang boleh digunakan untuk melaksanakan projek kemasyarakatan, kebajikan, infrastruktur dan perkara-perkara lain.
Manakala Exco kanan kerajaan negeri, Teresa Kok pula dilaporkan berkata fail-fail berkaitan peruntukan kerajaan negeri kepada setiap wakil rakyat berkenaan, telah diambil oleh SPRM dari Pejabat Tanah dan Galian dua minggu lalu.
-Dipetik Dari MalaysiaKini-
AMK bantah SPRM serbu
pejabat Exco Selangor
KUALA LUMPUR, - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor membantah tindakan terbaru oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyerbu masuk ke pejabat dua pemimpin DAP, termasuk seorang exco kerajaan negeri Selangor.
Ketua Penerangan AMK Selangor Mohd Ezli Mashut berkata tindakan ini dibantah kerana ianya dikhuatiri bermotifkan politik sempit semata-mata dan tidak di atas kapasiti menjalankan tugas secara professional.
AMK Selangor pada dasar dan prinsipnya menyokong untuk mana-mana pihak disiasat dan didakwa dengan penuh keadilan dan secara professional oleh pihak SPRM, di samping tidak akan berkompromi dengan sebarang unsur salah laku rasuah dan penyelewangan kuasa., katanya.
"Kita persoalkan tindak-tanduk SPRM mutakhir kini yang sewajarnya mempamerkan imej professional sejajar dengan pemerkasaan suruhanjaya tersebut.
"Sehingga kini SPRM dilihat masih belum lagi memperlihatkan tindakan yang pantas dan tegas terhadap banyak laporan rasuah yang dikemukakan," katanya dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.
Antara yang belum diambil tiundakan oleh SPRM ialah isu Port Klang Free Zone (PKFZ), soal banglo mahal milik bekas Menteri Besar Selangor yang diragui, jenayah politik wang semasa pemilihan pimpinan Umnodan pelbagai kes-kes lain yang melibatkan sejumlah wang yang mencecah Ringgit Malaysia berjuta-juta dan berbillion-billion, katanya.
"Laporan rasuah yang sudah dikemukan oleh pihak AMK terhadap bekas Menteri Besar sehingga kini tanpa sebarang tindakan susulan.
"Di manakah kewibawaan dan professionalisma SPRM dalam hal ini?" kata Mohd Ezli.
Katanya tindakan SPRM yang bertindak dengan bermotifkan pengaruh politik pihak-pihak tertentu hanya akan mencemarkan imej dan kredibiliti suruhanjaya tersebut pada pandangan rakyat dan dunia antarabangsa.
SPRM juga akan dipandang oleh masyarakat awam yang pantas dan tegas bertindak jika ianya daripada kalangan pihak Pakatan Rakyat namun jika ianya melibatkan kalangan daripada Umno/BN seolah-olah SPRM kaku dan lumpuh dalam segala-segi.
"Kita mahu SPRM tidak dilihat bias dalam menjalankan tugas dan amanah yang diberi.
"Sudah tiba masanya SPRM memperlihatkan mutu tugas professional yang adil,pantas dan tegas," katanya.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh : Azamin Amin-
SPRM serbu pejabat exco
kerajaan negeri Selangor
SHAH ALAM, - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah yang didakwa menggunakan wang rakyat untuk memberi sumbangan.
Serbuan tersebut telah dilakukan oleh lima orang pegawai SPRM dari Putrajaya dan Selangor pada jam 3.30 petang.
Beliau mempertikaikan tindakan pihak SPRM yang mengambil semua fail peruntukan mereka untuk disiasat tanpa sebarang surat kuasa untuk mengeledah pejabat exco.
Namun begitu, tiada sebarang dokumen kerajaan negeri diambil oleh pihak SPRM disebabkan kehadiran pihak media yang terlalu ramai di pejabat beliau.
Pihak SPRM, menurut Ean, enggan menunjukkan kad kuasa mereka ketika diminta dan juga tiada sebarang notis atau waran untuk membuat serbuan di pejabat exco.
Terdahulu, SPRM juga telah menyerbu Pejabat Khidmat Masyarkat Adun Seri Kembangan, pada jam 11 pagi tadi yang dilakukan oleh lima orang pegawai dari Putrajaya dan Selangor.
Beliau juga merupakan Adun Seri Kembangan, berkata, siasatan mengejut SPRM ini adalah ekoran daripada penyiasatan sumbangan parti kompenan Pakatan Rakyat, DAP yang menyampaikan sumbangan kepada sebuah masjid di Puchong.
Sebelum ini, penyerbuan pihak SPRM ini merupakan ekoran dari siasatan tujuh orang Adun Selangor berhubungan dengan sumbangan RM 10,000 kepada sebuah masjid di Puchong bagi membeli pembesar suara.
Tujuh Adun tersebut ialah Adun Kinrara, Elizabeth Wong, Adun Kampung Tunku, Lau Weng San, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh, Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, Adun Bukit Gasing, Edward Lee Po Lin, Adun Damansara Utama, Dr Cheah Wing Yin dan Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.
Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok dalam sidang media yang diadakan baru-baru ini di bangunan Annex, berkata tindakan itu tidak wajar kerana sumbangan ini adalah bagi faedah kegunaan rakyat.
"Kami berasa aneh kenapa hanya dokumen peruntukan kami, ketujuh-tujuh Adun kami diambil oleh pegawai SPRM.
"Dan juga saya rasa aneh yang mana dalam kes saya yang mana saya beri sumbangan 10 ribu ringgit untuk satu surau di Puchong untuk beli pembesar suara,"katanya.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh : Muhammad Arif Ismail-
BN terus ditolak rakyat,
PAS perlu kaji menang tipis
KUALA LUMPUR, - Penasihat Jentera Operasi Pilihan Raya Kecil Manek Urai, Dato' Wan Rahim Wan Abdullah berpandangan PAS perlu melakukan post mortem serta membuat kajian secara mendalam mengenai aliran pengundi yang tidak memihak kepada PAS dalam Pilihan Raya Kecil Manek Urai pada 14 Julai lalu.
Mengulas mengenai kemenangan tipis PAS dengan majoriti 65 undi, Wan Abdul Rahim menolak faktor golongan muda yang tidak keluar mengundi yang menyebabkan kemerosotan majoriti berbanding Pilihan Raya Umum ke 12 lalu.
Jelasnya, berdasarkan keputusan yang di perolehi di beberapa peti undi seperti Manek Urai Baru PAS menang dalam semua empat saluran kecuali saluran dua.
Justeru katanya PAS perlu membuat semakan faktor yang menyebabkan golongan berusia menolak PAS.
Dalam pada itu beliau juga tidak menolak kemungkinan kemenanganan tipis tersebut disebabkan kelemahan PAS di Kuala Krai yang baru sahaja selesai membuat perubahan kepimpinan di peringkat kawasan.
Sementara itu beliau juga berpandangan faktor calon sebelum ini, Ismail Yaakub meninggalkan suatu 'kekosongan' kepada rakyat Manek Urai.
"Pak Su Wil merupakan satu 'lagenda' yang cukup sinonim dengan rakyat Manek Urai. Walaupun pengganti beliau, Abe Uji merupakan pilihan yang terbaik beliau masih perlukan pendedahan.
"Dan saya yakin Abe Uji akan dapat meneruskan usaha serta kesinambungan yang diteruskan oleh Pak Su Wil dengan jalinan kemesraan dengan rakyat akar umbi,"katanya.
Dalam pada itu, Wan Abdul Rahim sewaktu dihubungi Harakah turut merakamkan terima kasih kepada seluruh pimpinan Pakatan Rakyat yang turut berganding bahu dalam memastikan kemenangan PAS.
Beliau menegaskan, kemenangan tersebut membantu PAS dan meneruskan kesinambungan kekuatan parti di kubu kuat PAS itu.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Barisan Nasional(BN) kerana dapat mengekalkan suasana yang 'lunak' dan 'persaudaraan' dalam tempoh berkempen tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Jelasnya dengan kemenangan tersebut, BN telah mengalami nasib ditolak oleh rakyat di semua pelusuk negara dalam siri-siri pilihan raya kecil oleh masyarakat pelbagai kaum.
"Walaupun di Manek Urai 99.9 peratus terdiri daripada kaum Melayu, nampaknya BN terus ditolak voleh rakyat. Ini memberikan peluang serta potensi yang cukup baik kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk mencuba mencapai kemenangan yang lebih baik dalam Pilihan Raya Umum ke 13,"katanya.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh : Nyza Ayob-
ISA:BN tidak wajar dimaafkan,
mangsa dianiaya dan dizalimi
KUALA LUMPUR, - Penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh pemerintah Barisan Nasional (BN) di negara ini tidak boleh dimaafkan.
"Ia menganiaya mangsanya apabila dinafikan hak bersuara dan membela diri,"tegas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu apabila bersetuju dengan pandangan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan kezaliman akta itu tidak boleh dimaafkan.
Semalam Nik Aziz menyifatkan penggunaan ISA terhadap pemimpin lebih teruk daripada istilah 'binatang'.
"Kezaliman Umno menggunakan ISA ke atas pembangkang yang tidak bersalah lebih teruk daripada perkataan itu,"bidas Nik Aziz.
Beliau berkata demikian bagi menjawab serangan media yang menyebut beliau mengeluarkan kata-kata kesat termasuk binatang atau 'menate' dalam loghat Kelantan dalam satu ceramah di Manek Urai Dua baru-baru ini.
Nik Adli Nik Aziz salah satu anak beliau turut menjadi mangsa tahanan ISA dituduh terlibat dengan Kumpulan Militan Malaysia pada 4 Ogos 2001 kemudian dibebaskan pada 18 Oktober 2006.
Mohamad Sabu yang turut mengulas mengenai akta zalim itu turut sama bersetuju dengan pandangan Mursyidul Am itu dan menyifatkan kezaliman akta itu tidak boleh dimaafkan.
Katanya, akta seperti ISA tidak perlu lagi dipertahankan kerana ternyata ia menganiaya mangsanya apabila dinafikan hak bersuara dan membela diri.
Tegasnya yang juga pernah ditahan dibawah akta itu semasa Ops Lalang, kerajaan yang mementingkan kedudukan mereka sahaja sanggup mengggunakan akta ini.
Justeru, beliau yang tidak berganjak dari pendirian bahawa ISA harus dimansuhkan meminta seluruh rakyat negara ini turun beramai-ramai pada 1 Ogos nanti untuk menyatakan bantahan terhadap kezaliman kerajaan BN.
Beliau yang akan berada di lokasi Masjid Negara pada hari tersebut, percaya himpunan itu akan berlangsung secara aman jika tidak ada sebarang provokasi dari mana-mana pihak.
Dalam pada itu, Yang dipertua PAS Kawasan Batu Ishak Surin yang pernah ditahan ISA pada 1965 turut merasai kepahitan ditahan dalam tempoh 60 hari.
Beliau berkata, mereka yang tidak merasai keseksaan ditahan dibawah akta itu boleh bermacam-macam mengandaikan akta itu ada baiknya.
Tetapi, kata beliau hanya mereka yang mengetahui dan mengalami sendiri pengalaman dizalimi akan tetap menyatakan akta itu harus dimansuhkan.
Beliau menyeru semua bekas tahanan ISA, keluarga tahanan dan orang ramai bersama-sama dalam perhimpunan itu nanti.
"Kita tunjukkan satu perpaduan menentang kezaliman ISA pada hari itu, dan tuntut agar akta itu dihapuskan," katanya semasa dihubungi.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh : Salmiyah Harun-
PPSMI: Bukan mansuh di sekolah
sahaja tetapi juga universiti
KUALA LUMPUR, - Selaras dengan Akta Pendidikan 1996, pemansuhan PPSMI tidak seharusnya terbatas di peringkat sekolah sahaja kerana Akta Pendidikan turut merangkum sistem pendidikan di peringkat pengajian tinggi.
Bagi Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China, Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Beijing, Prof. Dr. Awang Sariyan, kerajaan seharusnya bertegas dalam pelaksanaan dasar bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama di peringkat Matrikulasi, Tingkatan Enam dan Institusi Pengajian Tinggi.
Jelasnya sewaktu dihubungi Harakahdaily semalam, keputusan memansuhkan PPSMI itu bertepatan dengan hujah dan alasan perjuangan pejuang-pejuang bahasa selama ini.
Dengan keputusan ini juga katanya, diharapkan kerajaan tidak akan mengulangi kesilapan pada waktu akan datang dengan melaksanakan sesuatu dasar yang bertentangan dengan dasar negara serta tidak berdasarkan kajian mendalam lebih dahulu.
Beliau juga menegaskan, pemansuhan tersebut membuktikan PPSMI bukanlah kaedah yang betul dan berkesan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris serta sains dan matematik di kalangan pelajar.
Jelas Presiden Persatuan Linguistik Malaysia ini juga, pelaksanaan kembali bahasa Melayu dalam pengajaran matematik dan sains menunjukkan dasar negara dalam bidang pendidikan telah sebahagiannya dikembalikan menurut undang-undang negara, iaitu akta Parlimen tentang kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara.
Sehubungan itu katanya, kerajaan seharusnya perlu itiqamah dan konsisten dalam mempertahankan dasar negara yang betul dan baik.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh : Nyza Ayob-
Samad Said: Bahasa Inggeris
dapat RM5 bilion, bahasa Melayu
dapat berapa?
KUALA LUMPUR, - Sasterawan Negara Dato' A Samad Said berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan sewajarnya untuk memartabatkan bahasa Melayu di sekolah-sekolah sebagaimana yang diberikan untuk pengukuhan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.
Menurut Bernama, beliau berkata sekiranya kerajaan seperti yang dilaporkan memperuntukkan hampir RM5 bilion bagi mengukuhkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah, ia seharusnya boleh dilakukan terhadap bahasa Melayu.
"Saya ingin tahu juga, untuk memartabatkan bahasa Melayu berapa jumlahnya," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran buku antologi sajak bertajuk "Mengabdi, Melestari" sempena ulang tahun ke-30 Permodalan Nasional Berhad (PNB), di sini Jumaat.
Peruntukan RM5 bilion itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Dr Puad Zarkashi di Dewan Negara semalam.
Sementara itu A Samad Said yang juga Penasihat Gerakan Memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), menyifatkan pengumuman Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai PPSMI sebagai bukan pemansuhan PPSMI, tetapi menangguhkan pemansuhan.
"Cuma yang saya tidak setuju, ia (pemansuhan PPSMI) bukan sekarang, bukan tahun depan tetapi ia 2012," katanya.
Bagaimanapun, katanya beliau memahami bahawa pemansuhan itu tidak dapat dilakukan serta merta dan kesediaan kerajaan memenuhi tuntutan rakyat itu sudah cukup baik.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
Ahli, penyokong PAS diminta
puasa sunat, solat hajat, 12 Julai
KUALA LUMPUR, - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan semua ahli, penyokong parti serta mereka yang bersimpati dengan perjuangan Islam agar melakukan puasa sunat pada hari Ahad, 19 Rejab bersamaan 12 Julai nanti.
Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali, dalam satu kenyataannya kepada Harakah, berkata puasa sunat bersempena pilihan raya kecil Manek Urai yang bakal berlangsung pada 14 Julai ini.
Beliau berkata, sehubungan itu, pada sebelah malamnya diminta semua ahli PAS solat hajat dan bermunajat untuk memohon kepada Allah agar diberikan kemenangan yang cemerlang kepada calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah dalam pilihan raya kecil tersebut.
"Semua ahli PAS diminta melaksana arahan daripada Mursyidul Am dan Presiden itu.
"Kerjasama dan komitmen semua pihak bagi memastikan kejayaan PAS dalam pilihan raya kecil itu didahului dengan ucapan Jazakallahu Khairan Khathira," ujarnya.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh : Roy Rasul-
Manek Urai: PAS
ditentang BN!
MANEK URAI, - Pilihan raya kecil Dun Manek Urai menyaksikan calon PAS, Mohd. Fauzi Abdullah, 50 akan ditentang calon daripada Barisan Nasional (BN), Tuan Aziz Tuan Mat, 39.
Status kedua-dua calon itu disahkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Manek Urai, Adnan Hussin sebentar tadi.
Lintas langsung daripada Manek Urai sebelum ini
Seawal jam 7 pagi lebih 10,000 penyokong PAS dan Pakatan Rakyat berkumpul di pekarangan Masjid Jauhar untuk memberikan sokongan kepada calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah dalam proses pencalonan yang sedang bermula ketika ini.
7.00 pagi: Penyokong PAS dan Pakatan Rakyat memenuhi pekarangan Masjid Jauhar.
7.35 pagi: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengimami solat Hajat. Turut kelihatan pimpinan PAS yang diketuai Presidennya, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar, Salahuddin Ayob dan Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali.
8.05 pagi: Perarakan calon PAS ke Pusat Penamaan Calon, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1 sejauh 1.5 km bermula. Lebih 10,000 iringi calon PAS. Kelihatan pimpinan PAkatan Rakyat, Azmin Ali, Tan Sri Khalid Ibrahim, Zuraidah Kamaruddin, Tan Siew Giaw dan Tian Chua.
8.45 pagi: Rombongan perarakan calon tiba di pusat penamaan Dewan Petra, Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra 1.
8.50 pagi: Calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah masuk ke dalam dewan diiringi pencadangnya,bekas Imam Kg Temalir, Idrus Jalal, 69 dan penyokongnya, seorang Guru, Abdul Halim Hamzah,43, dari Kampung Latereh.
8.55 pagi: Calon Umno-BN, Tuan Abdul Aziz Tuan Mat masuk ke dalam dewan. Rombongan penyokong Umno-BN dianggarkan seramai 2,000. Turut kelihatan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tengku Adnan Mansor, Dato' Seri Shafei Apdal, Dato' Mustafa Mohamad dan Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein.
9.45 pagi: Masa pencalonan masih dibuka jika masih ada pencalonan lain.
10.00 pagi: Tempoh mengemukakan borang pencalonan berakhir.Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Adnan Hussin hanya menerima borang daripada Tuan Aziz Tuan Mat, 39, (BN) dan Mohd. Fauzi Abdullah, 50, (PAS).
10.05 pagi: Proses bantahan sedang berlangsung.
FAKTA MANEK URAI
* PRU ke-7 sejak Mac 2008.
* Calon PAS, Ismail Yaacob menang dengan majoriti 1,352 undi tewaskan calon BN, Mohamed Zulkifli Omar.
* 14 Julai sebagai tarikh pengundian.
* Seramai 12,293 pemilih termasuk 25 pengundi pos layak mengundi kali ini.
* 12,197 adalah pengundi Melayu (99.2 peratus), pengundi Cina (56), India (28) dan lain-lain kaum 12 orang.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh : Mazlan Jusoh-
Kezaliman ISA terdedah di
sidang hak asasi PBB Geneva
GENEVA, - "SAYA sangka Malaysia sebuah syurga ...," kata Julunya dari Sudan.
"Semua orang sukakan Malaysia, kami tak tahu ada akta seperti ini di negara kamu," kata Hammara yang berasal dari Pakistan tetapi menetap di London.
"Saya tak sangka ISA begitu kejam bagi sebuah negara yang berimej Islam seperti Malaysia," kata Deena, seorang aktivis hak asasi dari Mesir.
Demikianlah antara komen terus terang kepada saya sebaik saja ucapan dua minit di Konvensyen Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva tamat.
Peserta wanita memelukku sebagai tanda simpati manakala yang lelaki memandang dari jauh dan menganggukkan kepala tanda sokongan terhadap ucapan itu. Saya rasa terharu dan hiba dengan respons mereka.
Tidak pernah terlintas
Sejak melibatkan diri dalam kempen anti-ISA bersama Gerakan Mansuh ISA (GMI), tidak pernah terlintas dalam fikiran bahawa suatu hari nanti, saya berpeluang menyatakan kezaliman ISA dalam sebuah dewan yang tersohor di Persidangan PBB, Geneva.
Begitu juga selama ini, saya tidak pernah terfikir akan begitu sabar menanggung perasaan sebagai seorang wanita yang ketiadaan suami dan pada masa sama menghadapi karenah dan kejahatan akta tahan tanpa bicara ISA ini sehingga tujuh tahun lamanya. Saya yakin, semuanya terjadi dengan izin Allah.
Kehadiranku di 'Human Rights Council Eleventh Session' di PBB sesi Jun 2009 ini adalah satu kesinambungan daripada kempen 'menulis surat' selama enam bulan pada sepanjang tahun 2008.
Ketika itu, sebagai Pengarah Kempen Bebaskan Tahanan Enam Tahun ISA anjuran GMI, saya mensasarkan sekurang-kurangnya 100,000 surat dapat disampaikan oleh rakyat Malaysia kepada Menteri Dalam Negeri dan 'Office of High Commissioner for Human Rights (OHCHR)' di PBB.
Walaupun sasaran itu kurang sedikit, kami berjaya menghantar lebih 20,000 surat ke PBB dan sejumlah yang sama kepada Menteri Dalam Negeri di Putrajaya. GMI mendapat respons positif daripada OHCHR yang berada jauh beribu-ribu kilometer iaitu di Geneva tetapi anehnya langsung tidak mendapat sebarang berita daripada pejabat Menteri Dalam Negeri yang cuma terletak di Putrajaya.
Kempen bersama IHRC
Mungkin ramai tidak tahu bahawa isu tahanan tanpa bicara suamiku, Mat Sah Mohd Satray telah dihantar ke peringkat antarabangsa sejak tahun 2007 melalui Islamic Human Rights Commision (IHRC) yang berpangkalan di London.
IHRC telah menyediakan satu kempen pek lengkap mengenai akta zalim ISA di Malaysia dan Mat Sah dijadikan contoh tahanan yang masih dipenjara tanpa bicara di Kem Kamunting. GMI mendapat kerjasama yang amat baik daripada IHRC manakala sokongan rakyat Malaysia terhadap aktiviti 'menulis surat' itu telah melonjakkan kempen itu ke perhatian PBB pula.
Jika diimbas kembali, ia seolah-olah satu perjalanan yang sangat panjang, tetapi sokongan berterusan daripada rakyat Malaysialah yang memberi kekuatan kepadaku untuk berusaha keras mencari peluang dan dana bagi memastikan kezaliman ISA dapat disuarakan di United Nation di bumi Switzerland ini.
Pemergianku ke Geneva baru-baru ini juga merupakan salah satu daripada dua perkara utama dalam 'retreat' GMI bagi tahun 2009 ini selain daripada Himpunan Mansuh ISA yang dalam peringkat mobilisasi massa sekarang.
Saya dan aktivis lain di GMI amat menyedari, selain penahanan tujuh tahun yang sudah terlalu lama pada abad ke-21 ini, tidak dapat dinafikan gelombang kesedaran rakyat terhadap isu tahan tanpa bicara ISA ini begitu kuat sekali hingga menyebabkan PM Najib Razak dalam ucapan perdananya terpaksa menyatakan bahawa beliau akan mengkaji semula ISA dan pada masa yang sama membebaskan 13 tahanan ISA pada 2 April lepas.
Kemudian pada bulan Mei baru-baru ini, sekumpulan 13 tahanan ISA lagi telah dibebaskan tetapi malangnya Mat Sah masih belum dibebaskan.
Permusafiran di Geneva
Geneva, yang terletak bersempadanan dengan Perancis adalah sebuah bandar raya yang sederhana besarnya, jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur. Bandar yang masih mengekalkan ciri-ciri tradisonal ini memang terkenal di serata dunia sebagai sebuah tempat amat terkenal dengan pengeluaran jam tangan.
Tidak hairanlah di sepanjang jalan, terdapat deretan kedai-kedai menjual jam tangan berjenama seperti Rolex, Reymond Weil, Tissot, Oris dan pelbagai lagi.
Walaupun kami agak letih sepanjang 20 jam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Geneva, panorama alam seindah banjaran Alps yang masih ada selapis salji di atasnya, pemandangan Tasik Geneva yang begitu mengasyikkan dengan hembusan angin musim panas yang dingin dan nyaman seolah-olah melupakan seketika bahawa saya datang ke sini untuk menyampaikan kepada dunia, satu kisah kezaliman yang belum tahu bilakah penghujungnya.
Kami berempat iaitu saya, Nalini dan John daripada Suaram serta Andrew daripada Bar Council terpaksa melalui jadual yang agak ketat. Setiap hari, kami keluar dari hotel menuju ke bangunan United Nations seawal jam 8.00 pagi dan kemudian kembali ke hotel pada jam 7 atau 8 malam.
Pada hari pertama, kami dimestikan mendaftar sebagai salah seorang peserta yang akan berucap dan kemudian sebahagian besar masa dihabiskan bertemu peserta daripada beberapa NGO negara lain untuk menyampaikan mesej pencabulan hak asasi yang terkandung dalam ISA kepada mereka.
Dalam proses memurnikan ucapan yang telah lama didraf, aku mengimbau kembali peranan 'OHCHR- United Nations' dalam isu ISA ini, badan dunia itu telah mengeluarkan satu perisytiharan 'Arbitrary Detention' terhadap Mat Sah sejak bulan November 2008 lagi.
Tahanan masuk tahun ke-8
Selain perisytiharan itu, mereka juga telah mencadangkan kepada kerajaan Malaysia supaya Mat Sah dibicarakan atau dikeluarkan saja dari Kem Kamunting kerana sebaik saja selesai meneliti laporan dari pihak GMI dan pihak Kerajaan Malaysia (Kementerian Dalam Negeri), ternyata penahanan tanpa bicara yang dikenakan ke atas Mat Sah amat bertentangan dengan mana-mana prinsip hak asasi manusia.
Kemudian dalam bulan Februari 2009, isu 'Arbitrary Detention' ini juga telah dibincangkan dengan panjang lebar oleh sebuah jawatankuasa kerja di PBB untuk memberi lebih penekanan supaya kerajaan Malaysia melakukan sesuatu yang lebih mulia daripada terus-menerus menahan Mat Sah yang kini ditahan masuk tahun kelapan!
Semua fakta di atas saya masukkan dalam ucapan tersebut. Saya terlupa, berapa kali agaknya draf ucapan itu diubah suai mengikut kepentingan fakta dan masa yang diberi. Beberapa kali saya ucapkan terima kasih pada Andrew Khoo yang telah menyusun semula semua fakta penting dalam ucapan tersebut dan memasukkan elemen perundangan di dalamnya.
Ketika membuat penyusunan itu, Andrew mengatakan beliau membayangkan bagaimana keadaan Mat Sah yang telah tujuh tahun tidak menikmati kehidupan normal kerana terkurung di kem. Beliau dapat merasakan deritanya menjadi tahanan ISA kerana pernah beberapa kali bertemu Mat Sah ketika melawat tahanan ISA di Kem Kamunting.
Pada hari Jumaat, 12 Jun 2009, saya adalah peserta keenam yang diberi peluang berucap. Sebaik saja teks ucapan itu siap, saya segera berlatih supaya dapat membaca dengan lancar dan tenang.
Ucapan yang disampaikan dalam bahasa Inggeris itu berkisar kepada penahanan tanpa bicara yang memasuki tahun ke tujuh, 'habeas corpus' tidak sesuai untuk membebaskan tahanan daripada sudut perundangan, lembaga penasihat yang tiada integriti, tiada 'charge' yang membolehkan tahanan didakwa di mahkamah, perisytiharan 'Arbitrary Detention', kerinduan Suhaib yang sentiasa menanti kepulangan bapanya.
Dan akhir sekali merayu kepada kerajaan Malaysia supaya menerima cadangan daripada OHCHR agar sama ada membicarakan Mat Sah di mahkamah atau membebaskannya saja.
Alhamdulillah, saya dapat menyampaikan teks ucapan itu dengan tenang dan fasih. Aku amat bersyukur, kerana segalanya berjalan dengan lancar. Selesai saja kami, barisan NGO menyampaikan ucapan, kerajaan Malaysia yang diketuai oleh Duta Besarnya berkata, isu 'Arbitrary' akan diberi keutamaan dan ISA juga dalam proses untuk dikaji semula.
Tagih janji PM
Itulah ucapan yang amat sedap didengar oleh wakil Malaysia di hadapan wakil negara lain demi untuk menutup segala unsur negatif yang telah terpaksa kami nyatakan secara terus terang.
Namun, apakah hakikat sebenar kedudukan ISA di Malaysia? PM Najib Razak memang berjanji untuk mengkaji semula akta itu, tetapi nampaknya daripada bulan April hingga Jun, belum ada sebarang tanda yang beliau mengarahkan sebarang 'engagement' antara kerajaan dengan pengamal undang-undang dan NGO yang terlibat secara aktif dalam kempen anti-ISA.
Tidak ada 'time�frame' dalam janji-janji PM bahawa ISA akan benar-benar di kaji semula...
Saya amat berterima kasih kepada Forum Asia, sebuah NGO di Bangkok, yang mempunyai beberapa orang kakitangan di Geneva yang banyak membantu menyelesaikan urusan kami ketika berada di PBB.
Mewakili GMI, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada penyumbang dana terbesar misi ke Geneva ini terdiri daripada Harakah, kerajaan Pakatan Rakyat Kelantan dan Pulau Pinang, KeADILan, Kumpulan Usrah Profesional dan JIM di atas bantuan mereka.
Semoga segala bantuan ini akan dikira sebagai satu amalan mulia, solidariti dan sokongan kepada GMI dalam usaha membebaskan Malaysia daripada akta zalim ISA.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh : Norlaila Othman-
MOTIVASI RAKYAT SIRI 7
BERSAMA HJ MOHD SABU
ALOR SETAR, - Janganlah berdolak dalik, wahai pemerintah-pemerintah negeri dan negara umat Islam.
Dengan memakai imej Islam - kamu menzalimi rakyat.
Dengan memakai imej Islam - kamu hidup bermewah dengan habuan dari keringat rakyat.
Dengan memakai imej Islam - kamu menimbun kekayaan.
Dengan memakai imej Islam - kamu bermegah-megah dengan pangkat dan darjat.
Dengan memakai imej Islam - kamu hilang pedoman, apa sebenarnya hala tuju kehidupan kamu dalam membimbing rakyat.
Oleh itu, renunglah dengan penuh mendalam.......
Apakah benar, kamu memerintah dengan Islam yang diajar Muhammad S.A.W?
Atau kamu wahai pemerintah negeri dan negara umat Islam telah mengubah agama Muhammad S.A.W yang suci itu kepada satu ajaran baru yang mengikut nafsu dan keinginan kamu sendiri.
Nabi Muhammad S.A.W hidup sederhana ketika berjuang di Mekah tanpa pemerintahan dan hidup lebih sederhana, sehingga mengorek walaupun sebutir kurma dari mulut Hassan kerana kurma itu adalah sedekah orang yang tidak dibenarkan keluarga nabi untuk menerimanya.
Untuk apa semua itu dilakukan? Ia adalah untuk mengelak dan mengajar supaya pemimpin umat Islam tidak menerima sebarang bentuk habuan dunia yang akhirnya akan menindas rakyat yang diperintahnya............ kerana rakyat sering memberikan sesuatu kepada pemimpinnya, dengan berbagai alasan dan hasrat. Berwaspadalah.............
Ikuti kupasan lanjut dari Bang Mat Sabu mengenai MUHAMMAD S.A.W. USWATUN HASANAH........ seperti poster di bawah.
Majlis tersebut juga akan di isi dengan Majlis Penyerahan Sijil Keahlian PAS kepada 400 orang ahli baru PAS mewakili 43 cawangan dalam Kawasan Kuala Kedah (jumlah keseluruhan cawangan sekarang ialah 88 cawangan) - Semua Setiausaha Cawangan PAS dari cawangan yang terlibat dijemput hadir.

-Webmaster-
Tuan Hj Mohamad Sabu berada
di Manek Urai pada 29 dan 30 Jun
SHAH ALAM, - Untuk makluman kepada semua pihak, terutama di kawasan PRK Manek Urai, bahawa Tuan Hj Mohamad Sabu akan berada di sana bersama petugas-petugas PAS dan Jawatankuasa Pilihanraya Kecil DUN Manek Urai serta berceramah pada 29 dan 30 Jun 2009. Dan akan hadir semula pada 5, 6 dan 7 Julai 2009.
Ini bermakna, program yang diadakan di Stadium Kelana Jaya, sempena Himpunan Pakatan Rakyat 100,000 pada 30 Jun 2009 ini , beliau tidak dapat hadir kerana telah diminta oleh Jawatankuasa Pilihanraya Kecil DUN Manek Urai berada di sana pada tarikh tersebut.
Beliau memohon kemaafan di atas segala masalah dan kesilapan teknikal yang telah di maklumkan melalui iklan di akhbar Harakah.

-Webmaster-
'Kenapa Umno tolak Islam'
- Nik Aziz ajak Najib berdebat
KOTA BHARU, - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan beliau bertekad untuk berdepan secara terbuka dengan Presiden Umno, DatO' Seri Najib Razak dalam masa terdekat menerusi 'mujadalah' (debat).
Beliau berkata, untuk tujuan itu draf surat rasmi telah pun disiapkan dan akan dikirimkan dengan kadar segera kepada Najib yang juga Perdana Menteri Malaysia itu.
"Hari ini saya nak beritahu bahawa saya sudah siapkan draf surat khusus untuk Presiden Umno.
"Saya nak minta Presiden Umno berdepan dengan saya bulat-bulat, secara terbuka, tidak secara sulit kerana perkara ini telah terbuka secara umum sejak 1951, tak habis-habis.
"Saya mahu penjelasan kerana apa Umno tolak Islam dan kerana apa Umno lawan PAS sedangkan PAS ini guna Islam (dalam dasar parti, perjuangan dan pemerintahannya).
"Saya nak tahu, tak kena di mana (ajaran) Islam menyebabkan Umno menolak Islam, sebaliknya guna (mengambil sistem) sekular dan kebangsaan," jelasnya pada sidang media selepas mengimamkan Solat Dhuha sempena Sambutan Bulan Sembahyang Peringkat Negeri Kelantan di pekarangan Masjid Al-Baraah, Pasar Besar Siti Khadijah di sini pagi tadi.
"Saya berhasrat benar-benar ingin tahu kenapa Umno yang sudah Islam 500 tahun, Melayu pun sudah Islam 500 tahun, menolak Islam, sedangkan Islam menyebut, 'rahmatan lil-'aalamin', rahmat bagi seluruh dunia, bukan laknatan," katanya.
Tambahnya,Islam kini dianggap semacam satu 'laknat', (dan membawa kepada) pecah belah, dan (sekiranya) melaksanakan Islam itu tidak maju dan membawa kemunduran.
"Tuduhan seperti itu tidak akan selesai melalui suratkhabar, bahkan mesti berdepan dengan saya sebagai seorang pemimpin Islam di sini, dan dengan Presiden Umno sebagai pemimpin sekular, (secara) berdepan-depan.
"Ini (program dilakukan seperti ini) cara Nabi-nabi di mana Nabi Ibrahim berdepan dengan Namrud, Nabi Musa berdepan dengan Firaun dan Nabi Muhammad berdepan dengan Abu Jahal.
"Mengenai cara demokrasi, Amerika pun telah mengadakan debat terbuka di kalangan calon-calon Presidennya termasuk (yang dihadapi) Obama sendiri berdepan dengan calon Presiden Amerika dari parti lawannya, dan cara itu kini digunakan negara jiran, Indonesia.
"Pengamal demokrasi melakukan demikian oleh kerana negara ini disebut bukan (mengamalkan cara) Komunis.
"Cara mujadalah ini bukan pandai-pandai saya. Ini kerja Nabi, (oleh kerana perkara ini) ada Hadisnya dan ada Sirahnya.
"Oleh itu tidak ada sebab tidak mahu bermujadalah dalam satu saja isu iaitu 'Kerana Apa Umno Menolak Islam'.
"Saya nak tahu itu saja. Biar rakyat pun faham, biar masyarakat jelas oleh kerana (ketika berada) di akhirat kelak, tak selesai dengan mahkamah (dunia).
"Takkanlah dalam kubur nanti, saya nak kata; 'Ini keputusan Mahkamah Malaysia'.
"Apabila masuk kubur, (berdepan dengan) kerajaan lain, kerajaan Tuhan betul-betul. Tidak ada langsung sama ada Kerajaan Kelantan atau Kerajaan Kuala Lumpur, bahkan yang ada Kerajaan Allah SWT dan pada masa itu tidak laku keputusan yang dibuat dan bercanggah dengan Islam," tegasnya.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh: Muhammad Yusri Amin-
Peniaga diisytiharkan calon
PAS di Manek Urai
KUALA KRAI, - Seorang peniaga, Haji Mohd Fauzi Abdullah, 50 diumumkan sebagai calon PAS bagi mempertahankan Dun Manek Urai malam tadi.
Pengisytiharan itu dibuat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pada ceramah di Kampung Manek Urai Lama, yang sendat dengan ribuan manusia
Hadir sama Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Kawasan padang bola Manek Urai Lama sesak sejak petang lagi apabila penduduk tempatan dan petugas parti bertali arus menuju ke tempat ceramah.
Ketika diumumkan nama calon tersebut, suara takbir sambut menyambut mengiringi pengisytiharan tersebut. Kelihatan ramai yang setuju dengan ketokohan yang ditampilkan.
Biarpun Mohd Fauzi tinggal di Guchil, namun mempunyai keluarga yang ramai di Dun Manek Urai.
Kakak sulungnya, Mariam isteri kepada seorang pesara polis kini tinggal di Kampung Laloh.
Keluarganya berasal dari Bukit Marak berhijrah ke Kuala Krai ketika beliau berusia lima tahun.
Beliau merupakan anak keenam daripada lapan adik beradik. Empat daripadanya mendapat pendidikan tinggi sehingga ke luar negara.
Seorang lagi kakaknya, Prof Dr Aminah pensyarah kanan di UKM; ketiga, Ibrahim seorang peniaga buah-buahan; keempat, Sabariah ketua jururawat di Hospital Temerloh.
Kelima, Mohd Yazid, pengarah jabatan kerajaan di Putrajaya. Manakala dua adiknya iaitu Razali memiliki syarikat perunding di Pulau Pinang dan adik bongsu, Zaidi lepasan bidang IT di universiti, Australia.
Mohd Fauzi mempunyai lima anak hasil perkongsian hidup dengan Aminah Mahmood.
Terbabit dengan PAS sejak muda lagi. Beliau juga Ketua Cawangan PAS di Bandar Kuala Krai, Pengarah MTD Guchil dan bekas Penyelia Dun Guchil.
Beliau juga anggota jawatankuasa PIBG Maahad Rahmaniah, Kuala Krai. Kelibatnya tidak jauh berbeza dengan Allahyarham Haji Ismail Yaacob kerana pergaulan yang luas.
Orang ramai mudah menemuinya di kedai-kedai kopi. Hampir kesemua penduduk di sembilan peti di Manek Urai mengenalinya.
Biar pun kenderaan disekat melintasi jambatan merentangi Sungai Lebir menghala ke Manek Urai Lama mulai jam 7 petang semalam, namun banyak kenderaan masih lagi tersangkut untuk keluar ke jalan besar jam 1 pagi.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh: Wartawan Kita-
Hj Mohamad Sabu di jemput
ke program DAP
SEPANG, - Satu Jamuan Makan Malam iaitu "Jamuan Rakyat Ke Arah Kegemilangan" anjuran DAP Sg.Pelek, Sepang pada hari Khamis (25 Jun 2009) bertempat di Dewan Orang Ramai dan Tapak Taman Sri, Sg.Pelek, Sepang.
Jamuan di adakan oleh DAP Kawasan, yang menjual lebih 180 meja untuk makan malam tersebut. Ianya di hadiri lebih 2000 rakyat berbilang bangsa dan kaum, iaitu Cina, India dan Melayu. Di mana untuk jamuan orang Islam ianya diasingkan di dalam dewan (catering berasingan) , dan di luar dewan (dalam khemah) untuk Cina dan India.
Sambutan amat menggalakkan di mana kehadiran tetamu jemputan antaranya ialah YB Ronnie Liew (Exco Kerajaan Selangor), YB Tan Kok Wai (Ahli Parlimen Cheras), YB Gobind Singh Deo (Ahli Parlimen Puchong) dan Tuan Hj Mohamad Sabu sebagai jemputan khas.
Dalam ucapan Tuan Hj Mohamad Sabu menyentuh soal di negara kita , yang mana kekuatan tiang-tiang perlembagaan di Malaysia yang telah roboh. Semuanya angkara Umno/BN yang telah menggodam dan merosakkan semuanya.
Semua tiang-tiang perlembagaan itu di bawah Yang Dipertuan Agong, yang mengawal dan menjaganya, iaitu:
1. "Legislative" iaitu Parlimen dan DUN , yang paling tinggi ialah Speaker. Ia mula hancur bila speaker Perak diusung keluar
oleh Polis yang campurtangan, sedangkan ianya telah menyalahi perlembagaan.
2. "Executive" iaitu Perdana Menteri yang paling tinggi, menteri-menteri dan kakitangan kerajaan sehinggalah yang paling
rendah kerani di sekolah. Kita lihat terlalu banyak penyalahgunaan kuasa di kelompok ini.
3. "Judiciary" iaitu Sistem Kehakiman yang paling tinggi Ketua Hakim Negara, iaitu antaranya campurtangan oleh Executive
ke dalam perlantikan dan juga keputusan oleh hakim-hakim.
Selain itu Tuan Hj Mohamad Sabu juga menyentuh soal pentadbiran kerajaan Pulau Pinang di bawah YAB Lim Guan Eng yang telah berjaya menghapuskan kemiskinan tegar (pendapatan isi rumah kurang RM500). Kejayaan YAB Lim Guan Eng menghapuskan ketahap 0% selama setahun pemerintahannya, berbanding Umno/BN/Gerakan yang memerintah lebih 50 tahun tidak berjaya amat memalukan. Tambahan pula kemiskinan tegar itu semuanya adalah 90% adalah Melayu. Jadi tidak betul kalau Umno/BN kata DAP mahu menindas atau mahu membuang Melayu. Sedangkan Umno/BN sendiri tak pernah berusaha untuk berbuat demikian, malahan hanya cuba membuat fitnah di atas isu sensitif perkauman.
Ketika YB Gobind Singh Deo berucap, OCPD Sepang telah datang ke majlis tersebut. Walau bagaimanapun beliau sempat berucap dan menyentuh soal kes kematian banduan dalam penjara iaitu Kugan yang sehinga kini tiada siapa pun yang di tangkap atau di dakwa. Sedangkan kes itu dalam balai polis bukan di luar.
Sebelum itu beliau agak marah, ketika polis cuba meminta beliau untuk berhenti berucap. Sehingga katanya " dalam Parlimen tak boleh cakap, kat sini pun tak boleh cakap....habis mana mau cakap....???"
Program berakhir jam 10.40 malam.
-Oleh: Webmaster-
Ustaz Fadzil Noor
dalam kenangan
KUALA LUMPUR, - Peristiwa 23 Jun 2002 tetap bersemadi dalam memori seluruh umat Islam luar dan dalam negara kerana pada tarikh tersebut perginya idola tersayang, Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor.
Bapa Pejuang Islam Malaysia
Almarhum meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia akibat sakit jantung pada jam 10.30 pagi.
Almarhum menerima rawatan selepas melakukan pembedahan pintasan jantung pada 10 Jun 2002. Sebelum itu Alhamrhum dimasukkan ke Hospital Kuala Terengganu kerana mengadu sakit dada.
Pemergiannya ditangisi, jasa dan ketokohan Almarhum tiada tolok bandingnya.
Kini lima tahun sudah berlalu, namun memori bersama Almarhum tetap dalam berada dalam lipatan kenangan.
Setiausaha Agong PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar sentiasa mengenang jasa dan ketokohan Almarhum dan yakin seluruh ahli dan kepimpinan PAS turut merasainya.
Beliau yang dihubungi kagum dengan kehebatan dan kepintaran Almarhum memimpin parti dalam menghadapi pelbagai cabaran dari tahun 1990 hingga pertengahan 2002.
Katanya, kejayaan Almarhum memimpin PAS dalam suasana mencabar itu dan telah membawa kemenangan terbesar kepada PAS adalah satu fakta sejarah yang tidak dapat dinafikan.
Almarhum juga tambah beliau, dapat memberikan gambaran yang tepat berkenaan konsep kepimpinan Ulama dan ia tidak dapat ditandingi oleh tokoh lain.
Kamaruddin berharap ahli dan pimpinan PAS sentiasa memperingati dan mengkaji cara Almarhum memimpin parti selama berpuluh-puluh tahun dengan berbagai-bagai jawatan.
Sementara itu, Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyifatkan Almarhum cukup `friendly' walaupun beliau seorang pimpinan tertinggi parti.
"Bagi ahli PAS banyak kenangan manis yang patut dicontohi. Almarhum mempunyai sifat `kebapaan' jika berjumpa muslimat tidak lupa bertanya hal suami," katanya.
Menurut beliau kepetahan Almarhum ketika berdebat dan berceramah memang tidak dinafikan, mudah-mudahan pimpinan PAS seterusnya dianugerahkan oleh Allah mempunyai sifat yang dimiliki oleh Almarhum.
Kepada kaum keluarganya kata beliau, seharusnya berusaha untuk menjejaki langkah meneruskan perjuangan Almarhum.
"Sama-samalah kita kirim al-Fatehah kepada roh Almarhum semoga kita yang akan mengikutinya dipilih oleh Allah termasuk dalam golongan orang yang soleh dengan kerana melaksanakan perjuangan ini kerana Allah," katanya.
Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub berikrar untuk cuba bersungguh-sungguh melangsungkan hasarat dan cita-cita Almarhum mengaplikasikan pendeakatan perjuangan dan menjadikan PAS sebagai sebuah wadah perjuangan yang boleh diterima oleh masyarakat Malaysia.
Menurut beliau, Almarhum telah berjaya meletakkan diirnya bukan sekadar pimpinan PAS tetapi rakyat di luar sana.
Katanya, Almarhum merupakan seorang reformis yang memiliki keberanian untuk melakukan beberapa anjakan paradigma dalam menentukan pemikiran dan hala tuju perjuangan parti.
"Almarhum merupakan contoh ulama kontemporari yang sentiasa menjadikan pengetahuan sebagai asas dalam mendepani cabaran perjuangan," jelasnya.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh: Saidah Hairan-
Nik Aziz tarik balik kenyataan terhadap Nasha....selepas Mesyuarat & Pertemuan Khas di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR, - Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengumumkan menarik balik kenyataannya menggesa Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa meninggalkan PAS dan meletakkan jawatan ahli parlimen Bachok jika menyokong cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno.
Nik Abdul Aziz yang juga menteri besar Kelantan menegaskan demikian dalam satu kenyataan yang dibaca selepas satu perjumpaan khas hampir dua jam, mulai 5 petang tadi di pejabat agung PAS di ibunegara.
Berikut adalah kenyataan penuh Nik Aziz:
"Setelah berbincang dari awal hingga akhir dalam perjumpaan khas yang diadakan di pejabat agung (PAS) dalam semangat kekeluargaan bagi menangani permasalahan dalam beberapa isu politik semasa, yang dibesar-besarkan oleh media perdana, kami akhirnya bersetuju sebulat suara melupakan prihal salah tanggapan antara pimpinan atasan parti akibat daripada permainan politik parti Umno.
"Kami bersama-sama dalam satu saf yang padu, untuk terus bersama-sama memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulat Islam di persada tanahair.
"Kami juga bersetuju sebulat suara bahawa kerajaan perpaduan diberhentikan serta merta seperti yang telah diputuskan oleh Presiden PAS bersama Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama di bangunan Parlimen jam 2.30 tadi yang menolak sepenuhnya idea kerajaan perpaduan.
"Oleh yang demikian, selaras dengan itu, saya selaku Mursyidul Am PAS menarik balik segala kenyataan saya terhadap YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dan dengan itu, ianya tidak berbangkit lagi."
Perjumpaan khas itu turut dihadiri oleh Nasharuddin, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din; Naib Presiden - Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar - Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, bekas naib presiden, Ahmad Awang, Ketua Dewan Pemuda, Nasruddin Hassan dan Ketua Muslimat Nurida Salleh.
-Webmaster-
Tidak ada lagi bincang
kerajaan perpaduan - Presiden PAS
KUALA LUMPUR, - Majlis Presiden Pakatan Rakyat hari ini menegaskan pihaknya menolak sebarang usaha membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno.
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendieri menyatakan, dalam isu Kerajaan Perpaduan, Umno telah menjalankan fitnah yang jahat dan dengan itu pihaknya bertegas tidak lagi mahu membincangkan pembentukan kerajaan tersebut.
Apa yang diusahakan sebelum ini disalah tafsir oleh kepimpinan Umno-BN untuk memfitnah PAS dan Pakatan Rakyat semata-mata memecahbelahkan hubungan pakatan, katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media bersama Sekretariat Majlis Presiden Pakatan Rakyat di Bilik Ketua Pembangkang, Bangunan Parlimen hari ini.
Turut hadir ialah, Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub; Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali dan Dato' Seri Nizar Jamaluddin.
Sementara di pihak KeADILan, Presiden, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan, Dr Syed Husin Ali; Naib Presiden, Azmin Ali dan Sivarasa Rasiah; anggota MT KeADILan, Saifuddin Nasution, dan di pihak DAP pula, Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng; Dato' Ngeh Ko Ham.
Sementara itu, Anwar yang membacakan kenyataan mewakili Pakatan Rakyat menyebut, akatan Rakyat menolak pengwujudan kerajaan perpaduan.
"Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan persekutuan akan datang," katanya.
Majlis pimpinan Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan kerajaan Perpaduan dengan Umno-BN, yang merupakan suatu fitnah dan tohmahan serta tindakan terdesak Umno mengugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dukungan rakyat, tegas Anwar.
Menyokong pandangan itu, Salahuddin Ayub pula menyatakan kenyataan tersebut sebenarnya adalah muktamad dan ini bermaka tidak akan ada lagi 'unity talk' dengan Umno.
Malah Salahuddin kelihatan gembira dengan perkembangan itu yang seterusnya dilihat akan membuatkan Umno kelemasan.
Seorang lagi Naib Presiden PAS, Mahfuz pula memberi analogi bahawa 'Umno kini kehilangan tabung oksigen' apabila isu kerajaan perpaduan ini telah ditamatkan dengan kenyataan pimpinan pakatan.
Kenyataan itu juga sebagai satu usaha menutup talian hayat yang ada pada Umno/BN yang selama ini mengucarkacirkan pakatan dnegan penyelewengan isu kerajaan perpaduan, ujarnya.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh: Wan Nordin Wan Yaacob | Foto Wan Zahari Wan Salleh-
Tidak mudah lupa khianat
Umno terhadap PAS - Nik Aziz
KOTA BHARU, - Kini sudah terbukti Umno terlalu mengharapkan polemik kerajaan perpaduan benar-benar menjadi kenyataan.
Media harian yang menjadi alat kepada Umno mengharapkan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju dengan idea tersebut.
Maka tidak hairanlah apabila ada media membuat tafsiran sendiri Mursyidul Am PAS itu sudah berlembut dengan isu kerajaan perpaduan.
Rencana pengarang akhbar terbabit juga menganggap Menteri Besar Kelantan sudah hilang arah kerana menolak cadangan tersebut.
Sedangkan apa yang berlaku semalam Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjelaskan beliau terus istiqomah membantah cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan dengan Umno.
Menteri Besar menafikan tuduhan yang menganggapnya sebagai degil kerana menolak cadangan terbabit, sebaliknya beliau tetap istiqomah dalam perjuangan.
"Ini kerana istilah degil dimaksudkan mempertahankan sesuatu yang salah di sisi agama, namun sekiranya mempertahankan sesuatu yang benar dan hak, ia bererti istiqomah.
"Orang istiqomah dipuji Allah dan mana-mana mereka yang mempertahankan yang hak itu akan mendapat sokongan daripada malaikat secara berterusan.
"Apa yang saya lakukan hanya sekadar mempertahankan keputusan yang dibuat pada muktamar PAS di Ipoh tahun lalu iaitu PAS tetap akan bersama Pakatan Rakyat," katanya ketika ditemui pemberita di JKR 10 petang semalam.
Menurut beliau sekiranya ada pihak dalam PAS yang ingin mengadakan hubungan dengan Umno dan pada masa yang sama meneruskan hubungan dengan Pakatan Rakyat, ia adalah sesuatu yang kacau.
Bagaimanapun katanya sekiranya hasrat itu ingin diteruskan juga, ia harus dibawa dalam Muktamar PAS terlebih dahulu sebelum dibincangkan di peringkat negeri bersama Pakatan Rakyat.
"Ini tidak, rakan-rakan dalam Pakatan pun marah kepada kita, di mana Lim Guan Eng pernah mengeluarkan kenyataan PAS mesti menjelaskan isu tersebut," katanya.
Beliau juga turut mempertikaikan kenapa pemimpin PAS yang beriya-iya hendak menjalinkan hubungan dengan pemimpin Umno tidak mendesak pemimpin Umno menukar dasar pentadbiran negara kepada Islam.
Katanya PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam tidak boleh membicarakan soal bangsa semata-mata kerana Rasulullah saw tidak pernah mengutamakan bangsa Arab.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, PAS sebenarnya telah berjaya meredakan fobia kaum bukan Islam terhadap agama suci itu.
Ditanya impian Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Razak yang mengharapkan kerajaan perpaduan dilaksanakan segera, beliau enggan mengulas lanjut.
"Saya tak mahu cakap apa-apa lagi, saya tidak mahu langsung terlibat dengan Umno, biar dia bercakap dengan orang lainlah, tetapi saya nak jaga parti saya mengikut peraturan.
"Jika silap langkah PAS sama PAS berpecah, PAS dengan Pakatan juga berpecah akhirnya Umno akan berpesta di atas apa yang berlaku itu," ujarnya.
Katanya, PAS selamanya tidak akan mempercayai Umno kerana banyak sejarah yang berlaku tidak memperlihatkan kejujuran pemimpin Umno.
Kata beliau sampai bila-bila pun Umno tidak akan berubah tambahan pula parti itu juga menyingkirkan dengan aib bekas Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Sekiranya Pak Lah boleh mereka tendang, apa lagi PAS yang berada di luar kelompok mereka. Mana ada parti yang sanggup menendang keluar presiden mereka sendiri kecuali Umno," katanya.
Beliau juga mempertikaikan hasrat Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu PAS melupakan sejarah silam yang pernah dilalui ketika bersama Perikatan.
"Ia tidak mudah untuk dilakukan. Oh suruh lupa... oh senang aja suruh lupa, adakah manusia boleh lupa. Ingat ni barang automatik. Kalau lupa tak ada sejarahlah dan tak perlu buat sejarah. Lupa lupa begitu saja.
"Untuk bermaafan biar pemimpin parti itu itu mengaku terlebih dahulu kesalahan mereka lakukan sebelum ini," katanya.
Katanya, beliau boleh memaafkan sekiranya pemimpin Umno sanggup berbuat demikian. Bagaimanapun beliau yakin Umno tidak akan berbuat demikian.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh: Salmah Mat Husain-
10 wakil PAS tolak
k'jaan perpaduan
KUALA LUMPUR, - Sepuluh daripada 24 anggota Dewan Rakyat PAS tiba-tiba membuat kejutan petang ini di lobi Parlimen.
Mereka mengisytiharkan beramai-ramai menolak idea kerajaan perpaduan dan sekali gus memberi mandat kepada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk menangani isu tersebut yang sedang menggelegak dalam parti itu.
Dalam kenyataan ringkas tiga perenggan, mereka sebulat suara menegaskan bahawa idea kerajaan perpaduan seperti disarankan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang "tidak pernah merupakan agenda PAS."
Mereka juga menegaskan kembali pentingnya PAS berpegang teguh pada keputusan muktamar di Ipoh tahun lalu yang ingin menguatkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.
Kenyataan tersebut, bersama tandatangan sepuluh anggota Dewan Rakyat berkenaan, diedarkan dalam satu sidang media (foto kiri).
Ahli-ahli parlimen PAS itu seperti berikut: Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Khalid Samad (Shah Alam), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Datuk Kamaruddin Jaffar (Tumpat), Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali (Titiwangsa), Dr Mohd Hayati Othman (Pendang), Taib Azamuddin Md Taib (Baling) dan Dr Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar).
Abdul Hadi, yang juga ahli parlimen Marang, tidak hadir kerana berada di luar negara, manakala Nasharuddin (Bachok) pula menghilangkan diri sejak dibidas Nik Aziz petang semalam.
Mesyuarat ukhuwah
Sementara itu di Kota Bharu, Nik Aziz merancang mengadakan mesyuarat khas yang hanya dihadiri pemimpin tertinggi PAS termasuk Abdul Hadi dan timbalannya Nasharudin Mat Isa.
"Saya sendiri akan menjemput presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalan presiden (Nasharudin) dan beberapa pemimpin PAS lain yang akan saya tentukan kemudian.
"Pertemuan ini saya namakan mesyuarat ukhuwah (persaudaraan) yang akan menyelesaikan isu kerajaan perpaduan ini.
"Buat masa ini masa, tarikh dan lokasinya belum lagi dapat ditentukan sama ada di Kuala Lumpur atau di Kelantan, bergantung kepada kesesuaian masa tetapi akan diadakan secepat yang boleh," Nik Aziz dipetik berkata selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan hari ini.
Menurut Bernama lagi, Nik Aziz beliau belum dihubungi Nasharudin berhubung gesaannya agar timbalan presiden itu meletakkan jawatan, termasuk sebagai ahli parlimen Bachok.
Nik Aziz juga dipetik berkata Pakatan Rakyat ketika ini yang sebenarnya kerajaan perpaduan.
"Kenapa perlu nak cari yang lain (kerajaan perpaduan)? Kelebihan gabungan Pakatan Rakyat telah menghilangkan 'Islamophobia' oleh bangsa lain seperti Cina dan sebagainya dan inilah dianya kerajaan perpaduan," katanya.
Pada mesyuarat hari ini, semua penyandang jawatan parti dalam PAS negeri dikekalkan kecuali jawatan setiausaha yang kini disandang Zaki Ibrahim, menggantikan Datuk Takiyuddin Hassan.
Bekas bendahari Pemuda PAS itu juga timbalan speaker DUN Kelantan yang menarik diri saat akhir daripada bertanding jawatan ketua Dewan Pemuda PAS.
-Dipetik Dari MalaysiaKini-
Umno perangkap PAS isu
kerajaan perpaduan - Nik Aziz
KOTA BHARU, - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan isu berkaitan kerajaan perpaduan yang diriuh rendahkan sekarang hanya sekadar kenyataan peribadi pemimpin tertentu yang tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat.
Katanya setakat ini tiada sebarang kertas agenda yang dibawa dalam mesyuarat PAS atau bersama Pakatan Rakyat.
Oleh itu kata beliau isu tersebut tidak boleh dikaitkan secara langsung dengan PAS kerana ia merupakan satu padangan peribadi pemimpin tertentu sahaja.
"Kerana itulah pemimpin Pakatan Rakyat pun tidak tahu, begitu juga dengan pemimpin PAS yang lain. Jadi bagaimana nak hubungkaitkan dengan PAS berhubung isu kerajaan perpaduan.
"Bawalah dulu benda itu dalam mesyuarat parti, kemudian dalam Pakatan, kalau PAS dan Pakatan Rakyat bersetuju lainlah masalahnya.
"Ini dengan Pakatan tidak dibincang dalam parti pun begitu juga, macamana kita nak proses benda ni.. sebab tu saya kata benda ni direka oleh boneka Umno," katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.
Sehubungan itu katanya, kalau semua pihak setuju, maka setiap wakil sama ada dari PAS, KeADILan dan DAP mungkin ada yang bakal menjadi menteri.
Kata beliau sekiranya perkara itu boleh berlaku barulah benar-benar dikatakan sebagai kerajaan perpaduan.
"Tetapi apa yang berlaku ini perpecahan. Umno sekarang sedang berpesta. PAS dah masuk perangkap. PAS sesama PAS dah nampak macam nak berpecah dah.. bercelaru.
"Begitu juga PAS dengan Pakatan Rakyat juga nampak bercelaru. Ini bererti mereka menganggap telah berjaya memecah belahkan PAS.
"Tetapi Alhamdulillah dapat dibendungkan dengan kenyataan saya sebelum ini," tambahnya.
Semalam Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak dilaporkan percaya PAS ikhlas untuk berbincang mengenai penubuhan kerajaan perpaduan yang dicetus presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh: Salmah Mat Husain-
"Intailah aku sementara
nampak".....
SHAH ALAM, - Rangkap ketiga pantun yang disampaikan mantan Naib Presiden PAS, Hj Mohamad Sabu cukup memberi erti yang sangat mendalam kepada hadirin Muktamar PAS ke-55.
"Tuai padi antara masak, nanti jangan layu-layuan, Intailah aku sementara nampak, nanti jangan rindu-rinduan," kata Hj Mohamad Sabu ketika mengakhiri rangkap pantunya sebelum menamatkan ucapan penangguhan Muktamar PAS ke-55 di Stadium Malawati, dekat ini hari ini.
Bacaan pantun Hj Mohamad Sabu disambut dengan laungan takbir yang sangat gemuruh oleh perwakilan dan para pemerhati.
Selain itu, beliau juga secara seloroh berkata "...pergilah pimpinan-pimpinan muda ke Parlimen, ke DUN dengan berpakaian kemas , cantik dan elok.....biarlah Abg Mat keluar masuk ke mahkamah...". Tegasnya lagi kerana keesokan hari (Isnin) beliau akan ke mahkamah kerana kes BERSIH selama 5 hari bermula 8-12 Jun 2009 dan pada 24-26 Jun 2009 pula untuk kes PROTES.
Terdahulu diawal ucapannya, Hj Mohamad Sabu yang menggelarkan dirinya sebagai 'Abang Mat' mengutarakan beberapa isu membabitkan membedah demokrasi seperti isu rampasan kuasa di Perak, pelanggaran undang-undang oleh pihak polis, Umno/BN terhadap kuasa speaker di Perak selain isu memantapkan gerakan memansuhkan ISA.
Hj Mohamad Sabu juga menegur secara sinis kisah-kisah beberapa pimpinan PAS yang di kalangan ulama yang akhirnya menyertai Umno.
Beliau memberi contoh, Dato' Nakhaie Ahmad yang digolongkan sebagai ulama (Ahli Majlis Syura dan Naib Presiden) yang akhirnya menyertai Umno hingga kini.
Ucapan Penggulungan Dari Hj Mohamad Sabu.
Hj Mohamad Sabu mahu PAS kekal dengan ideologi perjuangan tatkala melihat Umno/BN yang dikuasai Dato' Seri Najib Tun Razak merosakkan kerajaan.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh: Wan Nordin Wan Yaacob-
"Altantuya....."
SHAH ALAM, -
Sajak ini adalah karangan Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu yang dkarang hanya
dalam masa 20 minit selepas solat maghrib sebelum hadir ke konsert Malam Kesenian
Sempena Muktamar PAS Pusat ke-55 di stadium Shah Alam.
Beliau mendeklemasikan dan mendapat tepukan gemuruh 5000 hadirin yang menyaksikan
konsert tersebut.
'Altantuya'
Au Insan Ajnabi
Aku Berasal Dari Tanah Tinggi
Bangsaku menjelajah dunia
Bangsaku pernah menguasai dunia
Kecantikanku menawan sesiapa sahaja
Lemah gemalaiku melembutkan lelaki perkasa
Kecerdikanku, kecantikanku boleh diperniaga
Aku wanita Ajnabi merantau kemana-mana
Mencari rezeki merata dunia
Kuala Lumpur, Paris, Hong Kong aku merata
Pembesar negara kuasai ku
Ku kuasai pembesar negara
Sebut sahaja apa berniaga aku tetap di sana
Kepercayaan dan akidah sama sahaja
Sekejap muslimah sekejap insaniah
Aku tetap manusia beragama
Manisku dijilat, manisku disedut
Aku rela kerana berniaga
Aku berakidah aku insaniah
Ku tahu siapa yang menyedutku
Manisku masih banyak
Manusia rakus menghirup ku
Kadang menggilir kadang digilir
Aku berniaga tak kira siapa
Zuriatku ada
Ku tahu siapa bapanya
Masakan tidak, disarangku dia bertelur
Manisku belum habis dihisap
Sepahku dibuang merata
Badanku dihancur luluh
Tubuhku berkecai rapuh
C4 dipanggil untuk memusnahku
Rohku tetap menjalar, Rohku tetap merayau
Setiap dada media ku buka cerita
Ku tahu siapa pemusnahku
Rohku berulang alik
Entah di Mongolia, entah di Paris
Entah di Shah Alam, entah di Putrajaya
Rohku menjalar terus menjalar
Roh suciku diawang-awangan
Menghinggap siapa sahaja
Tak kira pangkat atau kedudukan
Pemusnahku akan musnah....
-Ditulis Oleh Hj Mohamad Sabu-
PAS adalah bahtera yang
selamat - Presiden PAS
SHAH ALAM, - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan 'PAS sebagai bahtera yang selamat' kepada seluruh rakyat Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi ucapan penangguhan Muktamar PAS ke-55 di Stadium Malawati hari ini.
Presiden PAS menegaskan, sesiapa yang meninggalkan bantera itu, pastinya akan tenggelam.
PAS disifatkan demikian kerana parti itu memperjuangkan Islam yang sebenar, tatkala suasana hari ini penuh dengan rasuah, kerosakan akhlak dan masalah ekonomi, katanya.
Kini PAS katanya, sudah diterima pelbagai pihak samda kawan mahupun lawan, samada Islam mahupun bukan Islam.
Dalam ucapan yang sama, beliau menyatakan komitmen bahawa PAS adalah bahtera yang diakui lawan akan kekuatannya, selain akan tetap dengan bahtera tersebut juga.
Beliau turut menjelaskan beberapa isu membabitkan 'tahaluf siyasi' hari ini yang dilakukan PAS dalam mendepani politik nasional.
Penubuhan Kelab Penyokong PAS disentuh selain persefahaman dengan pelbagai pihak dalam isu-isu tertentu ketika adanya krisis tertentu.
Sebelum ini Barisan Alternatif dan kini Pakatan Rakyat menjadi medan PAS bersepakat dalam kerjasama politik, katanya.
"Allah memerintahkan supaya kita mengutamakan perdamaian kerana matlamat adalah untuk menyelamatkan manusia," ujarnya.
Beliau turut menyatakan PAS tidak boleh menutup ruang kepada mana-mana pihak, sebaliknya terbuka untuk menerima semata-mata untuk memberi kebaikan kepada manusia.
Presiden PAS juga menyatakan, muktamar PAS kali ini berjalan baik "walaupun ada keriuhan tetapi tidak ada kekacauan".
Beliau menyeru sidang muktamar meneruskan perjuangan dengan tema muktamar 'Islam Memimpin Perubahan'.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh: Wan Nordin Wan Yaacob-
Keputusan penuh pemilihan
Muktamar ke 55
SHAH ALAM, - Di bawah ialah keputusan penuh pemilihan PAS sesi 2009/2011:
Presiden PAS: Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Timbalan Presiden PAS: Nasharudin Mat Isa, (480)
* Calon Lain: Hj Husam Musa (281) & Hj Mohamad Sabu (261)
Naib Presiden
1)Tuan Ibrahim Tuan Man, (871)
2)Salahuddin Ayub, (824)
3)Mahfuz Omar, (636)
* Calon Lain: Nik Amar (333) & Dr Mujahid (277)
Ahli Jawatankuasa Kerja:
1) Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, (854)
2) Ustaz Idris Haji Ahmad, (799)
3) Dato' Kamarudin Jaffar, (769)
4) Dato' Seri Ustaz Azizan Abd Razak, (653)
5) Dato' Dr Hasan Mohd Ali, (642)
6) Dr Mohd Hatta Md Ramli, (638)
7) Ustaz Abdul Ghani Samsudin, (637)
8) Dato' Ustaz Abu Bakar Chik, (622)
9) Mohamed Hanipa Maidin, (619)
10) Ir Amiruddin Hamzah, (606)
11) Dr Lo' Lo' Haji Mohamad Ghazali, (589)
12) Ustaz Ab Ghani Abdul Rahman,(584)
13) Dr Dzulkefly Ahmad, (576)
14) Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, (530)
15) Ustaz Hashim Jasin, (522)
16) Mazlan Aliman, (513)
17) Ustaz Taib Azamudden Md Taib, (508)
18) Dr Mujahid Yusof Rawa, (488)
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
(Al-Mu’tamar al-Daem lil Mukawama)
‘Conference for Permanent Resistance’
‘The resisting Quds; in the battle of
consciousness and
memory’
at Beirut 17 MEI - 22 MEI 2009

"LINK PAPER WORK" YANG DIBENTANGKAN OLEH TUAN HJ MOHAMAD SABU"
GAMBAR BERSAMA KHALID MASYHAL (PEMIMPIN HAMAS) DI DAMSYIK
GAMBAR BERSAMA ALI BARAKATH , JURU RUNDING HAMAS
MOTIVASI RAKYAT SIRI 6
BERSAMA HJ MOHD SABU
Ikuti Motivasi Rakyat Siri 6 oleh Hj Mohd Sabu di Surau Kg Baru, Tambak Bunga
NABI MUHAMMAD S.A.W USWATUN HASANAH
Kita mengaku pengikut Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W....
Apakah contoh-contoh pemerintahan beliau seperti kaisar?
Apakah contoh-contoh pemerintahan beliau penuh dengan kemegahan?
Apakah contoh-contoh pemerintahan beliau sentiasa dihampar dengan karpet merah ?
Apakah contoh-contoh pemerintahan beliau penuh dengan pengawal pengiring yang bengis?
Apakah contoh-contoh pemerintahan beliau penuh dengan penindasan dan kezaliman?
Sudah tentu semua itu tidak....
Jadi bagaimanakah pemerintahan beliau jika tidak seperti di atas namun dapat menguasai hati manusia dalam
masa yang singkat?
Ikuti penjelasan selama 1 jam oleh HJ MOHAMAD SABU yang bukan sahaja melihat Junjungan Besar Nabi Muhammad
S.A.W dari kaca mata pengkaji Islam tetapi juga dari kacamata pengkaji yang bukan Islam.
Jangan lupa hadir beramai-ramai.
Keputusan mahkamah satu
skrip dan matinya demokrasi
KUALA LUMPUR, - Keputusan Mahkamah Rayuan yang memberi kemenangan 3-0 kepada Dato' Dr Zambry Abdul Kadir pada 22 Mei lalu adalah satu keputusan yang telah diskripkan.
Demikian kata Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu semasa diminta mengulas keputusan kes rayuan Dr Zambry bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan Dato' Seri Ir NIzar Jamaluddin selaku MB yang sah.
Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Mohammad Nizar Jamaluddin.
Mengulas lanjut Mohamad Sabu berkata, keputusan yang telah diskripkan itu menandakan matinya demokrasi di negara ini.
"Keputusan ini sangat pelik kerana ia telah bocor dahulu, seluruh media BN telah menanti hanya untuk umumkan sahaja, satu lagi tanda sebelum keputusan dibuat ramai Adun dan pemimpin BN hadir, tak macam semasa keputusan di Mahkamah Tinggi,"ujarnya.
Meskipun begitu Mohamad Sabu masih mengharapkan akan berlakunya pembubaran Dun oleh pihak BN.
Dalam keputusannya, panel tiga hakim yang telah mendengar hujah kedua-dua pihak di Putrajaya seharian pada 21 Mei sebulat suara menerima rayuan Zambry.
Dalam penghakimannya, ketiga-tiga mereka berhujah bahawa hakim mahkamah tinggi Dato' Abdul Aziz Abd Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti dalam DUN.
Panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut ialah Dato' Md Raus Sharif, Dato' Zainun Ali dan Dato' Ahmad Maarop.
Mahkamah senyap ketika penghakiman dibaca.
Nizar diwakili oleh sepasukan lapan peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah, manakala peguam Cecil Abraham mewakili Zambry.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail - sebagai pencelah - turut hadir. Manakala peguam Mohd Hafarizam Harun, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan M Reza Hassan menjadi pemerhati bagi pihak BN. - mks.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh: Wan Nordin Wan Yaacob-
Hanya rakyat berhak tentukan
MB, bukannya mahkamah
KUALA LUMPUR, - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa kesemua Menteri Besar yang dilantik di negeri-negeri adalah dengan mandat yang diberikan oleh rakyat.
Menurutnya, keputusan yang dibuat Mahkamah Rayuan semalam mengisytiharkan Dato' Seri Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar adalah membuktikan bahawa ianya tidak berpandukan kepada mana-mana sistem iaitu Islam ataupun demokrasi.
"Kesemua Menteri Besar di Malaysia ini memegang jawatan ini kerana undi yang diberikan rakyat kepada kami, bukan keputusan mahkamah yang memutuskannya," katanya pada satu sidang media selepas merasmikan sambutan jubli perak kepimpinan ulama di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar Gombak dekat sini.
Beliau juga mendakwa bahawa sekiranya kaedah 'rampas kuasa' yang dilakukan Umno-BN ke atas kerajaan Perak 'dihalalkan', maka ini bermakna ia mungkin akan dilaksanakan di negeri-negeri lain selepas ini.
"Selepas berjaya dibuat di Perak, maka ia akan dibuat di negeri-negeri lain pula selepas ini.
"Cara apakah ini? Islam pun tidak, demokrasi pun tidak," tegasnya.
Malah menurutnya, Menteri Besar Perak sebelum ini, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaludin mengambil jalan yang betul dengan mengadap Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.
Ditanya mengenai keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang berpihak kepada BN, beliau menyifatkan parti itu sebagai satu gerombolan dan bukan sebuah parti politik.
"Umno sekarang bukan lagi sebuah parti politik sebaliknya ia sebuah gerombolan pemikiran sahaja," katanya lagi.
Menjawab soalan pemberita mengenai kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib mengenai hasrat BN untuk bertanding di Manek Urai, pihaknya menyifatkan kenyataan tersebut mencerminkan parti itu sebuah parti bertaraf parti Bebas.
"Bila dia tidak mahu bertanding di Penanti, maka ia jadi taraf sebuah parti Bebas, tetapi selepas timbalan dia menyatakan bahawa dia akan bertanding di Manek Urai bermakna dia telah sedar akan taraf sebenar parti itu.
"Kenyataan yang dibuat Najib dan pemimpin BN sebelum itu membuktikan rendahnya moral dan maruah parti tersebut apatah lagi dengan keengganan mereka untuk bertanding di Penanti," ujarnya lagi.
Beliau yang juga merupakan Menteri Besar Kelantan menjelaskan bahawa PAS mempunyai senarai calon yang ramai untuk mengisi kekosongan pada pilihan raya kecil Dun Manek Urai nanti.
"Kita mempunyai senarai yang panjang kerana terdapat calon yang ramai dan insya-Allah ia adalah orang tempatan," demikian ujarnya.
Turut hadir pada sidang media tersebut, Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din. - mks
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh: Intan Abdullah | Foto Wan Zahari Wan Salleh -
Dr Mansor ada harapan
cerah menang besar
- Hj Mohamad Sabu
PENANTI, - Naib Presiden PAS, Hj Mohammad Sabu menjangkakan calon Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dr Mansor Othman akan menang besar mengalahkan tiga calon bebas lain bagi pilihan raya kecil Dun Penanti.
"Saya jangkakan Pakatan Rakyat akan menang, calon bebas mungkin akan hilang deposit dengan keadaan ini apabila sokongan kepada PR amat baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyatakan pandangan terhadap peluang calon Pakatan Rakyat, Dr Mansor bagi pilihan raya kecil Dun Penanti yang telahpun selesai proses penamaan calonnya pagi tadi.
Hj Mohamad Sabu turut meluangkan masa pagi tadi bagi menyertai perarakan calon yang berlangsung di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Penanti dekat sini.
Mengulas mengenai keengganan Umno/BN meletakkan calon di Penanti beliau menyatakan, Umno takut akan kebangkitan rakyat menolak idealisme parti itu.
Sambil menyatakan hari penamaan calon hanya didominasi penyokong Pakatan Rakyat, beliau menyifatkan ia sebagai 'satu hari yang suram'.
Namun beliau yakin kemenangan akan bersama dengan calon Pakatan Rakyat yang hanya akan menjadikan calon bebas hilang deposit.
Proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dun Penanti yang bermula sejak jam 8.00 pagi agak suram berikutan calon Pakatan Rakyat hanya ditentang tiga calon bebas.
Meskipun kehadiran penyokong Pakatan Rakyat dalam jumlah yang ramai, namun suasana tidak pun menggambarkan satu pertempuran hebat bakal berlaku sepertimana penamaan calon beberapa PRK yang lalu.
Hanya kedengaran laungan reformasi dan takbir di satu sudut, di sebelah kiri hadapan bangunan IKBN Penanti, sementara sudut kanan yang disediakan bagi pihak bertentangan Pakatan Rakyat tiada kedengaran.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akhirnya mengesahkan bahawa PRK Dun Penanti akan ditandingi oleh 4 calon.
Calon Pakatan Rakyat daripada KeADILan, Dr Mansor Othman akan menentang calon-calon Bebas iaitu, Aminah Abdullah, Nai Khan Ari dan Kamarul Ramizu Idris.
Semua calon kini boleh berkempen sehingga jam 12 tengah malam, 30 Mei nanti.
Sementara itu, calon-calon Bebas akan menggunakan simbol 'Kunci' untuk Aminah, Nai (Wau) dan Kamarul (Payung) sepanjang pilihan raya ini. - wann/mks
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh: Wan Nordin, Sabri Said, Azamin dan Izwan-
Hubungi Sdr Kasim : 013-387 1946
Sajak oleh:
Tuan Hj Mohamad Sabu
I.S.A
Kamilah hakim
Kamilah peguam
Kamilah saksi-saksi
Kami penentu masa depan kamu.
Kamulah yang tahu kenapa kamu di sini
Kamu yang mencari tempat ini
Kamu yang memilih untuk ke sini
Kamu suka tempat ini
Kamu menentukan cara hidup kamu.
Kami tidak menyuruh kamu ke sini
Kami tidak suka kamu ke sini
Kami tidak penjarakan kamu
Kenapa kamu penjarakan diri sendiri.
Tak sayangkah kamu kepada anak-anak?
Tak sayangkah kamu kepada emak ayah?
Tak sayangkah kamu kepada isteri?
Kamu menganiaya mereka!
Kamu menganiaya mereka!
Kawan-kawan kamu baik
Kawan-kawan kamu menolong kamu
Kawan-kawan kamu menghantar isteri kamu ke sana ke mari
Kawan-kawan kamu khidmat pada kamu
Kamu percaya pada kawan-kawan kamu?
Tahukah kamu betapa banyak telah berlaku?
Kawan-kawan curang kepada kawan?
betapa banyak isteri pejuang dikhianati kawan?
berapa banyak isteri pejuang memohon cerai?
berapa banyak isteri pejuang melaku curang?
Kamu menentukan ibu kamu derita
Kamu penyebab ayahmu derita
Kamu penyebab anak-anakmu menderita
Kamu penyebab isterimu derita
Kamu penyebab jika isterimu berlaku curang.
Cari jalan keluar dari sini
Kamulah menentukan nak keluar atau terus di sini
Kamu nak keluar besok?
Kamu nak keluar minggu depan?
Kamu nak keluar bulan depan?
Kamu nak keluar tahun hadapan?
Kamu nak keluar 10 tahun lagi?
Kamu yang menentukan!
Saudara......, cari lah jalan keluar!
Kamu menentukan masa depan kamu....
Kamu di sini kerana kamu!
Kamu mementingkan diri!
Kamu nak naik!
Kamu nak terkenal!v
Kamu nak pandangan kamu didengar!
Kamu nak kamu dijulang!
Kamu nak nama terbilang!
Kami apa peduli!
Kami jaga keamanan....
Kerana kamu, ucapan kamu, hasutan kamu
Nyawa orang lain terancam
Harta orang lain terancam
Keselamatan orang lain terancam
Kami tak kira menteri
Kami tak kira datok
Kami tak kira Anwar
Kami tak kira Karpal
Kami tak kira Tok Guru
Kami jaga keamanan...
Kami jaga keselamatan
Pintu untuk keluar ada
Pintu untuk taubat ada
Pintu untuk penyesalan ada
Pintu untuk kepangkal jalan ada
Kamulah penentu untuk memilih pintu
Pintu untuk keluar dari sini kamu tentukan
Nak menjadi hero?
Nak menjadi pejuang?
Nak kepada sanjungan?
Nak pertahan pendapat kamu?
Kamulah memilih berapa lama di sini!
(Oleh Hj Mohamad Sabu)
* 16Mei 2009
* Sajak ini dikarang sendiri dan dideklamasikan oleh Tuan Hj Mohamad Sabu di Markaz Tarbiyyah Taman Melewar pada 16 Mei 2009 (Majlis Jamuan Makan & Pengumpulan Dana Utk Mangsa ISA)
*Ia ditujukan buat semua rakyat buat yang belum kenal, nak mengenal dan telah mengenal ISA, yang belum dan yang telah masuk atau keluar dari ISA itu sendiri.
*Untuk makluman akta ISA itu, dalam dunia ini hanya 3 buah negeri yang masih mengekalkannya iaitu Malaysia, Singapura dan Israel......yang lain semua dah buang dan tutup buku. (Kem Guantanamo bukan seperti ISA....ia tidak dijalankan di Amerika kerana undang-undang Amerika tidak membenarkan penangkapan tanpa melalui mahkamah, sebab itu Kem Guantanamo adalah arahan Amerika tetapi dijalankan di luar negara itu (negara lain menjadi baruahnya).
-Oleh Webmaster-
Rakyat hakim terbaik
selesai krisis Perak
KUALA LUMPUR, - Hanya rakyat yang layak menjadi hakim untuk menyelesaikan krisis politik di Perak, tegas Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Hadi menegaskan PAS tetap dengan pendirian mahu Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak dibubarkan segera bagi membolehkan rakyat menentukan kerajaan pilihan mereka.
"Hanya rakyat yang boleh menjadi hakim dan membuat keputusan kerajaan mana yang mereka mahukan bukan mahkamah.
"Kerana itu tiada jalan lain untuk menyelesaikan krisis di Perak kecuali Dun dibubarkan.
"Jika krisis ini dibiarkan berterusan ianya akan memusnahkan lagi demokrasi di negara ini," tegas beliau kepada media selepas mesyuarat Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut dekat sini sebentar tadi.
Mengulas mengenai kenyataan Najib yang sedia untuk mengadakan rundingan dengan Pakatan Rakyat untuk menyelesaikan kemelut politik di Perak, Hadi menegaskan PAS tidak akan menolak sebarang rundingan tetapi tetap berpendirian mengesa pembubaran Dun.
PAS, tegas Hadi bersedia mengadakan perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) untuk menyelesaikan krisis politik di Perak.
Perak dilanda kemelut politik BN merampas pentadbiran Pakatan Rakyat secara haram dengan tidak meneghormati pilihan yang telah dibuat rakyat Perak selain tidak menghormati undang-undang tubuh negeri Perak.
Ekoran rampasan kuasa itu Sultan telah meminta Menteri Besar Pakatan, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin supaya melepaskan jawatan menteri besar.
Baginda kemudiannya memperkenankan pelantikan Menteri Besar haram Dato' Seri Zambry Abd Kadir dari BN sebagai menteri besar yang baru.
Bagaimanapun pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Esoknya, Zambry mendapat perintah penangguhan penghakiman tersebut sehingga selesai rayuannya.
Semalam, Nizar pula memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah penangguhan tersebut, yang akan didengar Isnin ini. - mks.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh: Irwan Muhammad Zain | Foto Wan Zahari Wan Salleh-
Kelab Penyokong PAS
miliki 20,000 ahli
TASEK GELUGOR, - Penyertaan 20,000 masyarakat bukan Islam ke dalam Kelab Penyokong PAS sejak ditubuhkan pasti mengancam kestabilan politik BN pada masa depan, kata Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu.
"Ahli Kelab Penyokong PAS kini mencecah 20 ribu orang di seluruh negara dan perkembangan itu menggugat pengaruh Umno dan BN. BN tahu sekiranya masyarakat bukan Islam berpaling tadah dari menyokong BN hayat parti itu semakin pendek," tegasnya dalam sidang media bersama Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa.
Mohamad merasmikan Konvensyen Kelab Penyokong PAS Pulau Pinang di Dewan Besar Sungai Dua, Butterworth, baru-baru ini.
Menurutnya, masyarakat bukan Islam tertarik dengan model yang ditunjukan Kerajaan Kelantan yang bersih dari gejala rasuah dan tidak mengamalkan dikriminasi dalam pemerintahan.
Tambahan lagi, keaktifan lajnah yang diterajui Dr Mujahid menjadi daya tarikan tersendiri kerana selama ini golongan terbabit beranggapatan PAS sebuah parti ekstrem yang tidak mahu mendengar pandangan atau menghormati budaya kaum lain.
"Dulu mereka nampak PAS jahat Umno dan BN baik, tetapi hasil pendekatan yang dilaksanakan rupa-rupanya PAS adalah parti yang terdiri daripada pejuang yang ikhlas dan jujur," tambahnya. - mks.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh: Mohd Sabri Said -
TG Haji Abdul Hadi menang
jawatan Presiden, 5 layak
bertanding Timbalan Presiden
KUALA LUMPUR, - Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang bolehlah dikira menang tanpa bertanding sebagai presiden PAS apabila hanya beliau sahaja yang mendapat pencalonan lebih dari satu dan layak untuk bertanding jawatan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, sehingga tarikh tutup 8 Mei lalu, hanya nama beliau dikira layak untuk bertanding jawatan itu.
Datuk Mustafa Ali memaklumkan, surat tawaran untuk bertanding telah dihantar kepada Hj Abdul Hadi dan beliau mempunyai masa sehingga 25 Mei untuk membuat keputusan.
Untuk jawatan timbalan presiden pula, ada lima calon yang layak bertanding iaitu mereka yang mendapat pencalonan sekurang-kurangnya dari dua kawasan PAS.
"Nama-nama mereka akan diumumkan dalam sidang akhbar Sabtu 16 Mei nanti," kata Mustafa.
Bagi jawatan naib presiden pula, 16 calon layak untuk bertanding manakala untuk AJK PAS Pusat pula, 85 pemimpin layak untuk bertanding.
Bagi jawatan-jawatan dalam Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat pula, tarikh tutup pencalonan adalah 15 Mei ini.
Beliau juga memaklumkan, 137 kawasan telah membuat pencalonan untuk muktamar kali ini.
-Dipetik Dari siasahdaily.blogspot.com-
Keputusan Mahkamah Tinggi
perkasakan demokrasi
KUALA LUMPUR, - Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menghukumkan bahawa Dato Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin masih Menteri Besar yang sah memperkasa demokrasi di Perak khususnya dan di Malaysia umumnya.
Demikian kata Profesor Dr Abdul Aziz Bari malam ini ketika diminta mengulas keputusan Hakim Dato Abdul Aziz Abdul Rahim petang semalam.
Aziz mengakui yang beliau sendiri terperanjat dengan keputusan tersebut. "Kita harap keputusan ini memberi petanda bahawa ada harapan untuk kemunculan kehakiman yang bebas. Dan mudah-mudah ia fajar sadiq dan bukan fajar kazib," ujar pakar perlembagaan itu lagi. Beliau bagaimanapun mengakui ada banyak kesan politik yang belum tentu semuanya positif.
Tambahnya, "kebebasan kehakiman adalah sesuatu yang turun naik dan pasang surut, hatta di negara-negara maju."
Meskipun begitu keputusan mahkamah tersebut "tetap memperkasa demokrasi kerana ia akan menjadi rujukan penting di seluruh dunia Komanwel dan saya tidak nampak bagaimana mahkamah atasan - kalau BN benar-benar membuat rayuan - boleh mengubah keputusan tersebut."
Lagipun, tambahnya, prinsip yang digunakan oleh mahkamah sebenarnya telah pun wujud lama. Ia juga, kata Aziz, lebih selaras dengan semangat dan peruntukan perlembagaan.
"Keputusan itu sebenarnya adalah nadi kepada kerajaan kabinet yang nyawanya ialah sokongan majoriti dalam dewan," tegasnya. Beliau berkata keputusan mahkamah itu selaras dengan kedudukan kerajaan di dalam sistem demokrasi berparlimen atau Westminster.
Aziz berkata apa yang menarik ialah meskipun kes itu bukan kes saman ke atas sultan ia bagaimanapun sebenarnya menyentuh kuasa sultan. "Dari sudut ini ia adalah kes yang terpenting di seluruh Komanwel dan ia menjadi isyarat bahawa istana harus berhati-hati dalam melaksanakan apa yang umumnya dilihat sebagai prerogatif itu," kata Aziz.
Dua kes sebelum ini, yakni Stephen Kalong Ningkan (1966) dan Tun Datu Mustapha (1986) menangani kuasa perlantikan dan pemecatan oleh Yang diPertua Negeri dan bukan sultan. "Kuasa sultan ini bagaimanapun sama dengan kuasa Yang diPertua Negeri dan Yang diPertuan Agong di peringkat persekutuan," jelasnya.
Ditanya apakah kes itu akan membakar semangat 31 ADUN Barisan dalam untuk mengemukakan undi tidak percaya kepada Nizar beliau berkata, "Kes ini menyatakan Nizar masih menteri besar dan ini memberi beliau alasan untuk memohon pembubaran. Dan kita harus ingat tiga ADUN itu masih digantung dan kedudukan speaker baru - meskipun tidak disentuh oleh mahkamah - tidak sah kerana sidang Khamis lalu dipanggil dan dijalankan dengan mengetepikan speaker yang sah.
Penggulingan Sivakumar tidak betul. Sekiranya kita tidak mengatakan begitu pun selama tiga bulan lebih ini kita lihat begitu banyak isu yang kabur yang penyelesaian terbaiknya ialah dengan meminta rakyat membuat keputusan melalui pembubaran."
Aziz berkata keputusan mahkamah tinggi ini memberi kesempatan baik untuk semua pihak membetulkan apa yang silap dan terlanjur. "Selama ini memang kita mengatakan bahawa sultan masih boleh membubar dewan tetapi ia tidak berlaku dan hari ini mahkamah memberi isyarat tersebut."
Ditanya apakah tidak memadai jika Nizar kembali bertugas seperti biasa Aziz berkata: "Dalam sistem demokrasi jawatan dan kuasa sebegitu perlu mandat. Ini hak rakyat; istana atau mahkamah sekadar membantu jika berlaku kebuntuan. Takkanlah menteri besar hendak bergantung kepada istana atau mahkamah; tentulah ganjil dan tidak demokratik."
Ditanya mengenai kedudukan kuasa membubar yang merupakan kuasa sultan Aziz berkata: "Ia memang kuasa sultan tetapi ia tidak bermaksud dijadikan kuasa mutlak atau kuasa milik peribadi. Kalau kita baca Laporan Suruhanjaya Reid dan amalan di seluruh Komanwel ia jelas untuk membantu; dan bukan membantut demokrasi." - TMJ
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh: Tarmizi Mohd Jam-
Keputusan kes Nizar
pulihkan institusi kehakiman
KOTA BHARU, - "Keputusan Mahkamah Tinggi hari ini boleh menampung kecacatan yang berlaku dalam institusi kehakiman di negara ini," kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau berharap kewibawaan institusi kehakiman yang dipertikaikan banyak pihak sebelum ini kembali pulih semula.
"Saya sangat bersyukur dengan perkembangan yang berlaku hari ini. Sebaik sahaja mendengar berita itu saya telah menunaikan sujud syukur," katanya dihubungi di sini, petang ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Abdul Aziz Abdul Rahim petang tadi mengembalikan semula kedudukan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Pada 5 Febuari lalu jawatan Nizar dirampas kerajaan kudeta Barisan Nasional (BN) Perak yang diketuai Dato' Dr Zambry Abdul Kadir selepas tiga bekas Adun Pakatan Rakyat meninggalkan parti lama.
Mahkamah juga memutuskan Zambry dan enam anggota Exconya mengosongkan segera pejabat mereka di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh.
Pada penghakiman itu Abdul Aziz berkata, seseorang menteri besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (Dun) seperti kes Stephen Kalong Ningkan.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berharap dengan keputusan mahkamah tersebut akan menyelesaikan konflik yang berpanjangan di Perak sejak Febuari lalu.
Ditanya kemungkinan Dr Zambry akan memohon membubarkan Dun katanya, ia terpulang kepada pihak terbabit bagi menentukannya bagi memastikan politik di Perak kembali stabil.
"Saya bersyukur dengan apa yang berlaku. Saya juga berharap semua pihak dalam Pakatan Rakyat tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh melukakan hati pihak lawan dalam isu ini.
"Biarlah isu ini berakhir dalam suasana aman dan diterima semua pihak," katanya. - mj
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh: LanJusoh-
Nizar MB Perak, permohonan
tangguh keputusan oleh
Zambry ditolak
KUALA LUMPUR, - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ialah Menteri Besar Perak yang sah.
Keputusan yang dinanti-nantikan dengan penuh debaran oleh seluruh rakyat Malaysia diumumkan Hakim Abdul Aziz Abd Rahim.
Menurut Abdul Aziz, Menteri Besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri dan beliau merujuk keputusan mahkamah terhadap kes Dato' Stephen Kalong Ningkan.
Sementara itu permohonan peguam Zambry untuk menangguhkan keputusan tersebut bagi mengemukakan rayuan ditolak mahkamah.
Hakim Abdul Aziz dalam penghakiman yang dibacakan mulai jam 2.30 petang dan Imageberakhir pada jam 2.50 petang tadi berpendapat, Sultan Perak sepatutnya menitahkan Dewan Undangan Negeri Perak bersidang bagi mengemukakan undi tidak percaya kepada Nizar selaku Menteri Besar.
Sambil merujuk kepada kes duluan (precedent) membabitkan Ketua Menteri Sarawak, Dato' Stephen Kalong Ningkan pada 1966, beliau berpendapat Menteri Besar baru tidak wajar dilantik selagi Menteri Besar sedia ada belum meletakkan jawatan.
Beliau juga berpuashati bahawa Nizar tidak pernah melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Perak yang sah seperti didakwa para peguam Zambry.
Para peguam Nizar dalam penghujahan mereka sebelum ini menegaskan bahawa jika Nizar diisytiharkan sebagai Menteri Besar yang sah, beliau akan mendapatkan Imageperkenan Sultan Perak untuk membubarkan Dun Perak bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.
Pakatan Rakyat dan BN kini masing-masing mempunyai 28 kerusi di Dun Perak.
Pada Pilihan Raya Umum ke-12 Mac 2008, PAS, DAP dan KeADILan yang kemudiannya membentuk Pakatan Rakyat memenangi 31 daripada 59 kerusi Dun Perak.
Bagaimanapun tiga Adun Pakatan Rakyat pada 4 Februari lalu telah mengisytiharkan diri sebagai calon Bebas dan menyokong BN selepas hilang secara misteri selama lima hari.
Nizar ketika ditemui pemberita berkata akan segera memohon menghadap Sultan Perak bagi memohon perkenan membubarkan Dun Perak dan membuka laluan kepada Imagepilihan raya negeri bagi mendapatkan mandat baru rakyat.
Nizar memfailkan kesnya 13 Februari lalu supaya mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.
Beliau dilantik Menteri Besar pada 17 Mac 2008.
Bagaimanapun ekoran tindakan khianat tiga Adun Pakatan Rakyat itu, BN yang mendakwa mendapat majoriti di Dun Perak telah menghadap Sultan bagi membentuk kerajaan negeri.
Tidak memperkenankan permohonan Nizar untuk membubarkan Dun, Sultan Azlan ImageShah telah berkenan melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru pada 6 Februari lalu.
Nizar dalam afidavitnya berkata, beliau masih Menteri Besar atas alasan tidak ada sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam Dun dan beliau juga tidak meletak jawatan.
Zambry diwakili peguam Datuk Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Farah Shuhadah Razali. Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah.
Nizar diwakili Sulaiman Abdullah, Mohamed Hanipa Maidin dan beberapa peguam kanan.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
Umno lakar sembilan
sejarah hitam di Perak
KUALA LUMPUR, - Krisis yang Umno cetuskan di Perak bakal menjadi sejarah hitam yang tidak akan dilupakan oleh generasi sekarang dan akan datang.
Sejarah hitam pertama adalah serangan ke atas institusi Raja. Semua orang tahu rakyat Malaysia menerima sistem raja berperlembagaan di negara ini. Namun disebabkan krisis di Perak, kita menyaksikan betapa ada rakyat yang tidak dapat mengawal kemarahan mereka. Maka berlakulah siri 'menyerang' laman web Istana Perak dengan kalimah-kalimah yang tidak sampai hati untuk kita luahkan di sini. Ia akhirnya membawa kepada pendakwaan beberapa individu di bawah Akta Hasutan 1948. Umno tidak boleh lari dari sejarah hitam ini.
Sejarah hitam kedua dari krisis Perak ciptaan Umno adalah buat kali pertamanya di dalam negara ini institusi Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilibatkan sama bagi menyiasat kuasa seorang Speaker Dewan Undangan Negeri. Ianya tidak pernah berlaku dan tidak pernah diimpikan akan berlaku. Namun kerana ketamakan kuasa apa yang dulu hanya sebuah mimpi kini sudah menjadi realiti. Selamat menyambut sejarah hitam ini.
Sejarah hitam yang ketiga dari krisis Perak ini adalah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai badan yang sepatutnya hanya bertanggungjawab menerima keputusan Speaker yang memutuskan sesuatu kerusi Dun sebagai kosong tidak lagi berminat menjalankan kerja suci tersebut. Sebaliknya SPR lebih seronok untuk terus menerus menjadi parti komponen BN yang tidak rasmi apabila enggan mengadakan pilihan raya kecil bagi Dun-Dun yang telah diisytiharkan kosong oleh V Sivakumar.
Sejarah hitam yang keempat dari krisis Perak ini adalah buat pertama kalinya Mahkamah sendiri sanggup membocorkan maklumat kepada akhbar bahawa saman yang difailkan oleh Sivakumar mengandungi kecacatan sedangkan saman tersebut belum didengar lagi oleh pihak Mahkamah.
Pembocoran maklumat tersebut sengaja dilakukan dan dipercayai dilakukan oleh seorang yang berpangkat tinggi di Mahkamah Tinggi Ipoh semata-mata untuk mengaibkan Sivakumar dan Pakatan Rakyat. Ini adalah satu sikap paling tidak profesional yang ditunjukkan oleh sebuah institusi kehakiman namun apabila Umno terlibat tiada lagi perkara yang pelik dan ajaib.
Sejarah hitam yang kelima dari krisis Perak ini adalah buat pertama kalinya seorang Speaker Dun dilarang untuk diwakili oleh peguam pilihannya sendiri semasa beliau di saman oleh Zambry. Sivakumar telah dipaksa oleh Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh untuk diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Perak. Apa yang mendukacitakan lagi hasrat speaker untuk mewakili dirinya sendiri pun tidak dibenarkan oleh Hakim yang sama.
Agak baik sedikit sejarah hitam tersebut dapat diselamatkan dari diarkibkan apabila Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan yang paling tidak masuk akal tersebut. Untuk makluman, Speaker tidak mahu diwakili oleh Penasihat Undang-undang Negeri kerana penasihat yang sama juga telah membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk beliau dibenarkan mewakili Zambry. Jadi bagaimana beliau boleh bertindak secara bebas dan menjaga kepentingan Sivakumar?
Sejarah hitam yang keenam adalah Speaker dan Adun Pakatan Rakyat yang sah dan dipilih oleh rakyat tidak dibenarkan untuk mengadakan sidang di dalam dewan persidangan kerana dewan telah dikunci dan dirantai serta dikepung oleh polis. Akhirnya sejarah hitam mencatatkan buat pertama kalinya sidang Dun Perak berlangsung di bawah pokok.
Takutnya Umno pada sidang Dun di bawah pokok sehinggakan apabila Pakatan Rakyat membina tugu dan plak bagi mengimbau kisah manis tersebut, Umno menggunakan (baca salahguna) Majlis Perbandaran Ipoh untuk memusnahkan tugu tersebut.
Sejarah hitam yang ketujuh dari krisis Perak ini adalah Umno yang terkenal sebagai penderhaka Agung kepada institusi Raja dengan tanpa segan silu sanggup memfitnah Dato Seri Nizar sebagai penderhaka hanya kerana ungkapan mahsyur Dato Seri Nizar kepada Tuanku Sultan iaitu "patik memohon sembah derhaka".
Meskipun Umno berhempas pulas mengeksploitasi isu tersebut ia tidak langsung menjejaskan kemenangan Nizar di Bukit Gantang. Jika pun isu derhaka itu berkesan ia hanyalah berkesan bagi pengundi di saluran satu yang boleh kita sifatkan sebagai 'pengundi saluran derhaka'.
Sejarah hitam yang kelapan adalah 'bapa kepada segala sejarah hitam'. Sejarah ini hanya boleh wujud jika di dalam sesebuah negara tersebut wujudnya parti politik gila seperti Umno yang dah sampai ke tahap ketagihan kuasa tahap kritikal.
Mabuk dan ketagih dengan kuasa Umno sanggup mengundang Mahkamah yang paling tinggi di negara ini iaitu Mahkamah Persekutuan untuk membunuh doktrin pengasingan kuasa (separation of powers).
Jika selama ini Mahkamah di negara ini masih menahan dirinya dari campur tangan atau mengganggu urusan Parlimen atau Dun kerana menghormati doktrin pengasingan kuasa, kini doktrin tersebut telah pun disemadikan oleh lima orang hakim Mahkamah Persekutuan tersebut.
Ingatlah sejarah hitam ini berlaku ketika mana Ketua Hakim bagi negara ini masih dipegang oleh bekas pemimpin yang pernah berkhidmat dengan Umno.
Apa yang berlaku pada 7 Mei 2009 lalu adalah sejarah hitam yang kesembilan. Sama-sama kita saksikan kesudahannya.- tajdid
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh: Mohamed Hanipa Maidin-
Amaran Presiden PAS
- Kesabaran Ada Batasnya
KUALA NERUS, - Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberi amaran kepada kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bahawa kesabaran PAS ada batasnya.
Beliau berkata krisis yang berlaku di negeri Perak adalah langkah UMNO/BN yang salah sejak daripada awal lagi.

“Lalu hendak betul(kan) yang salah dengan tangkap orang, itu tidak betul. Apa yang berlaku ialah ‘mencabul’ Perlembagaan dan ‘mencabul’ demokrasi,
“krisis politik yang berlaku di negeri Perak ternyata telah melanggar Undang-undang dan Perlembagaan,
“amalan demokrasi pula cuba dipermainkan dan ‘dicabuli’ oleh pemimpin UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ‘gilakan’ kuasa,”tegasnya ketika mengulas penangkapan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap Naib Presiden PAS Mohamad Sabu.
Katanya BN sepatutnya belajar dari sejarah di zaman Tunku Abdul Rahman sewaktu Perikatan memerintah negara.
Sewaktu kerajaan Tunku hendak menjatuhkan kerajaan PAS di Terengganu, katanya, Tunku mengambil langkah melalui Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kali pertama cubaan Tunku tidak berjaya kerana menurutnya, PAS mempunyai majoriti mudah (simple majority) 11 kerusi iaitu tujuh parti Perikatan dan empat parti Negara.
“Parti Negara tidak menyokong Perikatan dan diambil langkah yang kedua sehinggalah berjaya ‘membeli’ Speaker (Yang DiPertua DUN), membeli wakil-wakil rakyat parti Negara, beberapa orang wakil rakyat PAS melalui politik wang waktu itu.
“maka, berlakulah proses undi tidak percaya walau pun politik wang itu suatu tindakan yang salah tetapi proses undi tidak percaya berlaku mengikut Perlembagaan dan Undang-undang,”jelasnya pada sidang media selepas melancarkan Laman Web Buletin Pendidikan PAS Pusat dan Dana Masjid di Ma’ahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah Darul Iman, di Kampung Tok Jiring, semalam. (gambar kanan)
Menyentuh isu berhubung siapa yang layak menerajui PAS, beliau menyifatkan ia adalah satu isu lama yang dimainkan oleh pihak media setiap kali menjelang muktamar PAS sejak tahun 50-an dan 60-an.
Katanya PAS tidak akan tergugat dengan isu tersebut kerana PAS sentiasa konsisten dalam pentadbiran parti dengan mengamalkan semangat syura.
Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada anggota parti bagi memilih Presiden dan Timbalan Presiden kerana jawatan itu dilantik pada muktamar agung PAS.
Ditanya sama ada beliau akan mempertahan jawatannya jika ada pertandingan merebut kedudukan itu, beliau berkata: "kita lihat keputusan mesyuarat agung tahunan."
"Saya tidak mahu membuat sebarang kenyataan atas perkara yang tidak diketahui lagi. Selepas keputusan itu diketahui, tahulah apa saya nak buat," katanya.
-Dipetik Dari nikhassanazmi.blogspot.com-
-Oleh: NikHassanAzmi-
Krisis Perak : BN angkuh,
tidak hormat undang-undang
- Presiden PAS
IPOH, - PAS sangat kesal dengan kejadian kekerasan yang berlaku di luar perkarangan Dewan Undangan Negeri Perak (DUN) dan dalam Dewan tempat persidangan para Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada hari ini.
Demikian kata Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily melalui Setiausaha Politik, Dr Shamsuri.
"Pada kali ini, bukan sahaja para penyokong dan pimpinan parti dari Pakatan Rakyat yang ditangkap, tetapi beberapa ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat negeri Perak juga telah ditahan,"katanya.
Peristiwa yang berlaku ini adalah berpunca dari sikap angkuh para pimpinan BN yang tidak menghormati undang-undang,ujarnya.
BN juga ujar Presiden PAS bertindak dengan berselindung di sebalik lencana anggota keselamatan.
"PAS sekali-kali tidak akan menghormati kerajaan yang sememangnya tidak menunjukkan rasa hormat mereka kepada undang-undang dan perlembagaan negara," katanya.
Pagi tadi, beberapa pimpinan Pakatan Rakyat telah ditangkappolis semasa beradaberhampiran di Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dun Perak.
Antara yang ditahan ialah, Ketua Pemuda PAS,Salahuddin Ayub; Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof; Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; ahli Parlimen Sungai Siput, Dr S.Jayakumar dan beberapa Adun serta 30 orang awam.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh: Wan Nordin dan Azamin Amin-
DUN Perak: Sivakumar
dipaksa keluar
IPOH, - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), V Sivakumar dibawa oleh kumpulan polis dari dalam dewan ke satu tempat yang tidak didedahkan pada petang ini.
Tindakan Hanya isteri beliau dibenarkan berjumpa ADUN DAP itu.
Tidak lama kemudiannya, kenderaan rasmi Speaker DUN V Sivakumar jenis Toyota Camry dengan nombor pendaftaran AFD 999 kelihatan keluar dengan seorang penumpang wanita di dalamnya.
Tetapi Sivakumar yang juga ADUN DAP itu tidak kelihatan di dalamnya.
Sementara itu, Datuk R Ganesan, speaker baru lantikan BN, memulakan persidangan dewan dengan meminta seorang pegawai DUN membacakan doa.
Beliau juga mengarah keluar dua ADUN Pakatan - Chan Ming Kai (PKR-Simpang Pulai) dan Chang Lih Kang (PKR-Teja) - tetapi mereka enggan berbuat demikian.
Speaker itu menangguhkan dewan bagi menunggu keberangkatan tiba Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah.
Raja Nazrin Shah kemudiannya berangkat masuk ke dewan untuk majlis rasmi pembukaan persidangan DUN.
Baginda kemudian kelihatan bertitah kepada Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin (PAS-Pasir Panjang) dan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan).
Mohd Nizar kemudian menyeru semua ADUN Pakatan agar duduk dan mereka semua kembali di tempat masing-masing.
Raja Nazrin berangkat pulang selepas menyampai titah dan merasmikan sidang DUN dan kelihatan diiringi oleh Mohd Nizar.
-Dipetik Dari MalaysiaKini-
2 MB, 2 Speaker bertembung
di DUN Perak
IPOH, - Perak terus mencatat sejarah dalam arena politik negara apabila persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pagi ini kecoh ekoran pertembungan dua pihak - BN dan Pakatan Rakyat - pagi ini.
Persidangan ini menyaksikan kehadiran dua menteri besar - Datuk Seri Zambry Abd kadir dari BN dan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin dari Pakatan - dan dua set exco - juga dari BN dan Pakatan.
Kekecohan pagi ini menyebabkan istiadat perasmian oleh Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah tidak dapat dimulakan, dengan baginda menunggu di Kamar Diraja.
Mohd Nizar serta bekas exco Pakatan duduk di kerusi menteri besar dan exco manakala Zambry serta exco barunya berada di sebelah tempat pembangkang.
Speaker V Sivakumar mengarahkan Zambry dan enam exco serta tiga ADUN bebas keluar dari dewan. Jika tidak, beliau enggan memulakan sidang DUN.
Speaker mengarahkan pengawal keselamatan dewan menghalau keluar tujuh wakil rakyat BN, termasuk Zambry, dan tiga bebas. Pengawal bagaimanapun enggan berbuat demikian.
Pada jam 10.35 pagi, ADUN kedua belah pihak terus bertegang leher.
Zambry cuba membawa usul menggantikan Speaker tetapi ditolak.
Pada kira-kira jam 11.01 pagi, ADUN BN berdiri mengelilingi timbalan Speaker, Hee Yit Fong dan menteri besar mereka Zambry.
Mikrofon Speaker dimatikan tetapi mikrofon depan Hee dan Zambry masih berfungsi.
Hee kemudiannya mengumumkan beliau kini sebagai pemangku Speaker dan mengarahkan pengawal keselamatan dewan menghalau Sivakumar daripada kerusi Speaker.
Mereka bagaimanapun tidak bertindak mematuhi arah tersebut.
Kemudian Zambry mengusulkan Sivakumar digugurkan sebagai Speaker dengan sokongan tangan semua ADUN BN. Zambry kemudian membawa usul melatikan R Ganesan sebagai Speaker baru.
Dengan cepat Ganesan datang dan menerima pakaian rasmi Speaker, memakainya, mengangkat sumpah dan menandatangani beberapa dokumen berkaitan di tempat ADUN BN.
Sivakumar masih duduk bertahan di kerusinya, sambil menjerit "Speaker (Ganesan) ini haram", "selagi Speaker ada di sini, Speaker ini (Ganesan) adalah haram" dan "Perak ada Speaker haram."
Ganesan kini cuba mengambil alih perjalanan dewan dan wakil-wakil BN membawa beberapa usul lagi.
Sivakumar kemudian bangun semula dan mengumumkan - tanpa mikrofon - semua usul yang dibawa sebentar tadi ditolak oleh beliau sebagai Speaker.
Pada kira-kira jam 11.13 pagi, Zambry membawa usul agar persidangan dewan ditangguhkan dan ia diluluskan. Persidangan dewan ditangguhkan, kata Ganesan. Sidang ditangguhkan selama sejam.
Pada kira-kira jam 11.22 pagi, Sivakumar, speaker Pakatan, memulakan semula persidangan DUN walaupun Ganesan, speaker BN, menangguhkannya sebentar tadi.
Walaupun tanpa mikrofon, Sivakumar tetap meneruskan arahannya yang awal agar tujuh ADUN BN termasuk menteri besar mereka Zambry dan tiga wakil bebas meninggalkan dewan.
Jika mereka enggan berbuat demikian, beliau enggan memulakan persidangan tersebut.
Kedua-dua pihak bertikam lidah sekali lagi dari tempat duduk masing-masing, tidak seperti tadi.
Wakil-wakil rakyat Pakatan berkumpul di sekeliling menteri besar mereka Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan berbincang dengan mereka tindakan selanjutnya.
Kedua-dua pihak masih bertegang leher tetapi tidak tidak sehangat tadi.
-Laporan seterusnya, baca Kronologi.-
-Dipetik Dari MalaysiaKini-
SILA KLIK, UNTUK BACA SEDIKIT KRONOLOGI
SEJARAH DI SIDANG DUN PERAK
PADA 7 MEI 2009
Mahkamah tolak perintah
tahanan reman Mohamad Sabu
KUALA LUMPUR, - Mahkamah Majistret Tanjung Malim 3.30 petang tadi menolak permohonan tahanan reman 4 hari oleh polis terhadap Naib Presiden PAS, Hj Mohamad Sabu.
Hj Mohamad dibebaskan dengan jaminan polis.

Menurut peguam yang mewakili beliau, Aminuddin Zulkifli dan Razlan bahawa mahkamah tidak berpuas hati dengan alasan-alasan yang diberikan oleh pegawai penyiasat.
Wawancara dilakukan di R&R Sungai Buloh pada jam 4.30 petang tadi.
Pegawai penyiasat mengatakan mereka memerlukan masa untuk menyiasat Hj Mohamad yang dituduh melakukan hasutan supaya orang ramai menggagalkan sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak hari ini.
Pasukan peguam Hj Mohamad Sabu kemudiannya membantah tuduhan tersebut kerana tertuduh hanya "menyeru orang ramai supaya hadir ke majlis solat hajat dan doa munajat memohon agar Perak terus aman".

Laporan maklumat pertama (FIR) terhadap Hj Mohamad Sabu dibuat oleh Ketua Polis Perak sebelum beliau ditahan secara misteri petang semalam di Kuala Lumpur, dengan anggota polis berpakaian awam tanpa menunjukkan sebarang waran.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh: Irwan Muhammad Zain | Foto Nasir Sudin-
Polis gagal reman
Hj Mohamad Sabu
TANJUNG MALIM, - kemaskini 5.50pm
Naib Presiden PAS Hj Mohamad Sabu yang ditahan secara misteri petang semalam dibebaskan di mahkamah Tanjung Malim, Perak selepas polis gagal meremannya.
Dihubungi Malaysiakini petang ini, beliau berkata laporan polis terhadapnya dibuat oleh Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah sendiri atas alasan "cuba menghasut orang ramai halang persidangan DUN Perak" hari ini.
Mohamad percaya laporan itu dibuat susulan kenyataannya di satu sidang media di Kuala Lumpur untuk menganjurkan solat hajat dan munajat di Manjoi, beberapa kilometer dari pusat bandar Ipoh, menjelang subuh pagi ini.
Mohamad, dibebaskan dengan jaminan polis, disambut isterinya Normah Alwi bersama seorang anak mereka pada jam 3.30 petang di situ.
Polis membawanya ke mahkamah kira-kira jam 3 petang tadi untuk mereman selama empat hari dan memohon keizinan menggeledah rumahnya di Padang Menora, Pulau Pinang.
Bagaimanapun, tambahnya, permohonan polis ditolak setelah mendengar hujah peguamnya.
Walaupun sudah bebas, calon timbalan presiden PAS itu masih bimbang akan ditahan semula.
"Polis boleh panggil semula, kita bimbang ditangkap lagi. Polis boleh buat macam-macam," kata Mohamad.
Menurutnya, lagi, beliau yang ditahan di sebuah lokap di Bukit Aman tidak disoal siasat malam tadi dan tidak mengetahui bawah akta apa penahanannya dibuat.
Menurut laporan awal akhbar PAS Harakahdaily, Normah diberitahu oleh polis Bukit Aman bahawa suaminya telah dibawa ke Tanjung Malim pagi tadi untuk dihadapkan ke mahkamah.
Polis semalam tidak menjelaskan siasatan tersebut dibuat untuk mana-mana kes kecuali menyatakan "mendorong orang ramai dan penyokong PAS berkumpul di Ipoh" sempena persidangan DUN Perak yang bermula pagi ini.
Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub semalam tidak menolak kemungkinan Mohamad ditahan berhubung program solat hajat di Manjoi bermula jam 5 pagi tadi berkaitan persidangan DUN tersebut.
Mohamad Sabu ditahan jam 3.15 petang di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur selepas keluar dari sebuah restoran dan difahamkan sedang berjalan menuju ke pejabat Harakah.
Pemimpin kanan itu ditahan sekumpulan kira-kira 10 anggota polis berpakaian biasa.
Mohamad sebelum itu minum bersama Salahuddin dan seorang lagi ahli PAS di sebuah restoran belakang Hospital Tawakkal di Jalan Pahang - kira-kira 300 meter dari pejabat organ parti itu.
Menceritakan saat-saat tersebut, Salahuddin berkata, beliau terdengar jeritan Mohamad "aku kena tangkap" sebelum bergegas menuju ke arahnya yang sedang dikelilingi kumpulan anggota polis tersebut.
Beliau dan ahli PAS itu, yang dikenali Ali Maidin, bergelut seketika dengan anggota-anggota polis untuk menyelamatkan Mohamad tetapi diheret ke tepi oleh pihak berkuasa itu.
Salahuddin menambah, tiada waran tangkap terhadap Mohamad dikeluarkan dan tiada pegawai polis memperkenalkan diri sewaktu penahanan tersebut.
Mohamad ditahan selepas jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Wong Chin Huat, ditahan reman sehari di Mahkamah Magistret Kuala Lumpur bagi siasatan Akta Hasutan - dipercayai berkaitan kempen berpakaian hitam anjuran NGO itu sempena sidang DUN Perak, esok.
-Dipetik Dari MalaysiaKini-
Solat hajat Dun Perak dan
solidariti bebaskan
Hj Mohammad Sabu malam ini
KUALA LUMPUR, - Meskipun hari ini beberapa pimpinan dan aktivis Pakatan Rakyat ditahan berikutan penganjuran himpunan dan solat hajat sempena Sidang Dun Perak, namun beberapa solat hajat terus akan diadakan.
Di Dataran Merdeka, satu solat hajat diadakan bagi memberikan solidariti ke atas penahanan Naib Presiden PAS, Hj Mohammad Sabu.
Solat hajat ini dianjurkan oleh Solidariti Menyokong Pakatan Rakyat Perak dan Bantahan Penahanan Hj Mohammad Sabu.
Sementara, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifly Mohammad Omar pula menyatakan dalam sms ringkasnya satu majlis solat hajat dianjurkan Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan malam ini.
"Mohon semua ahli PAS Negeri Sembilan juga ahli serta penyokong Pakatan Rakyat yang beragama Islam di Negeri Sembilan ini hadir Majlis Solat Hajat sempena Sidang DUN Perak pada malam ini Rabu 6 Mei 2009 jam 7:15 malam di Surau Hitam, Ampangan , Seremban" kata sms Zulkifly kepada Harakahdaily.
Walaubagaimana pun di tempat berasingan, berita terkini keadaan di Dataran Merdeka dalam jam 8.30mlm tadi, kelihatan lebih 10 trak FRU dan 6 buah "Black Maria" berada di sekitar kawasan tersebut. Ia seperti polis pula yang membuat demo di situ. Ini berlaku selepas "Solidariti Perak dan Bantah Penahanan Hj Mohamad Sabu" mengumumkan untuk berkumpul di Dataran Merdeka pada jam 8 malam untuk berkumpul sambil membawa lilin dan berpakaian serba hitam.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh: Irwan Muhammad Zin dan Wan Nordin-
Hj Mohamad Sabu ditangkap
KUALA LUMPUR, - Naib Presiden PAS, Hj Mohamad Sabu ditangkap polis jam 3.10 petang tadi di hadapan Restoran Haslam, Jalan Pahang Barat dekat sini.
Sekumpulan anggota polis di percayai Special Branch, dengan tiga buah kenderaan, menyerbu beliau, sebaik sahaja Naib Presiden PAS itu keluar dari restoran berkenaan.
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub bersama beberapa rakan Ali Maiden, Razak dan lainnya yang berada di tempat kejadian, menyelar tindakan polis yang dianggap beliau tidak bertamadun itu.
"Tangkapan dibuat secara kasar dan tidak bertamadun, mereka (polis) menyerbu dengan menangkap beliau tanpa mengemukakan waran".
"Saya dan beberapa rakan lain cuba membantu abang Mat (Hj Mohamad Sabu) tetapi dihalang anggota yang ramai," ujarnya kesal.
Dipercayai penangkapan terhadap Naib Presiden PAS ini dibuat ada kaitan dengan perhimpunan munajat yang akan dianjurkan subuh esok (7 Mei), bersempena persidangan Dewan Undangan Negeri Perak.
Ianya berkemungkinan susulan daripada penahanan aktivis Bersih, Wong Chin Huat dirumahnya semalam.
"Ke mana Mohamad Sabu dibawa, apa tujuan mereka tidak diberitahu," kata Salahuddin.
Berita lanjut menyusul.
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh: Webmaster-
Pemimpin kanan
PAS ditahan polis
KUALA LUMPUR, - kemaskini 9.20pm
Naib Presiden PAS Mohamad Sabu ditahan polis selepas jam 3 petang ini di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur - dipercayai berhubung majlis solat hajat anjuran parti itu dekat Manjoi awal pagi esok.
Pemimpin kanan itu ditahan sekumpulan kira-kira 10 anggota polis berpakaian biasa sewaktu meninggalkan sebuah restoran menuju ke pejabat Harakah, kata ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub.
Mohamad sebelum itu minum bersama Salahuddin dan seorang lagi ahli PAS di sebuah restoran belakang Hospital Tawakkal di Jalan Pahang - kira-kira 300 meter dari pejabat organ parti itu.
Salahuddin memberitahu Malaysiakini, beliau terdengar jeritan Mohamad "aku kena tangkap" sebelum bergegas menuju ke arahnya yang sedang dikelilingi kumpulan anggota polis tersebut.
Beliau dan ahli PAS itu, yang dikenali Ali Maidin, bergelut seketika dengan anggota-anggota polis untuk menyelamatkan Mohamad tetapi diheret ke tepi oleh pihak berkuasa itu.
Salahuddin menambah, tiada waran tangkap terhadap Mohamad dikeluarkan dan tiada pegawai polis memperkenalkan diri sewaktu penahanan tersebut.
Beliau kini sedang mendapatkan bantuan peguam PAS Hanipa Maidin untuk tindakan lanjut.
Mohamad ditahan selepas jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Wong Chin Huat, ditahan reman sehari di Mahkamah Magistret Kuala Lumpur bagi siasatan Akta Hasutan - dipercayai berkaitan kempen berpakaian hitam anjuran NGO itu sempena sidang DUN Perak, esok.
Wong ditangkap di rumahnya di Taman Seri Sentosa, Kuala Lumpur beberapa jam selepas memberikan kenyataan di satu sidang media Bersih, pagi semalam.
Sewaktu dihubungi, Salahuddin berkata beliau tidak menolak kemungkinan Mohamad ditahan berhubung program solat hajat di Manjoi bermula jam 5 pagi esok berkaitan persidangan DUN tersebut.
Isnin lalu, Mohamad mengumumkan program khas PAS itu dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur.
Beliau bertindak sebagai pengerusi Jawatankuasa Mobilisasi Demokrasi PAS yang menganjurkan program tersebut di Masjid Al-Ittihadiyah, Kampung Tengku Husin Baru.
Isteri pemimpin PAS itu, Normah Alwi berkata seorang pegawai polis berpangkat ACP menghubunginya petang ini dan memaklumkan bahawa Mohamad akan dibawa ke Slim River, Perak untuk ditahan reman esok.
"Benda (program solat hajat) belum jadi, kenapa tangkap?" katanya kepada Malaysiakini.
Awal malam ini, polis mengesahkan telah menahan Mohamad jam 3.15 petang tadi dengan alasan "mendorong orang ramai dan penyokong PAS berkumpul di Ipoh" sempena persidangan DUN Perak, esok.
Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana beliau ditahan di Kuala Lumpur, lapor Bernama.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin turut mengesahkan mengenai penahanan Mohamad Sabu.
"Saya boleh sahkan mengenai penahanan beliau tetapi sebarang maklumat rujuk pada ketua polis Perak," katanya kepada agensi berita itu.
Dalam perkembangan berkaitan, sekumpulan penyokong PAS berura-ura berkumpul di Dataran Merdeka bagi menyatakan sokongan kepadanya mulai 8 malam.
Bagaimanapun perhimpunan tersebut tidak menjadi kenyataan selepas polis mengawal ketat, termasuk menutup jalan, sekitar kawasan tersebut.
-Dipetik Dari MalaysiaKini-
Hari mengundi DUN
Penanti 31 Mei
KUALA LUMPUR, - Hari mengundi bagi kerusi DUN Penanti ditetapkan pada 31 Mei dan hari penamaan calon pula 23 Mei, demikian pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kerusi itu dikosongkan oleh bekas timbalan satu ketua menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin pada 16 April lalu.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, suruhanjaya itu melarang penggunaan pondok panas dan perayu undi dalam pilihanraya kecil kali ini.
Katanya, keputusan itu bagi membolehkan hari mengundi berjalan dengan "aman, tenang dan tanpa kesesakan lalulintas," selain "menyejukkan suasana" selepas berkempen.
Tambahnya, tempoh berkempen selama lapan hari sudah mencukupi kerana hanya sebilangan kecil pengundi atas pagar sahaja yang membuat keputusan di saat akhir.
Abdul Aziz berkata, pondok panas menjadi "pusat ketegangan" semasa hari pengundian.
"Saya tidak tahu hendak menjelaskan gelagatnya (di pondok panas). Kadang-kadang macam dirasuk hantu. Bila kita cakap (tegur), dia kata kita pula yang emosional.
'Merayu dalam kenderaan'
“Semangatnya (penyokong) tinggi dan bilangannya ramai," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Putrajaya pagi ini.
Jelasnya lagi, SPR bagaimanapun masih membenarkan parti politik bertanding merayu di dalam kenderaan sewaktu menghantar pemilih ke tempat pembuangan undi.
"(Pengangkutan) itu perkhidmatan. Dalam kereta itu, bolehlah cakap (kempen)," katanya.
Ditanya bentuk tindakan yang boleh dikenakan terhadap pihak yang melanggar arahan itu, Abdul Aziz berkata, mereka boleh didenda RM5,000 dan tidak dibenarkan mengundi bagi tempoh lima tahun seperti Seksyen 27(1) Akta Kesalahan Pilihanraya.
Ditanya sama ada suruhanjaya itu sengaja melewatkan pengumuman tarikh-tarikh tersebut untuk membolehkan Umno mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi, Jumaat lepas, beliau berkata:
"Pertama, tidak ada penanguhan sama sekali. Kita tunda pengumuman itu bagi menyelaraskan pegawai-pegawai kita. Kita juga perlu menemui pihak parti politik pada hari Khamis.
'Umum ikut tempoh'
"Saya juga perlu dapatkan kebenaran bertulis daripada pemilik bangunan, sekolah dan Insitut Kemahiran Belia Negara (untuk pusat pengundian).
"Dan (perkara ini) tiada kena-mengena dengan (MT) Umno. Kita pun tidak tahu mesyuarat itu, kecuali apabila ada orang bangkitkan perkara ini.
"Tidak sama sekali. Tidak relevan sama sekali mesyuarat MT Umno dengan keputusan SPR," kata Abdul Aziz.
"Kita umumkan dalam tempoh yang ditetapkan undang-undang. Kecuali saya mengumumkan pada hari kedua belas dan ketiga belas (selepas bermesyuarat)."
Selain itu, diminta menjelaskan tindakan SPR menetapkan hari pengundian DUN Penanti pada Ahad, berbeza dengan tiga pilihanraya kecil sebelum ini, Abdul Aziz berkata, ia bertujuan memudahkan orang ramai.
Pilihanraya kecil Penanti menggunakan daftar yang dikemaskini sehinggi 16 April dan mengandungi 15,384 pemilih, termasuk 24 pemilih pos.
Daripada jumlah itu, 72.68 peratus Melayu, 24.22 peratus (Cina), 2.3 (India) dan 0.71 lain-lain kaum.
Pengundian di 32 saluran akan berjalan di sembilan pusat pengundian - lapan sekolah dan satu dewan insitut belia.
Abdul Aziz berkata, 242 petugas SPR akan terlibat mengendalikan pilihanraya kecil itu dengan perbelanjaan RM500,000.
Mafrel jadi pemantau
Beliau juga berkata, jika BN tidak bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Penanti, ia merupakan kali pertama dalam sejarah.
Katanya, untuk pilihanraya ini, SPR bersetuju menubuhkan dua pasukan penguatkuasa kempen pilihanraya (PP-KPR) yang bertanggungjawab memantau pemasangan bahan kempen dan segala aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen dari 23 Mei sehingga selesai hari mengundi jam 5 petang pada 31 Mei.
Abdul Aziz berkata, PP-KPR akan diketuai seorang pegawai penguatkuasa dan dianggotai seorang pegawai polis, seorang wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.
SPR juga, katanya, bersetuju membenarkan Pemantau Pilihanraya Bebas dan Adil Mafrel) menjadi pemerhati perjalanan pilihanraya kecil tersebut, dan meminta mereka menghubungi urusetia SPR untuk urusan pelantikan dan syarat-syarat yang akan ditetapkan.
Abdul Aziz berkata daftar pemilih bagi bahagian pilihanraya berkenaan akan mula dijual pada 8 Mei ini.
"Pengundi dalam bahagian pilihanraya berkenaan juga boleh membuat semakan melalui lamanweb SPR iaitu
www.spr.gov.my dan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip SPR
"Selain itu, para pengundi juga boleh menelefon ibu pejabat SPR di Putrajaya di talian 03-8885 6500 dan Pejabat Pilihanraya Negeri Pulau Pinang di talian 04-261 7692," katanya.
-Dipetik Dari MalaysiaKini.Com-
-Oleh: Webmaster-
Lim minta maaf salah
info elaun Mat Sabu
PULAU PINANG, - Ketua menteri hari ini memohon maaf kepada DUN Pulau Pinang kerana memberi jawapan salah berhubung isu pelantikan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, sebagai pengarah Perbadanan Bekalan Air Holdings Berhad (PBAHB).
Lim Guan Eng memohon maaf kerana jawapan yang diberikan ketika menggulung perbahasan usul ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri hari ini, berbeza dengan maklumat yang diberikan dalam jawapan bertulisnya kepada Datuk Jasmin Mohamed (BN-Sungai Dua), lapor Bernama.
Menurutnya, Mohamad hanya dilantik sebagai pengarah bukan bebas di perbadanan itu dan menerima elaun tetap RM500 sebulan dan elaun mesyuarat sebanyak RM300 setiap kali menghadiri mesyuarat.
Katanya, jawapan bertulis yang diberikan kepada Jasmin sebelum ini bahawa Mohamad menerima elaun tetap RM1,500 sebulan, elaun mesyuarat RM300 dan elaun luar kawasan RM1,500 sebulan adalah tidak betul.
"Mohamad tidak boleh dikategorikan sebagai pengarah bebas kerana beliau adalah seorang ahli politik, dan saya nak betulkan bahawa beliau adalah pengarah tidak bebas dan jumlah elaun yang diterima adalah seperti yang saya sebutkan sebentar tadi," Lim dipetik berkata.
Penjelasan Lim itu kemudian dibidas oleh Jasmin yang kecewa kerana jawapan yang bercanggah dan tidak betul diberikan kepadanya.
"Kerana jawapan yang tidak betul diberikan, saya telah membuat komen dan bercakap bohong kepada rakyat mengenai perkara ini.
"Macam mana jawapan boleh berbeza, adakah tidak disemak terlebih dahulu sebelum diberikan kepada kami," katanya.
Isu pemberian tanah kepada Lim Hock Seng (DAP-Bagan Jermal) yang didakwa tidak mengikut prosedur juga menyebabkan DUN kecoh seketika apabila Lim tidak menjawab soalan Datuk Jahara Hamid (BN-Teluk Ayer Tawar) mengenai perkara itu, sebaliknya mengungkit soal tanah yang dipajakkan kepada Safira Golf and Country Club, yang ada kaitan dengan Jahara.
Ketika itu, kedengaran suara dari barisan penyokong kerajaan menyebut "rasuah" dan ini menimbulkan kemarahan Jahara yang menjelaskan bahawa tanah Safira itu dikategorikan sebagai kawasan rekreasi dan nilai pajakan dibuat mengikut prosedur.
ADUN BN itu kemudian meminta orang yang menyebut perkataan itu memohon maaf tetapi tiada siapapun mengaku mengeluarkan perkataan itu.
Tuding-menuding berlaku dan akhirnya Speaker, Abdul Halim Hussain membuat keputusan supaya perkara itu disiasat, dan mereka yang bertanggungjawab perlu meminta maaf.
Jawapan Lim mengenai kedudukannya sebagai pengerusi Lembaga Tender juga menimbulkan rasa tidak puas hati barisan pembangkang yang meragui ketelusan beliau dalam membuat keputusan.
Jasmin, ketika mempertikaikan perkara itu, berkata beliau bimbang kerana sebagai ketua eksekutif negeri, Lim mungkin mempengaruhi keputusan pemberian tender.
Syed Ameruddin Syed Ahmad (BN-Bayan Lepas) pula mempersoalkan jika terdapat masalah atau kesilapan dalam pemberian tender itu, kepada siapa masalah itu hendak dirujuk memandangkan ketua menteri juga menjadi pengerusi lembaga berkenaan.
Bagaimanapun, Lim memberikan jaminan bahawa beliau boleh bertindak profesional dalam perkara ini dan sekiranya timbul sebarang masalah, ketua menteri dan barisan exconya akan bertanggungjawab.
-Dipetik Dari MalaysiaKini.Com-
-Oleh: Webmaster-
Mansuhkan PPSMI:
Jangan letak harapan pada
Najib - Mohamad Sabu
KUALA LIPIS, - Naib Presiden PAS, Haji Mohamd Sabu berkata, orang Melayu jangan terlalu menaruh harapan kepada Perdana Menteri baru, Dato' Seri Najib Tun Razak untuk megembalikan pembelajaran matematik dan sains dalam Bahasa Malaysia.
Ini kerana, Perdana Menteri berkenaan adalah dibayangi pengaruh pengasas PPMSI, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad. Malah Najib dilihat 'terhutang budi' dengan Mahathir yang banyak menekan, dan mengkritik bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi sehingga melepaskan jawatan pada 3 Mac lalu kepada Najib.
Mohamad yang ditemui selepas majlis perasmian Mesyuarat Agong Tahunan PAS Kawasan Lipis kali ke-41 dekat sini berkata, Perdana Menteri baru dijangka tidak akan mengambil masa lama untuk membubarkan parlimen bagi membebaskan diri daripada bayang-bayang Abdullah Badawi.
"Ini bermakna dalam tempoh dua tahun dari sekarang Najib akan memanggil pilihan raya umum ke-13," ujarnya.
Menurutnya, Najib yang kini dalam proses 'membina imej baik' memerlukan idea baru dan segar supaya kelihatan menarik. Apa yang dibuatnya adalah untuk membebaskan dirinya daripada pengaruh bekas bosnya, Abdullah Badawi.
Katanya perkara sama dilakukan oleh semua Perdana Menteri terdahulu, semasa Tun Mahathir mengambil alih pemerintahan daripada Tun Hussein Onn dahulu, beliau melakukan banyak perkara yang boleh menarik perhatian rakyat antaranya menyeragamkan waktu antara semenanjung dengan Malaysia Timur. Beliau juga memperkenalkan dasar penerapan nilai-nilai Islam (Islamisasi), memperkenalkan dasar Kepimpinan Melalui Teladan, dasar pendang ke timur dan sebagainya.
Abdullah pula selepas mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Mahathir telah memperkenalkan Islam Hadhari dan Abdullah menghabiskan banyak wang rakyat untuk mempopularkan Islam Hadharinya itu melalui penerbitan buku, dokomentari, seminar dan sebagainya.
"Tidak hairanlah kini Perdana Menteri Najib juga membuat perkara sama apabila berkuasa segera memperkenalkan slogan baru iaitu 'Satu Malaysia' atau 'One Malaysia', selepas ini semua perbincangan, seminar dan sebagainya akan membahaskan dasar tersebut, berapa banyaklah pula wang akan diguna bagi memenuhi plan pembinaan imej Najib itu," katanya.
Ditanya adakah isu Altantunya akan terus menghantui Perdana Menteri baru, Mohamad yakin isu berkenaan adalah antara isu-isu yang akan menjadi masalah kepada Perdana Menteri. - mns
-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-
-Oleh: Basiron Abdul Wahab-
MOTIVASI RAKYAT SIRI 5
BERSAMA HJ MOHD SABU
Ikuti Motivasi Rakyat Siri 5 oleh Hj Mohd Sabu di Tongkang Yard
Mencari Kebenaran.........
Apakah kebenaran?
Mengapa perlu kebenaran?
Siapakah yang mahukan kebenaran?
Bagaimana untuk menegakkan kebenaran?
dan banyak lagi akan dikupas oleh beliau...








