Assalamualaikum, Salam Sejahtera & Selamat Datang

Profail : Haji Mohamad Sabu

Tuan Hj Mohamad Sabu, atau lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu di kalangan rakan-rakan yang rapat, satu nama yang popular dalam arena politik tanahair, dan dia mempunyai keistimewaan sendiri di kalangan peminat politik. Beliau seorang tokoh yang sederhana, hidupnya sederhana, sikapnya sederhana, dan profil politiknya juga sederhana.

Beliau dilahirkan pada 14 Oktober 1954 di Tasek Gelugor, Pulau Pinang dan bersekolah di Pulau Pinang sebelum menyambung pelajaran jurusan pemakanan di ITM. Beliau merupakan seorang ahli politik yang kental dan berpengalaman, pernah menjawat jawatan sebagai Naib Ketua Pemuda dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, AJK PAS Pusat, Naib Presiden dan juga jawatan terakhir sebagai Timbalan Presiden PAS.

Beliau aktif bersama ABIM bermula 1975, sebelum menyertai PAS pada 1981. Dia menyertai PAS setelah PAS kalah di Kelantan tahun 1978. Waktu itu, PAS berada dalam keadaan yang sangat lemah. Waktu PAS dalam keadaan yang lemah itulah, Mat Sabu menyertai PAS. Dia bukan menyertai PAS ketika PAS kuat. Dia menyertai PAS setelah PAS baru saja hilang kuasa kerajaan negeri di Kelantan. Dia mempunya visi untuk menguatkan PAS dan mengembalikan PAS ke arus perdana politik tanahair.

Beliau bertanding dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1982 di Dun Penanti dan Parlimen Kepala Batas, tetapi tewas. Sekali lagi tewas kepada rakan ABIM nya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen Permatang Pauh dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1986.

Hj Mohamad Sabu pernah menjadi Ahli Parlimen selama 3 penggal, bermula di Nilam Puri, Kelantan (P22) dari tahun 1990 sehingga 1995. Kemudian di Kubang Kerian, Kelantan (P24) dari tahun 1995 sehingga 1999, dan di Kuala Kedah,Kedah (P010) pada tahun 1999 sehingga 2004.

Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2004 beliau kalah di parlimen Kuala Kedah,Kedah (P010), dalam pada ketika Barisan Alternatif mengalami keretakan dan kemudiannya tewas lagi di Kuala Terengganu, Terengganu (P036) dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 kepada Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail. Pada Pilihan Raya Umum Malaysia 2013 beliau telah kalah sekali lagi kepada calon Barisan Nasional di kerusi Parlimen Pendang, Kedah (P011). Kekalahan atau kemenangan tidak menjadi penghalang atau alasan, beliau untuk terus aktif dalam bidang politik.

Hj Mohamad Sabu merupakan salah seorang daripada pemimpin parti politik yang telah dua kali ditahan di bawah akta ISA semasa beliau menjadi aktivis Dewan Pemuda PAS Pusat. Penahanan pertama berlaku pada tahun 1984 sehingga 1986 di atas tuduhan terlibat dalam gerakan pelampau. Selepas menghadapi penderaan siasatan selama 60 hari, beliau telah dibuang daerah ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan dengan pergerakan terhad selama dua tahun.

Penahanan kali kedua berlaku pada tahun 1987 sehingga tahun 1989. Beliau ditahan bersama ramai anggota pembangkang dari PAS dan DAP di bawah Operasi Lalang. Semasa dalam tahanan beliau berkenalan dengan YAB Lim Guan Eng kini menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Bagi Hj Mohamad Sabu ketegangan politik Malaysia ketika itu berpunca dari kemarakan api perkauman di antara MCA yang melibatkan Tan Sri Lee Kim Sai dan Pemuda UMNO yang melibatkan Datuk Seri Najib Razak kini adalah Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhammad Mohd Taib, Menteri Besar Selangor ketika itu berhubung isu tuntutan Timbalan Perdana Menteri yang dimainkan oleh MCA.

Penyertaan beliau di dalam politik dibuat bukan kepalang. Merengkok dalam ISA dan dibuang daerah, ditangkap puluhan kali dan didakwa atas pelbagai tuduhan serta mengalami kecederaan semasa demonstrasi (kakinya dilanggar oleh kenderaan pihak berkuasa)ketika demontrasi BERSIH 2.0.

Perhimpunan BERSIH 1.0 yang berlangsung pada 10 November 2007, beliau merupakan Pengerusi Gerakan Mobilisasi dan Demokrasi dan Komander Himpunan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH). Kemudiannya memimpin BERSIH 2.0, BERSIH 3.0, Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR), Himpunan Tolak GST dan banyak lagi.

Itulah sikap beliau, ketika masih dalam ABIM, beliau berikan 100% komitmen pada ABIM. Ketika beliau bersama PAS, dia berikan seluruh hidupnya dan kesetiaannya kepada perjuangan PAS. Dia bukan jenis manusia mencari kepentingan. Bukan jenis manusia kepalang tanggung. Dia tidak pandai berpura-pura. Ibarat kata Datuk Zaid Ibrahim, "In Mat Sabu, what you see is what you get. There is nothing artificial about him". Dalam kata lain, dia punya sosok peribadi yang "transparen".

Pada 21 Ogos 2011 semasa satu ceramah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Hj Mohamad Sabu mengeluarkan satu kenyataan kontroversi dengan mengatakan Muhammad Indera semasa Peristiwa Bukit Kepong 1950 yang selayaknya digelar "hero negara" dan bukannya anggota polis di bawah British ketika itu yang berjuang mempertahankan balai polis Bukit Kepong, Ini adalah kerana kesemua anggota polis semasa serangan tersebut sebagai "pegawai British" manakala askar di bawah pimpinan Mat Indera pula dianggap "hero negara sebenar" memandangkan mereka "menentang British". Walau bagaimanapun, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menafikan segala tuduhan tersebut serta mempertahankan kenyataan dan dakwaan Mohamad Sabu atas alasan sama pada ketika itu.

Pada 20 September 2011, pagar rumahnya di Shah Alam disimbah dengan minyak tanah dan dibakar. Pada 21 September 2011, beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Butterworth kerana memburukkan imej polis dan keluarga mereka dalam ceramah di Padang Menora pada 21 Ogos 2011.Peguam Mohamed Hanipa Maidin menyatakan HjMohamad Sabu dibebaskan dengan jaminan RM15,000 sehingga hari perbicaraan.Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjarakan sehingga dua tahun, atau didenda atau kedua-duanya sekali. Keputusan mahkamah pada 8 Julai 2015 telah membebaskan Hj Mohamad Sabu dengan keputusan tiada prima facie.

Krisis dalaman PAS membawa titik baru dalam hidupnya. Beliau sering menekankan tentang kepentingan "Manhaj Muwajjahah Silmiyyah", iaitu menentang keganasan, menentang sekterianisma, menentang ta'sub buta, menentang kepura-puraan atas nama agama, menentang rasuah, tentang peri pentingnya amanah, ketelusan, dan urus tadbir yang baik.

Beliau berkata dalam satu taklimatnya, "dalam ruang demokrasi kita perlu berjuang dengan tangan kosong (tanpa senjata). Ini sangat penting. Apabila kita mula pegang senjata, kita hilang legitimasi dalam perjuangan kita". Beliau mahu Islam dibawa ke dalam masyarakat secara inklusif, progresif dan penuh kepedulian terhadap derita rakyat.

Tetapi, idealisma ini semakin terpinggir dalam parti yang dianggotainya selama beberapa dekad. Bukan sahaja idealisma ini terpinggir, malah tokoh-tokoh pimpinan parti yang bersama membawa dan menyokong idealisma ini juga tersisih, digugurkan secara "en-bloc".

Hj Mohamad Sabu mengaku dia tidak pandai bergaduh dan bertengkar sesama rakan dalam parti yang sama. Baginya, kalau dirinya dan idealisma yang diyakini sudah tidak ada tempat lagi dalam parti yang dianggotainya maka jalan penyelesaian terbaik ialah membuka wadah baru untuk memastikan mesej "Islam Rahmatan Lil Aalamin" dalam bentuknya yang amanah, progresif, peduli dan inklusif terus dapat di bawa ke dalam masyarakat. Ini adalah pilihan paling jujur yang beliau boleh lakukan. Pasti ada kebaikan dan keburukan ke atas pilihan ini. Tapi, manusia mesti membuat pilihan bila tiba masanya untuk membuat pilihan. Manusia yang jujur akan membuat pilihan yang jujur, walaupun amat sukar.

Kecaman demi kecaman ke atas beliau tidak beliau pedulikan. Pelbagai provokasi dibuat. Beliau langsung tidak menjawab kecaman tersebut. Beliau sangat fokus untuk memposisi wadah baru ini dalam arus perdana politik tanahair. Dia mahu idealisma yang selama ini diperjuangkan terus dapat dikembangkan.

Pada 16 September 2015, secara rasminya Parti Amanah Negara (AMANAH) telah dilancarkan dan beliau telah dilantik menjadi Presidennya, serta pimpinan yang terkeluar dari Parti PAS telah bersamanya untuk merealisasikan halatuju VISI dan MISI mereka.

Allah Maha Adil. Manusia seperti beliau ini ada penolong-penolongnya yang sanggup sama-sama membantu beliau disaat susah mahupun senang. Beliau tidak menjadi manusia terbuang begitu saja. Beliau dikutip dan digilap untuk terus bercahaya. Permata kecil ini masih ada nilainya untuk kita dan masih ada peranannya untuk agama dan negara. Dia telah membuktikan dirinya adalah pejuang yang teguh dengan prinsip dan sanggup berhadapan dengan apa jua cabaran untuk mengangkat apa yang diyakininya dan tidak takut menempuh jalan sukar.

 

Sidebar Menu



Link Lain :

  • No1
    Akan menyusul...
  • No2
    Akan menyusul...
  • No3
    Akan menyusul...
  • No4
    Akan menyusul...
  • No5
    Akan menyusul...
  • No6
    Akan menyusul...

Image Gallery

Contact Info

Phone: +603-62421511
Address: Wisma Amanah Negara
Unit No. 73-1, Tingkat 1,
Jalan Seri Utara 1, Seri Utara Off Jalan Ipoh,
68100 Kuala Lumpur,
Malaysia.
E-mail: mohamad@mohamadsabu.com
Mail Box

Sumbangan Anda...

Sumbangan anda untuk bina Malaysia yang lebih baik, boleh disalurkan kepada:

Maybank

564294309586

Parti Amanah Negara

Sebarang makluman transaksi ke akaun ini, sila emelkan ke: kewangan@amanah.org.my


Flag Counter

IP Address
Unique Hits