MENJELANG HIMPUNAN
1 OGOS: 1,893 hari
di bawah kezaliman ISA

28 Julai 2009

MENGHARUNGI kehidupan di bawah kongkongan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang begitu lama, bukanlah sesuatu yang diimpikan sebelum ini. Namun, inilah yang dikatakan ISA.

Siapa pun boleh menjadi mangsanya dengan hanya disyaki mengancam keselamatan negara. Jantung anda akan terhenti seketika apabila secara tiba-tiba rumah anda diserbu dan digeledah oleh orang-orang yang bersenjata.

Lebih tragis lagi apabila anda dibawa keluar dengan tangan bergari secara kasar di hadapan anak isteri. Tentu anda dapat bayangkan betapa hancurnya hati ahli keluarga mangsa ISA itu. Ataupun pada suatu ketika, sewaktu anda dalam perjalanan ke tempat kerja atau mahu pulang ke rumah, tiba-tiba kenderaan anda dipintas. Kunci kenderaan anda dirampas dan secara kasar anda diseret ke sebuah kereta lain.

Tangan digari dan anda dimaklumkan yang anda ditahan atas mengancam keselamatan negara. Bagaikan gasing fikiran anda berputar mencari apakah kesalahan yang telah anda lakukan sehingga mengancam keselamatan negara itu. Tekanan fikiran ini akan bermain sejak anda ditahan hingga ke lokasi rahsia di mana anda ditempatkan.

Lokasi rahsia

Seterusnya hinggalah ke sesi soal siasat selama dua bulan di lokasi rahsia tersebut. Dalam sesetengah kes tekanan perasaan ini berterusan hingga beberapa tahun anda ditahan di Kem Tahanan Kemunting (Kemta). Inilah peristiwa hitam yang pernah dan sedang dilalui oleh ratusan tahanan ISA.

Inilah keperitan saya alami sejak ditahan pada 2001 yang deritanya membekas hingga hari ini. Sama ada yang dituduh sebagai kumpulan Al-Maunah, Reformasi, Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), Kumpulan Jemaah Islamiah (JI) dan Kumpulan Daulah Islamiah (DI).

Hingga kini masih terdapat tahanan yang ditahan menjangkau lapan tahun. Saya pernah bersama mereka di Kemta. Dr Abdullah bekas pensyarah dan Mat Shah Satray, bekas juruteknik di Dewan Bahasa dan Pustaka. Kedua-duanya terkenal di kalangan orang tahanan sebagai tahanan berakhlak, sopan santun dan tidak membuat masalah pada orang lain juga kepada penguasa kem. Tetapi kenapa mereka ditahan begitu lama?

Inilah kezaliman ISA yang amat sukar fahami kerana ia satu tahanan tanpa bicara. Mereka boleh menahan sesiapa saja yang disyaki, tanpa membawa ke muka pengadilan. Dan mereka boleh menahan mangsa selama mana yang dikehendaki. Bukan atas keselamatan negara, sebaliknya atas prinsip tahanan yang tidak mahu tunduk kepada kezaliman ISA itu.

Sebagai contoh, Dr Abdullah amat tegas apabila berhadapan dengan anggota Cawangan Khas (SB) yang turun memantau tahanan setiap enam bulan sekali. Ia mengambil kesempatan setiap pertemuan itu berhujah dengan SB berdasarkan fakta al-Quran dan hadis. Beliau antara tahanan yang banyak bertukar SB, kerana mereka tak sanggup mendengar apa yang disifatkan sebagai ceramah oleh SB.

Belum insaf

Lalu beliau dianggap tahanan yang masih belum insaf. Begitu juga dengan Mat Shah yang tidak berminat bertemu dengan SB kerana dianggapnya tidak memberi faedah. Dia didera atas sikap itu. Juga dikatakan sebagai satu tindakbalas pihak berkenaan terhadap isterinya, Norlaila Othman yang menjadi aktivis dalam Gerakan Mansuh ISA (GMI).

Ramai beranggapan tahanan ISA akan mendapat sedikit keselesaan pada zaman Abdullah Ahmad Badawi. Bukan sahaja sebagai Menteri Dalam Negeri, dia juga sebagai Perdana Menteri.

Sifat lemah-lembutnya dan juga ilmu agama yang dimilikinya diharapkan keadaan tahanan, khususnya kebajikan keluarga mereka diambil perhatian. Rupa-rupanya keadaan sebalik berlaku, malah lebih teruk daripada era sebelumnya, ketika Dr Mahathir Mohamad berkuasa. Abdullah sudah tentu tahu, dalam Islam antara golongan yang perlu mendapat perlindungan pemerintah adalah wanita dan kanak-kanak di samping lelaki tua.

Dalam satu kes, Abdullah telah mengarahkan tangkapan ke atas isteri tahanan anggota JI iaitu Yazid Syufaat sebagai satu ugutan pada suaminya yang dikatakan tidak mahu bekerjasama dengan SB.

Menangis keseorangan

Isteri muda ini ditangkap di dalam rumahnya di Ampang ketika bersama anak perempuannya yang baru berusia lebih kurang empat tahun. Ketika si ibu dibawa pergi di tengah-tengah malam, anak itu menangis keseorangan tanpa dikasihani oleh anggota polis bertugas.

Anda bayangkan, bagaimana perasaan seorang ibu yang dipaksa keluar meninggalkan anak kecil sedang meraung ketakutan tanpa ditemani sesiapa.

Hampir 60 hari dia ditahan untuk soal siasat oleh Bukit Aman. Setelah dibebaskan, dikenakan pula tahanan daerah selama enam tahun. Suatu sekatan semata-mata untuk menyusahkan pergerakannya mencari nafkah, juga melawat suaminya di Kemta.

Satu peristiwa berdarah dalam Kemta yang masyarakat luar tidak tahu secara meluas berlaku pada 8 Disember 2004. Ia berlaku di blok T2B yang penghuninya seramai 12 orang terdiri dari orang tahanan (OT) anggota JI dari Indonesia, Filipina dan Malaysia.

Beberapa hari sebelum operasi, anggota UKP dari Kajang, Pulau Pinang dan Taiping telah ditempatkan di Kemta. Dalam kesempatan pertemuan dengan Pangarah Kemta ketika itu, sempat saya mengingatkan beliau jangan bertindak sebarangan terhadap OT tersebut. Bak kata orang, bagai anjing menyalak bukit. Manalah pandangan dan nasihat orang seperti kami nak didengari.

Berkebin sayur

Pagi 8 Disember 2004 itu, kegiatan harian kami seperti biasa. Joging, main badminton dan berkebun sayur. Tanpa disedari lebih kurang jam 9.00 pagi, semua wardar yang bertugas di semua blok (enam blok) diarah meninggalkan semua blok dengan mengurung tahanan tanpa diawasi.

Suatu arahan luar biasa yang dikatakan bercanggah dengan etika penjara. Yakni wardar tidak boleh meninggalkan orang tahanan atau banduan tanpa pengawasan. Inilah ISA, segala-galanya boleh berlaku.

Ringkas cerita di ruangan yang terhad ini, pihak berkenaan telah melakukan provokasi bagi mewujudkan suasana tidak aman antara UKP dan OT di blok T2B. Lebih 100 UKP yang lengkap dengan topeng serta pakaian keselamatan, merempuh masuk menyerang OT.

Dalam insiden itu semua OT dipukul semahunya, hingga ada yang pengsan, patah jari, cedera di kepala, betis dan anggota badan lain. Saya dan rakan-rakan dari blok T3 yang jaraknya kurang dari 100 meter dapat saksikan dari celah-celah lubang zink dinding blok, bagaimana OT yang cedera diusung seperti binatang ke tempat rawatan.

Hampir semuanya dibasahi darah baju warna putih mereka. Sepanjang hari itu mereka tidak mendapat rawatan yang sewajarnya, begitu juga makan dan minum. Mereka dilayan betul-betul macam binatang.

Pada malam baru seorang demi seorang dibawa ke hospital Taiping menerima rawatan selanjutnya. Ada maklumat yang menyebut, doktor yang merawat OT, amat terkejut dengan kecederaan serius yang dihadapi setiap mereka. Hingga mereka mencadangkan OT ambil tindakan mahkamah terhadap pihak terbabit.

Degil

Tak cukup di situ, esoknya operasi berjalan pula di blok-blok lain. Kali ini mereka mencari OT yang dikategori sebagai degil atau selalu menyusahkan pihak kem. UKP yang bersikap ganas masuk ke blok T4A dan T4B mengasari sasaran mereka dengan diseret keluar ke tempat asingan (blok T 1) yang jaraknya hampir 200 meter.

Sepanjang perjalanan itu, mereka dipukul, sepak terajang, maki hamun hingga ada yang mencabar 'Allah turun bantu OT'.

Terdapat juga wardar Kemta yang dendam sangat dengan OT telah ambil kesempatan memaki dan meludah OT yang dibawa melintasi mereka. Paling menyedihkan, terdapat OT yang dikategori sebagai ustaz, dibogel dan dihumban secara kasar ke dalam lokap blok.

Mungkin sukar untuk anda percaya, tetapi itulah yang telah berlaku. Selepas tragedi berdarah itu, kami dan keluarga mulai mendapat layanan buruk daripada pihak Kemta dengan alasan mereka mendapat arahan daripada KDN.

Begitulah sekelumit daripada segunung kezaliman ISA. Kami yang menderitai kezaliman ini diminta mengakui bahawa pemerintah yang ada ini baik, adil, bertanggungjawab dan tahanan kami ini adalah wajar. Jika tidak, kami dianggap tidak insaf, sebagai balasannya kami merengkok dalam kem tahanan tahun demi tahun.

Keadaan ini mengingatkan saya apa yang sering disebut oleh Allahyarham Presiden PAS, Ustaz Fadzil Nor dalam mengulas isu ISA ini. Menurut beliau, "apakah adil pada kamu apabila menangkap orang, diikat kaki tangan, dipukul, disepak, diterajang, dikilas tangan dipijak sampai patah kaki, sumbat mulut lalu ditanya orang itu, sakit atau tidak. Sudah tentulah pelaku-pelaku ini terdiri dari orang-orang yang tidak waras."

Beberapa hari sebelum bebas, saya didatangi oleh salah seorang pegawai kanan Bukit Aman. Dia berpesan pada saya agar memaklumkan kepada pihak tertentu atau NGO yang berusaha menghapuskan ISA, bahawa ISA ini tidak akan dihapuskan walaupun terdapat 1,000 NGO membantah.

Harungi kezaliman

Sehingga ini tak ada mana-mana pihak yang saya maklumkan kecuali pada Saari Sugaib yang menziarahi saya setelah dibebaskan. Sepanjang pengalaman 1893 hari mengharungi kezaliman ISA itu, saya yakin apa yang dkatakan pegawai berkenan benar.

Ini kerana, yang menguasai isu ISA ini, sama ada daripada KDN atau Bukit Aman, terdiri daripada mereka yang hatinya keras tidak lut dengan nasihat agama dan hilang kemanusiaan mereka.

GMI, NGO dan parti politik pembangkang sememangnya tidak mampu untuk menghalang keegoan pemerintah. Hanya kebangkitan rakyat sahaja yang dapat menyelesaikan isu ini. Rakyat yang tidak mempunyai maklumat atau memandang remeh isu ini, tak akan bersuara, apatah lagi ke jalanan membuat bantahan.

Terutama pada saat ini, masih menjadi bualan Perdana Menteri baru membebaskan 13 tahanan sebaik saja menganti Abdullah. Rakyat tentu tak tahu bahawa ini satu sandiwara. Mereka diperjudikan semata-mata untuk kepentingan PM baru, Najib Razak.

Tentu kita masih ingat, tiga minggu selepas Abdullah ambil alih kuasa 15 orang tahanan anggota Al-Maunah telah dibebaskan sehari menjelang Aidilfitri pada November 2003. Desas-desus pembebasan mereka ini telah kami dengar tiga bulan sebelum itu. Namun mereka dikambinghitamkan untuk kepentingan politik Abdullah.

Dua minggu selepas itu, saya didatangi SB dari Bukit Aman. Antara perbualan kami menyentuh isu pembebasan anggota Maunah itu.

Sambut raya

Disebutkan pada saya antaranya: "Cuba hang fikir, apabila mereka balik menjelang raya, bukan saja tangan mereka, tapi tangan isteri, anak-anak dan ahli keluarga masing-masing akan angkat doa berterima kasih pada Abdullah kerana dapat menyambut raya bersama keluarga di rumah. Tentu mereka kata Abdullah baik."

Sandiwara ini berulang lagi pada giliran Najib. Tetapi cacat lakonannya kerana tidak semua anggota Hindraf dan JI dibebaskan. Namun Makkal Sakthi yang ditunjukkan oleh masyarakat India berjaya memberi tekanan hingga semua anggota Hindraf dibebaskan. Tinggal lagi anggota JI dan DI.

Semasa muktamar PAS yang lalu, saya bertemu dengan Norlaila, isteri Mat Shah. Menurutnya ketika itu, seminggu lagi beliau akan ke Geneva atas urusan merayu pihak antarabangsa membebaskan suaminya. Dia yakin suaminya akan dibebaskan penghujung Jun yang lalu.

Itulah antara kezaliman ISA, isteri dan anak-anak diberi janji-janji manis. Akhirnya penantian itu berakhir dengan kehampaan.

Tidak lengkap isu ini tanpa menyentuh keadaan anak isteri sepanjang kami ditahan. Sebaik saja ditahan, rumahtangga menjadi kelam kabut, khususnya isteri menjadi tidak tentu arah. Mana nak melayan kerisauannya, terpaksa pula memujuk hati anak-anak kecil yang merindui ayah mereka, juga kejutan anak-anak remaja yang terpaksa menghadapi masyarakat yang pelbagai ragam.

Cuba bayangkan, bagaimana anak-anak remaja ini, khususnya kami daripada KMM yang dituduh membunuh dan merompak. Media membesarkan tajuk ini dengan menyiarkan gambar-gambar kami selaku penjenayah sepanjang Ogos hingga hujung tahun 2001. Waktu ini ada anak-anak kami menghadapi peperiksaan UPSR ,PMR, SPM, STPM dan di pusat pengajian tinggi.

Mohon cerai

Terdapat dalam beberapa kes di mana isteri terpaksa memohon cerai atas tekanan pihak tertentu. Anak remaja yang meninggal kampung kerana tak selesa tinggal lagi dengan fitnah terhadap ayah mereka. Tak kurang pula anak-anak ini yang terpaksa tangguh pengajian kerana masalah ekonomi dan tekanan perasaan.

Paling menyedihkan apabila pihak berkuasa langsung tidak mempedulikan kebajikan keluarga tahanan. Malah terdapat kes di mana pihak tertentu diarah menghalang individu memberi sumbangan wang pada keluarga tahanan.

Pada awal tangkapan ramai yang simpati hulur sumbangan sama ada ketika datang ziarah atau memasukkan wang dalam akaun bank. Dengan halangan itu, akhirnya tak ada lagi sumbangan individu, kecuali NGO atau saluran politik pembangkang.

Ada juga yang simpati, lalu bantu membawa keluarga tahanan ke Kemta seminggu sekali. Dengan halangan daripada pihak tertentu, akhirnya terpaksa menaiki bas ke Kemta. Lebih menderita jika isteri tinggal jauh. Ada dari Sabah.

Teringat saya pada seorang rakan tahanan yang terkenal dengan kesabarannya. Selalunya, apabila pulang daripada bertemu isteri, wajahnya ceria dengan pelbagai cerita baru yang dibawanya.

Air mata mengalir

Suatu hari dia pulang dengan agak kesedihan. Selepas makan dan solat jemaah Zuhur saya ke biliknya. Dalam berbual air matanya mengalir. Katanya, dia terkenangkan betapa setia isterinya bersusah payah datang menemuinya sewaktu dia baru 10 hari melahirkan anak lelaki. Kerana tahu suami berhajatkan anak lelaki, dia tak sabar-sabar datang membawa anak itu untuk ditunjukkan pada dia.

Tidak ada lagi orang yang mahu menghantarnya, lalu isterinya naik bas dari Banting seawal pagi menuju ke KL. Kemudian ambil bas dari Puduraya ke Kamunting. Makan masa hampir enam jam. Di pintu utama masuk kem, dia terpaksa pula jalan kaki hampir satu kilometer ke tempat pendaftaran pelawat.

Usaha mengumpulkan ratusan ribu rakyat mengadakan protes memansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009 ini wajar dipandang serius oleh semua pihak. Masih banyak lagi babak-babak kezaliman di sebalik tabir ISA.

Memang benar jumlah tahanan sekarang kurang 10 orang, tetapi amaran daripada Menteri Dalam Negeri baru-baru ini kepada pihak tertentu, membayangkan Kemta bakal dipenuhi penghuni lagi.

Seperti dikatakan, tidak ada kuasa yang boleh menyelesaikan isu ini melainkan kuasa rakyat. Kita lakukan ini bukan untuk kita, tetapi buat generasi akan datang. Bukan sahaja ISA bercanggah dengan ajaran agama, penahanan tanpa bicara ini bercanggah juga dengan fikrah dan hak asasi manusia.

Bekas tahanan seperti saya dan rakan-rakan lain masih lagi dibimbangi dengan pantauan seolah ugutan.

Kehidupan harian kami tidak selesa seperti dulu, terutama perbualan telefon kami dirakam. Ada yang dipaksa memaklumkan pada Bukit Aman jika menerima panggilan dari luar negara. Tak kurang pula yang ditahan pasport oleh KDN juga sukar membuka akaun bank.

Ramai antara kami yang keluar terpaksa terkapai-kapai mencari nafkah hidup. Pekerjaan dulunya telah hilang. Yang terlibat dalam perniagaan, terbantut bisnes. Saya umpamanya, terpaksa menanggung hutang hampir RM200,000 akibat projek ternakan ayam yang tersadai sebaik ditahan lebih lima tahun.

Bukan senang bagi saya untuk mengumpul wang dengan jumlah sebegitu banyak dalam usia separuh abad ini.

Apa yang dialami oleh mangsa ISA, terutama mereka yang lebih daripada tiga tahun dalam tahanan, gelora hidup keluarga mereka seharusnya mengamit simpati daripada kita.

Bebas suami tercinta

Bayangkan Norlaila sanggup pergi ke Geneva semata-mata dengan hasrat membebaskan suami tercinta, juga menyatakan kezaliman ISA di mata dunia, mengapa kita tidak sanggup beberapa jam sahaja menyambut seruan pihak tertentu untuk memberi sokongan dalam usaha menghapuskan ISA.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah mengingatkan pihak berkenaan bahawa tiap helai bulu roma, setitik peluh dan air mata yang gugur atau keluar dari tubuh tahanan tanpa bicara ini, maka akan dipertanggungjawab hadapan Allah kelak.

Justeru, sedikit masa dan keringat kita semasa perhimpunan itu tentunya akan dipetanggungjawab juga hadapan Allah kelak. Bukan sahaja memberi sokongan kepada kegigihan Norlaila serta keluarga Dr Abdullah, lebih jauh daripada itu adalah kita bersama-sama dengan golongan yang menentang kezaliman.

Dalam satu himpunan, satu langkah, satu hasrat dan satu suara rakyat Malaysia: HAPUSKAN ISA!

-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-

-Oleh : CN Al-Afghani-


Semua pimpinan Pakatan
Rakyat sertai Himpunan
Mansuh ISA

18 Julai 2009

KUALA LUMPUR, - Bantahan terhadap akta zalim ISA akan dizahirkan secara jelas apabila ketiga-tiga parti PAS, KeADILan dan DAP dalam Pakatan Rakyat sepakat menyatakan sokongan untuk menyertai Perhimpunan Mansuh bagi menentang undang-undang 'rimba' itu, 1 Ogos depan.

Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim menegaskan mengenai persetujuan serta sokongan Pakatan Rakyat terhadap perhimpunan tersebut dalam sidang media yang diadakan sebaik sahaja selesai Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, 17 Julai lalu.

Jelas Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, semua pimpinan Pakatan Rakyat akan turun dalam perhimpunan tersebut bagi menyatakan sikap serta mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman ISA termasuk kes-kes kematian dalam tahanan.

Turut serta dalam sidang akhbar tersebut ialah Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Presiden KeADILan, Dato' Seri Wan Azizah Ismail, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Hussin Ali serta pimpinan kanan ketiga-tiga parti juga turut hadir dalam sidang media tersebut.

Menurut Anwar, pada mesyuarat tersebut turut membincangkan langkah-langkah memperkukuh Pakatan Rakyat melalui panel Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang dibentuk untuk mengkaji setiap kementerian dalam kerajaan yang akan memperkemaskan lagi pelaksanaan tugas mereka.

Selain itu katanya, mesyuarat tersebut juga mencadangkan supaya ketua serta wakil whip di Parlimen berfungsi memastikan jawatankuasa panel terus mengadakan perbincangan menentukan dasar-dasar bersama oleh pimpinan parti.

Anwar juga menyatakan mesyuarat itu juga bersetuju untuk memperkukuh sekretariat Pakatan Rakyat dengan tiga wakil pimpinan setiap parti mengendalikan sekretariat Pakatan Rakyat di peringkat pusat.

Justeru katanya, satu seminar akan diadakan dalam waktu terdekat bagi memperkukuh gagasan itu yang akan dihadiri oleh 30 pimpinan dalam setiap parti dalam Pakatan Rakyat.

Tambahnya lagi, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat juga sepakat agar jawatankuasa sekretariat peringkat negeri diperkukuhkan segera. Dalam pada itu katanya, jawatankuasa pilihan raya ketiga-tiga parti juga bersetuju untuk mengadakan pertemuan serta berbincang mengenai strategi dan langkah-langkah yang diperlukan bagi berdepan dengan pilihan raya.

"Dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, kami juga meminta Ketua Pemuda, Ketua Wanita serta Ketua Penerangan ketiga-tiga parti untuk turut bersama dalam perjumpaan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

"Sekretariat juga diminta agar membincangkan terlebih dahulu mengenai isu dasar serta kenyataan yang dibuat mestilah tunduk kepada semangat serta dasar yang diputuskan. Ketua Penerangan diminta segera mengkaji langkah untuk memperkuat usaha dalam penerangan termasuk blog Pakatan Rakyat serta media Pakatan Rakyat bagi mempastikan penerangan serta penjelasan disampaikan kepada rakyat," katanya.

Sementara itu ketika menjawab soalan pemberitya, sama ada mesyuarat tersebut ada membincangkan mengenai kemenangan tipis PAS dalam Pilihan Raya Kecil Manek Urai, jelas Anwar perkara tersebut tidak dibincangkan sebaliknya Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada PAS kerana dapat mengekalkan kemenangan.

"Pilihan Raya Kecil Manek Urai merupakan sejarah penting kerana selama 14 tahun sukar bagi PAS untuk menang dalam Pilihan Raya Kecil. Bagaimanapun dengan kekuatan yang ada pada PAS dan Pakatan Rakyat, kita dapat bertahan dengan keputusan 6-1 dalam siri pilihan raya kecil," katanya.

-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-

-Oleh : Nyza Ayob-


PAS seru ahli sertai himpunan
mansuhkan ISA, 1 Ogos depan

16 Julai 2009

KUALA LUMPUR, - PAS menyeru ratusan ribu ahlinya agar menyertai himpunan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekaligus menyerahkan memorandum ke Istana Negara, 1 Ogos depan.

Ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad berkata PAS sudah mengarahkan semua ketua penerangan negeri dan peringkat kawasan menganjurkan ceramah dan mengedar risalah menggalakkan orang ramai menyertai Himpunan MANSUH.

"Sehubungan dengan itu semua ahli PAS diminta untuk hadir memberikan sokongan terhadap perhimpunan ini.

"Semua ketua-ketua penerangan negeri dan PAS kawasan diminta mengadakan siri-siri ceramah dan edaran risalah penerangan berhubung kezaliman akta ISA serta mengajak lebih ramai rakyat untuk menghadiri Himpunan ini," kata Idris dalam satu kenyataannya.

Dalam kenyataan yang sama, beliau mengajak semua NGO dan individu yang prihatin untuk hadir bagi memastikan kerajaan memansuhkan akta kontroversi tersebut "yang sering dijadikan alat politik segelintir pihak berkepentingan untuk menakutkan rakyat.

Pada 22 Jun lalu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) secara rasmi mengumumkan perhimpunan itu dengan mensasarkan jumlah 'sekurang-kurang menyamai jumlah mereka yang menyertai perarakan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih)' dua tahun lalu.

Tarikh 1 Ogos dipilih sempena 49 tahun ISA yang digubal sejak 1 Ogos tahun 1960.

Jumaat lepas, mesyuarat jawatankuasa induk Himpunan MANSUH yang dianggotai pemimpin parti politik, NGO, mahasiswa sepakat menetapkan perhimpunan tersebut jam 2 petang di tiga lokasi utama di Kuala Lumpur namun tempat-tempat itu belum diputuskan lagi.

Menurut kenyataan GMI, mesyuarat itu juga memutuskan untuk menghantar satu 'deklarasi rakyat' kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ia juga menggalakkan orang ramai yang ingin menyertai perhimpunan tersebut agar memakai pakaian warna tema merah hitam.

Himpunan MANSUH diadakan sebagai kesinambungan kempen GMI untuk membela nasib tahanan dan keluarga, dan juga menutup Kem Kamunting, Taiping.

-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-


ISA:BN tidak wajar dimaafkan,
mangsa dianiaya dan dizalimi

11 Julai 2009

KUALA LUMPUR, - Penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh pemerintah Barisan Nasional (BN) di negara ini tidak boleh dimaafkan.

"Ia menganiaya mangsanya apabila dinafikan hak bersuara dan membela diri,"tegas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu apabila bersetuju dengan pandangan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan kezaliman akta itu tidak boleh dimaafkan.

Semalam Nik Aziz menyifatkan penggunaan ISA terhadap pemimpin lebih teruk daripada istilah 'binatang'.

"Kezaliman Umno menggunakan ISA ke atas pembangkang yang tidak bersalah lebih teruk daripada perkataan itu,"bidas Nik Aziz.

Beliau berkata demikian bagi menjawab serangan media yang menyebut beliau mengeluarkan kata-kata kesat termasuk binatang atau 'menate' dalam loghat Kelantan dalam satu ceramah di Manek Urai Dua baru-baru ini.

Nik Adli Nik Aziz salah satu anak beliau turut menjadi mangsa tahanan ISA dituduh terlibat dengan Kumpulan Militan Malaysia pada 4 Ogos 2001 kemudian dibebaskan pada 18 Oktober 2006.

Mohamad Sabu yang turut mengulas mengenai akta zalim itu turut sama bersetuju dengan pandangan Mursyidul Am itu dan menyifatkan kezaliman akta itu tidak boleh dimaafkan.

Katanya, akta seperti ISA tidak perlu lagi dipertahankan kerana ternyata ia menganiaya mangsanya apabila dinafikan hak bersuara dan membela diri.

Tegasnya yang juga pernah ditahan dibawah akta itu semasa Ops Lalang, kerajaan yang mementingkan kedudukan mereka sahaja sanggup mengggunakan akta ini.

Justeru, beliau yang tidak berganjak dari pendirian bahawa ISA harus dimansuhkan meminta seluruh rakyat negara ini turun beramai-ramai pada 1 Ogos nanti untuk menyatakan bantahan terhadap kezaliman kerajaan BN.

Beliau yang akan berada di lokasi Masjid Negara pada hari tersebut, percaya himpunan itu akan berlangsung secara aman jika tidak ada sebarang provokasi dari mana-mana pihak.

Dalam pada itu, Yang dipertua PAS Kawasan Batu Ishak Surin yang pernah ditahan ISA pada 1965 turut merasai kepahitan ditahan dalam tempoh 60 hari.

Beliau berkata, mereka yang tidak merasai keseksaan ditahan dibawah akta itu boleh bermacam-macam mengandaikan akta itu ada baiknya.

Tetapi, kata beliau hanya mereka yang mengetahui dan mengalami sendiri pengalaman dizalimi akan tetap menyatakan akta itu harus dimansuhkan.

Beliau menyeru semua bekas tahanan ISA, keluarga tahanan dan orang ramai bersama-sama dalam perhimpunan itu nanti.

"Kita tunjukkan satu perpaduan menentang kezaliman ISA pada hari itu, dan tuntut agar akta itu dihapuskan," katanya semasa dihubungi.

-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-

-Oleh : Salmiyah Harun-


Himpunan mansuh ISA ,
1 Ogos, sasar 200,000 orang

6 Julai 2009

KUALA LUMPUR, - Walaupun diberi masa hanya sepuluh minit oleh pihak polis bagi mengadakan sidang media, ia tidak menghalang Sekretariat Himpunan MANSUH untuk menyeru seluruh rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat agar menyertai himpunan raksasa menuntut dimansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dijadualkan 1 Ogos akan datang.

Himpunan itu dijangka dapat menarik sehingga 200,000 orang untuk mendesak pihak kerajaan memansuhkan akta yang dikenali zalim dan tidak berperikemanusiaan itu.

Sidang media yang diadakan di hadapan kompleks membeli belah SOGO kelmarin disertai Pengerusi Sekretariat Himpunan MANSUH, Syed Ibrahim Syed Noh, Timbalan Pengarah Sekretariat Himpunan MANSUH, Kamaruzaman Mohamad yang juga Setiausaha Pemuda PAS Pusat serta Exco Pemuda PAS Pusat, Mohd Sani Hamzan.

Sebelum sidang akhbar dimulakan, Kamaruzzaman menggunakan pembesar suara untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai program mereka. Bagaimanapun, seorang pegawai polis menghampirinya dan meminta beliau jangan menggunakan pembesar suara tersebut.

"Hanya sepuluh minit sahaja," katanya kepada pegawai polis berkenaan. Namun pegawai polis tersebut tetap meminta beliau tidak menggunakan pembesar suara. Justeru beliau akur dengan arahan tersebut dan sidang media tetap diteruskan walaupun tanpa menggunakan pembesar suara.

Kelihatan kira-kira 30 orang anggota polis berpakaian seragam memantau keadaan di situ. Selain kehadiran jurugambar dan wartawan, sidang akhbar tersebut turut mendapat perhatian orang ramai yang berada di sekitar pusat membeli belah tersebut.

Dalam sidang media tersebut, Syed Ibrahim yang juga Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menegaskan 1 Ogos dipilih sebagai tarikh untuk mengadakan himpunan tersebut sempena 49 tahun akta rimba tersebut digubal.

Jelas Syed Ibrahim, selain menggesa supaya ISA dimansuhkan, melalui himpunan tersebut satu mesej yang jelas akan disampai oleh rakyat menuntut kerajaan membebaskan semua tahanan ISA dan menutup Kem Tahanan Kamunting.

Beliau menegaskan undang-undang yang menahan individu tanpa bicara tidak sepatutnya wujud dalam sebuah negara demokrasi di Malaysia.

"Kerajaan telah menyatakan akan mengkaji semula ISA. Dato' Seri Najib Tun Razak juga sewaktu dilantik sebagai Perdana Menteri mengumumkan pembebasan beberapa orang tahanan. Namun masih berlaku penahanan terbaru pada 25 Jun lalu di mana tiga orang ditahan di bawah ISA dan ia turut disahkan oleh Ketua Polis Negara.

"Dan penahanan ini tidak diumumkan kepada media dan juga kepada rakyat. Inilah hakikat ISA iaitu 'Ikut Suka Aku'. Apabila mereka melihat ada kepentingan, mereka akan umumkan kepada rakyat mengenai pembebasan. Tetapi apabila berlaku penahanan, perkara ini tidak dihebahkan. Dan yang menjadi mangsa adalah tahanan yang tidak dapat membela diri mereka. Keluarga mereka juga menjadi mangsa kerana tidak dimaklumkan mengenai penahanan serta kesalahan yang dilakukan. Dan yang menjadi mangsa keseluruhannya ialah sistem demokrasi dan keadilan di negara ini," tegasnya.

Sementara itu, Mohd Sani bagi pihak Dewan Pemuda PAS Pusat turut menggesa golongan muda agar turun memberi sokongan kepada perhimpunan tersebut agar akta 'jakun' dan tidak bertamadun itu dapat dimansuhkan.

Kamaruzzaman pula menyatakan, kehadiran semua lapisan masyarakat dalam perhimpunan tersebut juga bagi mendesak kerajaan menghapusakan semua akta yang jelas bertentangan dengan perlembagaan serta menyekat kebebasan rakyat Malaysia untuk bersuara.

Jelasnya, pihaknya mensasarkan perhimpunan tersebut mampu menarik 150,000 hingga 200,000 orang.

Sebaik sahaja sidang media tersebut berakhir, Sekretariat Himpunan MANSUH mengedarkan risalah mengenai himpunan tersebut kepada orang ramai di sekitar pusat membeli belah tersebut dan kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahaman dan Masjid India.

Difahamkan tiada sebarang gangguan daripada pihak polis serta sebarang kejadian yang tidak diingini sewaktu risalah tersebut diedarkan.

-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-

-Oleh : Nyza Ayob-


Kezaliman ISA terdedah di
sidang hak asasi PBB Geneva

6 Julai 2009

GENEVA, - "SAYA sangka Malaysia sebuah syurga ...," kata Julunya dari Sudan.

"Semua orang sukakan Malaysia, kami tak tahu ada akta seperti ini di negara kamu," kata Hammara yang berasal dari Pakistan tetapi menetap di London.

"Saya tak sangka ISA begitu kejam bagi sebuah negara yang berimej Islam seperti Malaysia," kata Deena, seorang aktivis hak asasi dari Mesir.

Demikianlah antara komen terus terang kepada saya sebaik saja ucapan dua minit di Konvensyen Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva tamat.

Peserta wanita memelukku sebagai tanda simpati manakala yang lelaki memandang dari jauh dan menganggukkan kepala tanda sokongan terhadap ucapan itu. Saya rasa terharu dan hiba dengan respons mereka.

Tidak pernah terlintas

Sejak melibatkan diri dalam kempen anti-ISA bersama Gerakan Mansuh ISA (GMI), tidak pernah terlintas dalam fikiran bahawa suatu hari nanti, saya berpeluang menyatakan kezaliman ISA dalam sebuah dewan yang tersohor di Persidangan PBB, Geneva.

Begitu juga selama ini, saya tidak pernah terfikir akan begitu sabar menanggung perasaan sebagai seorang wanita yang ketiadaan suami dan pada masa sama menghadapi karenah dan kejahatan akta tahan tanpa bicara ISA ini sehingga tujuh tahun lamanya. Saya yakin, semuanya terjadi dengan izin Allah.

Kehadiranku di 'Human Rights Council Eleventh Session' di PBB sesi Jun 2009 ini adalah satu kesinambungan daripada kempen 'menulis surat' selama enam bulan pada sepanjang tahun 2008.

Ketika itu, sebagai Pengarah Kempen Bebaskan Tahanan Enam Tahun ISA anjuran GMI, saya mensasarkan sekurang-kurangnya 100,000 surat dapat disampaikan oleh rakyat Malaysia kepada Menteri Dalam Negeri dan 'Office of High Commissioner for Human Rights (OHCHR)' di PBB.

Walaupun sasaran itu kurang sedikit, kami berjaya menghantar lebih 20,000 surat ke PBB dan sejumlah yang sama kepada Menteri Dalam Negeri di Putrajaya. GMI mendapat respons positif daripada OHCHR yang berada jauh beribu-ribu kilometer iaitu di Geneva tetapi anehnya langsung tidak mendapat sebarang berita daripada pejabat Menteri Dalam Negeri yang cuma terletak di Putrajaya.

Kempen bersama IHRC

Mungkin ramai tidak tahu bahawa isu tahanan tanpa bicara suamiku, Mat Sah Mohd Satray telah dihantar ke peringkat antarabangsa sejak tahun 2007 melalui Islamic Human Rights Commision (IHRC) yang berpangkalan di London.

IHRC telah menyediakan satu kempen pek lengkap mengenai akta zalim ISA di Malaysia dan Mat Sah dijadikan contoh tahanan yang masih dipenjara tanpa bicara di Kem Kamunting. GMI mendapat kerjasama yang amat baik daripada IHRC manakala sokongan rakyat Malaysia terhadap aktiviti 'menulis surat' itu telah melonjakkan kempen itu ke perhatian PBB pula.

Jika diimbas kembali, ia seolah-olah satu perjalanan yang sangat panjang, tetapi sokongan berterusan daripada rakyat Malaysialah yang memberi kekuatan kepadaku untuk berusaha keras mencari peluang dan dana bagi memastikan kezaliman ISA dapat disuarakan di United Nation di bumi Switzerland ini.

Pemergianku ke Geneva baru-baru ini juga merupakan salah satu daripada dua perkara utama dalam 'retreat' GMI bagi tahun 2009 ini selain daripada Himpunan Mansuh ISA yang dalam peringkat mobilisasi massa sekarang.

Saya dan aktivis lain di GMI amat menyedari, selain penahanan tujuh tahun yang sudah terlalu lama pada abad ke-21 ini, tidak dapat dinafikan gelombang kesedaran rakyat terhadap isu tahan tanpa bicara ISA ini begitu kuat sekali hingga menyebabkan PM Najib Razak dalam ucapan perdananya terpaksa menyatakan bahawa beliau akan mengkaji semula ISA dan pada masa yang sama membebaskan 13 tahanan ISA pada 2 April lepas.

Kemudian pada bulan Mei baru-baru ini, sekumpulan 13 tahanan ISA lagi telah dibebaskan tetapi malangnya Mat Sah masih belum dibebaskan.

Permusafiran di Geneva

Geneva, yang terletak bersempadanan dengan Perancis adalah sebuah bandar raya yang sederhana besarnya, jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur. Bandar yang masih mengekalkan ciri-ciri tradisonal ini memang terkenal di serata dunia sebagai sebuah tempat amat terkenal dengan pengeluaran jam tangan.

Tidak hairanlah di sepanjang jalan, terdapat deretan kedai-kedai menjual jam tangan berjenama seperti Rolex, Reymond Weil, Tissot, Oris dan pelbagai lagi.

Walaupun kami agak letih sepanjang 20 jam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Geneva, panorama alam seindah banjaran Alps yang masih ada selapis salji di atasnya, pemandangan Tasik Geneva yang begitu mengasyikkan dengan hembusan angin musim panas yang dingin dan nyaman seolah-olah melupakan seketika bahawa saya datang ke sini untuk menyampaikan kepada dunia, satu kisah kezaliman yang belum tahu bilakah penghujungnya.

Kami berempat iaitu saya, Nalini dan John daripada Suaram serta Andrew daripada Bar Council terpaksa melalui jadual yang agak ketat. Setiap hari, kami keluar dari hotel menuju ke bangunan United Nations seawal jam 8.00 pagi dan kemudian kembali ke hotel pada jam 7 atau 8 malam.

Pada hari pertama, kami dimestikan mendaftar sebagai salah seorang peserta yang akan berucap dan kemudian sebahagian besar masa dihabiskan bertemu peserta daripada beberapa NGO negara lain untuk menyampaikan mesej pencabulan hak asasi yang terkandung dalam ISA kepada mereka.

Dalam proses memurnikan ucapan yang telah lama didraf, aku mengimbau kembali peranan 'OHCHR- United Nations' dalam isu ISA ini, badan dunia itu telah mengeluarkan satu perisytiharan 'Arbitrary Detention' terhadap Mat Sah sejak bulan November 2008 lagi.

Tahanan masuk tahun ke-8

Selain perisytiharan itu, mereka juga telah mencadangkan kepada kerajaan Malaysia supaya Mat Sah dibicarakan atau dikeluarkan saja dari Kem Kamunting kerana sebaik saja selesai meneliti laporan dari pihak GMI dan pihak Kerajaan Malaysia (Kementerian Dalam Negeri), ternyata penahanan tanpa bicara yang dikenakan ke atas Mat Sah amat bertentangan dengan mana-mana prinsip hak asasi manusia.

Kemudian dalam bulan Februari 2009, isu 'Arbitrary Detention' ini juga telah dibincangkan dengan panjang lebar oleh sebuah jawatankuasa kerja di PBB untuk memberi lebih penekanan supaya kerajaan Malaysia melakukan sesuatu yang lebih mulia daripada terus-menerus menahan Mat Sah yang kini ditahan masuk tahun kelapan!

Semua fakta di atas saya masukkan dalam ucapan tersebut. Saya terlupa, berapa kali agaknya draf ucapan itu diubah suai mengikut kepentingan fakta dan masa yang diberi. Beberapa kali saya ucapkan terima kasih pada Andrew Khoo yang telah menyusun semula semua fakta penting dalam ucapan tersebut dan memasukkan elemen perundangan di dalamnya.

Ketika membuat penyusunan itu, Andrew mengatakan beliau membayangkan bagaimana keadaan Mat Sah yang telah tujuh tahun tidak menikmati kehidupan normal kerana terkurung di kem. Beliau dapat merasakan deritanya menjadi tahanan ISA kerana pernah beberapa kali bertemu Mat Sah ketika melawat tahanan ISA di Kem Kamunting.

Pada hari Jumaat, 12 Jun 2009, saya adalah peserta keenam yang diberi peluang berucap. Sebaik saja teks ucapan itu siap, saya segera berlatih supaya dapat membaca dengan lancar dan tenang.

Ucapan yang disampaikan dalam bahasa Inggeris itu berkisar kepada penahanan tanpa bicara yang memasuki tahun ke tujuh, 'habeas corpus' tidak sesuai untuk membebaskan tahanan daripada sudut perundangan, lembaga penasihat yang tiada integriti, tiada 'charge' yang membolehkan tahanan didakwa di mahkamah, perisytiharan 'Arbitrary Detention', kerinduan Suhaib yang sentiasa menanti kepulangan bapanya.

Dan akhir sekali merayu kepada kerajaan Malaysia supaya menerima cadangan daripada OHCHR agar sama ada membicarakan Mat Sah di mahkamah atau membebaskannya saja.

Alhamdulillah, saya dapat menyampaikan teks ucapan itu dengan tenang dan fasih. Aku amat bersyukur, kerana segalanya berjalan dengan lancar. Selesai saja kami, barisan NGO menyampaikan ucapan, kerajaan Malaysia yang diketuai oleh Duta Besarnya berkata, isu 'Arbitrary' akan diberi keutamaan dan ISA juga dalam proses untuk dikaji semula.

Tagih janji PM

Itulah ucapan yang amat sedap didengar oleh wakil Malaysia di hadapan wakil negara lain demi untuk menutup segala unsur negatif yang telah terpaksa kami nyatakan secara terus terang.

Namun, apakah hakikat sebenar kedudukan ISA di Malaysia? PM Najib Razak memang berjanji untuk mengkaji semula akta itu, tetapi nampaknya daripada bulan April hingga Jun, belum ada sebarang tanda yang beliau mengarahkan sebarang 'engagement' antara kerajaan dengan pengamal undang-undang dan NGO yang terlibat secara aktif dalam kempen anti-ISA.

Tidak ada 'time�frame' dalam janji-janji PM bahawa ISA akan benar-benar di kaji semula...

Saya amat berterima kasih kepada Forum Asia, sebuah NGO di Bangkok, yang mempunyai beberapa orang kakitangan di Geneva yang banyak membantu menyelesaikan urusan kami ketika berada di PBB.

Mewakili GMI, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada penyumbang dana terbesar misi ke Geneva ini terdiri daripada Harakah, kerajaan Pakatan Rakyat Kelantan dan Pulau Pinang, KeADILan, Kumpulan Usrah Profesional dan JIM di atas bantuan mereka.

Semoga segala bantuan ini akan dikira sebagai satu amalan mulia, solidariti dan sokongan kepada GMI dalam usaha membebaskan Malaysia daripada akta zalim ISA.

-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-

-Oleh : Norlaila Othman-


Himpunan Mansuhkan ISA
dilancarkan

2 Julai 2009

KELANA JAYA, - Himpunan Mansuhkan Akta ISA telah dilancarkan kelmarin dalam satu majlis ringkas dan bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 1 Ogos ini.

Majlis tersebut diadakan di Himpunan Perdana Perpaduan 100,000 Pakatan Rakyat yang diadakan di Stadium MBPJ di sini.

Menurut Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh yang bersyukur kerana diberi peluang oleh kerajaan Pakatan Rakyat untuk melancarkan himpunan besar-besaran ini.

"Ini telah saranan oleh kerajaan Pakatan Rakyat iaitu sekiranya mereka mengambil alih pemerintahan daripada kerajaan sekarang dengan segera ISA akan dimansuhkan," katanya dalam ucapan pelancaran itu

Katanya, umur ISA akan genap 49 tahun pada 1 Ogos, umur ini hampir kepada umur pencen awal. Tetapi kita tidak mahu ianya pencen awal sahaja, bahkan kita mahu ianya pencen wajib serta patut dihapuskan untuk selama-lamanya.

Kerana menurutnya, akta ini telah mencemari keluhuran undang-undang dan menjadi undang-undang rimba, ia juga telah mencemari kedaulatan undang-undang, kemurnian agama dan telah mencemari hak kebebasan.

"ISA juga telah merencatkan daya fikir kita, merencatkan fitrah manusia yang bebas dan ISA bercanggah dengan semua agama.

"Ini adalah perkara-perkara asas, walaupun ada usaha untuk mengkaji semula ISA. Walaupun ada usaha-usaha untuk membebaskan tahanan ISA dan kini hanya tinggal 12 orang.

"Tetapi kita tidak boleh leka dan juga tidak boleh putus asa, sehingga kita lihat tidak ada seorang pun yang akan ditahan di bawah tahanan ISA kerana ia adalah satu kezaliman yang besar.

"Jadi pada malam saya menyeru dan mengajak semua pihak di seluruh negara dari Perlis sampai ke Sabah, daripada gurun hingga ke lembah, daripada desa hingga ke bandar raya kita turun pada 1 Ogos 2009 di Kuala Lumpur untuk menyampaikan satu mesej yang jelas dan lantang dengan tiga tuntutan," katanya.

Tuntutan tersebut ialah iaitu, mansuhkan ISA, bebaskan semua tahanan dan tutup Kem Kamunting dan mendapat sokongan salah sebuah parti di Sabah iaitu Parti Bersatu Rakyat Sabah telah pun menyatakan sokongan mereka supaya ISA dimansuhkan.

Majlis pelancaran itu dimulakan dengan pemakaian selendang merah hitam yang menjadi lambang perlancaran Himpunan Mansuhkan ISA kepada pemimpian tertinggi Pakatan Rakyat dan perlepasan dua ekor merpati putih sebagai tanda kebebasan.

-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-

-Oleh : Muhammad Arif Ismail-


ISA: Bukan pinda tetapi
wajar dimansuhkan!

27 Jun 2009

KUALA LUMPUR, - Janji Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak sebaik sahaja mengambil alih pentadbiran negara untuk meminda Akta ISA, bagaimanapun parti KeADILan sekali-kali tidak akan menerima akta itu jika tiada pindaan yang menyeluruh.

Menteri Dalam Negeri, Dato' Hishamuddin Hussien Onn menegaskan di dalam Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa Akta ISA akan dipinda dalam masa terdekat ini.

Bagaimanapun,Naib Presiden KeADILan, R. Sivarasa berkata, sudah tiba masanya kerajaan membawa sistem perundangan dan kehakiman negara ke tahap yang lebih matang seperti yang diamalkan negara-negara lain.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Subang menegaskan pendirian Pakatan Rakyat terhadap akta zalim itu adalah jelas bahawa akta itu melanggar prinsip hak asasi dan nilai agama .

"Kerajaan tidak patut pinda akta ini tetapi ia wajar dimansuhkan sahaja. Tidak payah bincang lagi dan nak kaji semula atau seksyen mana yang perlu dipinda,"katanya ketika ditemui di parlimen.

Beliau juga meminta kerajaan melihat negara jiran seperti Indonesia yang turut mempunyai pengganas bagaimanapun mereka sanggup dihadapkan ke mahkamah terbuka sehingga dibuktikan bersalah.

"Apabila ada bukti orang itu memang ada perancangan membuat ganas misalnya mahu meletupkkan bom, jadi mereka telah buktikan itu, macamana kita tidak boleh buat macam ini?

"Kenapa polis kita tidak boleh siasat? Kenapa institusi kehakiman kita tidak boleh menjalankan keadilan? Sebagaimana jiran kita Indonesia dan tak payah kita pergi jauh tengok contoh terdekat sahaja iaitu Indonesia,"katanya.

-Dipetik Dari HarakahDaily.Net-

-Oleh : Salmiyah Harun-


GMI lancar demo
anti-ISA 1 Ogos

JUN 2009

KUALA LUMPUR

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) hari ini secara rasmi mengumumkan perhimpunan besar-besaran mendesak pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), 1 Ogos ini.




Pelancaran Mansuhkan ISA oleh GMI





Sajak oleh:
Tuan Hj Mohamad Sabu

16 Mei 2009


I.S.A

Kamilah hakim
Kamilah peguam
Kamilah saksi-saksi
Kami penentu masa depan kamu.

Kamulah yang tahu kenapa kamu di sini
Kamu yang mencari tempat ini
Kamu yang memilih untuk ke sini
Kamu suka tempat ini
Kamu menentukan cara hidup kamu.

Kami tidak menyuruh kamu ke sini
Kami tidak suka kamu ke sini
Kami tidak penjarakan kamu
Kenapa kamu penjarakan diri sendiri.

Tak sayangkah kamu kepada anak-anak?
Tak sayangkah kamu kepada emak ayah?
Tak sayangkah kamu kepada isteri?
Kamu menganiaya mereka!
Kamu menganiaya mereka!

Kawan-kawan kamu baik
Kawan-kawan kamu menolong kamu
Kawan-kawan kamu menghantar isteri kamu ke sana ke mari
Kawan-kawan kamu khidmat pada kamu
Kamu percaya pada kawan-kawan kamu?

Tahukah kamu betapa banyak telah berlaku?
Kawan-kawan curang kepada kawan?
betapa banyak isteri pejuang dikhianati kawan?
berapa banyak isteri pejuang memohon cerai?
berapa banyak isteri pejuang melaku curang?

Kamu menentukan ibu kamu derita
Kamu penyebab ayahmu derita
Kamu penyebab anak-anakmu menderita
Kamu penyebab isterimu derita
Kamu penyebab jika isterimu berlaku curang.

Cari jalan keluar dari sini
Kamulah menentukan nak keluar atau terus di sini
Kamu nak keluar besok?
Kamu nak keluar minggu depan?
Kamu nak keluar bulan depan?
Kamu nak keluar tahun hadapan?
Kamu nak keluar 10 tahun lagi?
Kamu yang menentukan!
Saudara......, cari lah jalan keluar!
Kamu menentukan masa depan kamu....

Kamu di sini kerana kamu!
Kamu mementingkan diri!
Kamu nak naik!
Kamu nak terkenal!v Kamu nak pandangan kamu didengar!
Kamu nak kamu dijulang!
Kamu nak nama terbilang!
Kami apa peduli!
Kami jaga keamanan....
Kerana kamu, ucapan kamu, hasutan kamu
Nyawa orang lain terancam
Harta orang lain terancam
Keselamatan orang lain terancam

Kami tak kira menteri
Kami tak kira datok
Kami tak kira Anwar
Kami tak kira Karpal
Kami tak kira Tok Guru
Kami jaga keamanan...
Kami jaga keselamatan

Pintu untuk keluar ada
Pintu untuk taubat ada
Pintu untuk penyesalan ada
Pintu untuk kepangkal jalan ada
Kamulah penentu untuk memilih pintu
Pintu untuk keluar dari sini kamu tentukan

Nak menjadi hero?
Nak menjadi pejuang?
Nak kepada sanjungan?
Nak pertahan pendapat kamu?
Kamulah memilih berapa lama di sini!


(Oleh Hj Mohamad Sabu) * 16Mei 2009

* Sajak ini dikarang sendiri dan dideklamasikan oleh Tuan Hj Mohamad Sabu di Markaz Tarbiyyah Taman Melewar pada 16 Mei 2009 (Majlis Jamuan Makan & Pengumpulan Dana Utk Mangsa ISA)

*Ia ditujukan buat semua rakyat buat yang belum kenal, nak mengenal dan telah mengenal ISA, yang belum dan yang telah masuk atau keluar dari ISA itu sendiri.

*Untuk makluman akta ISA itu, dalam dunia ini hanya 3 buah negeri yang masih mengekalkannya iaitu Malaysia, Singapura dan Israel......yang lain semua dah buang dan tutup buku. (Kem Guantanamo bukan seperti ISA....ia tidak dijalankan di Amerika kerana undang-undang Amerika tidak membenarkan penangkapan tanpa melalui mahkamah, sebab itu Kem Guantanamo adalah arahan Amerika tetapi dijalankan di luar negara itu (negara lain menjadi baruahnya).