Membedah Demokrasi...

BEBASKAN POLIS
DARI TEKANAN POLITIK

Sept 2009

KUALA LUMPUR, - Akta Polis yang diguna pakai untuk meluluskan, melarang dan mengawal perhimpunan awam perlu dikaji semula. Selagi Akta Polis digunakan untuk mengawal perhimpunan awam, ianya bila-bila masa boleh disalah guna oleh pihak polis dan pihak yang berkuasa. Slogan 'cekap dan betul' akan bertukar menjadi 'brutal dan salah'.

Ketenteraman awam memang menjadi kewajipan bagi anggota polis dan rakyat yang bertanggungjawab untuk memastikan keamanan negara seterusnya memberi keamanan kepada rakyat. Sudah puluhan kes dakwaan himpunan haram yang dibawa oleh pihak polis ke mahkamah berakhir dengan pembebasan kepada yang dituduh. Fasal 10 Perlembagaan Malaysia memang menjamin kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

Kes himpunan membantah keracunan Anwar Ibrahim sudah 10 tahun berlaku dan belum pun selesai. Begitu juga beberapa himpunan reformasi selepas 1998 belum pun di peringkat permulaan perbicaraan. Oleh itu, secara serius ahli-ahli Parlimen khasnya dari BN dan kerajaan supaya terus mencadang supaya Akta Polis berhubung hal perhimpunan awam dikaji semula.

Saya sendiri menghadapi perbicaraan hampir enam tahun di Mahkamah Sesyen Jelebu, kerana dituduh menghadapi himpunan haram di halaman rumah berpagar seorang ahli PAS. Mahkamah Tinggi Seremban kemudian mengisytiharkan bahawa kawasan "private" (persendirian) dan berpagar pula, yakni bukanlah tempat awam dan ia tidak memerlukan permit polis.

Banyak lagi kes-kes seperti saya lalui dalam perbicaraan di mahkamah-mahkamah seluruh Malaysia, salah guna kuasa polis dan layanan yang berlainan pihak polis terhadap himpunan awam dapat dilihat dan dirasai.

Memang kita lalui ada tekanan politik dari pihak pemerintah (Kementerian Dalam Negeri) kepada Ketua-ketua Polis Daerah (OCPD). Pihak polis kadangkala "tidak boleh buat apa-apa" selagi Akta Polis berhubung hal perhimpunan awam itu ada dan tidak dipinda.

Apabila ada cadangan supaya UiTM dibuka kepada bukan Melayu oleh Menteri Besar Selangor, maka timbul kemarahan beberapa pihak khasnya di kalangan pemimpin dan ahli Umno termasuk yang menerajui UiTM sekarang ini. Para pelajar dihasut supaya berdemontrasi di hadapan Bangunan SUK, Shah Alam yang menempatkan pejabat Menteri Besar.

Pelajar UiTM diangkut keluar kampus untuk berdemo. Pihak media kerajaan khasnya Utusan Malaysia dan RTM memainkan peranan memberi publisiti terhadap demontrasi tersebut. Pihak polis tidak membuat apa-apa tindakan sama ada membuat sekatan untuk menyusahkan peserta demontrasi.

Tidak juga memberi amaran supaya bersurai, tidak merampas sepanduk-sepanduk, tidak melepaskan gas pemedih mata dan langsung tidak ada penangkapan atau pendakwaan. Tindakan polis seperti itu amat dialu-alukan. Himpunan pelajar UiTM dan orang ramai berjalan dalam keadaan aman, apa perlu polis mengambil tindakan.

Berlainan tindakan polis terhadap perhimpunan BERSIH 10 November 2007. Setelah Perdana Menteri memberi amaran dalam Perhimpunan Agung Umno di PWTC, pihak polis mula menyekat para peserta untuk hadir ke perhimpunan dari Perlis hingga ke Johor.

Penangkapan dan arahan supaya patah balik dibuat di sepanjang lebuh raya. Ribuan anggota polis digunakan untuk menyekat dan menggagalkan perhimpunan. Bahkan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dihalang daripada berhenti di stesyen-stesyen tertentu di ibu kota dan perkhidmatan komuter menuju ke Kuala Lumpur diperlahan dan dihentikan perkhidmatannya buat beberapa jam!

Di tempat perhimpunan pula, orang ramai dihujani dengan asid dan gas pemedih mata diikuti dengan penangkapan dan pendakwaan di mahkamah. Alangkah baiknya jika pihak polis dapat mengawal perhimpunan ini seperti perhimpunan pelajar UiTM dan orang ramai di hadapan SUK Shah Alam.

Himpunan bantah ISA pada 1 Ogos lalu dilayan lebih dahsyat dan buruk dari himpunan BERSIH. Penangkapan lebih 500 orang bermula sejak 11 pagi, tangkapan rambang tanpa mengira hak asasi seseorang untuk berada di tepi jalan, di kedai kopi atau di stesen bas dan stesen teksi.

Paling akhir, himpunan mengarak kepala lembu yang didalangi Umno membuktikan bahawa pihak polis tidak bebas bertindak bertindak. Saya penuh yakin pihak polis (khususnya OCPD Shah Alam) amat tertekan apabila yang menganjur 'himpunan haram' itu adalah kumpulan pro-Umno atau pro-kerajaan BN. Tambahan pula himpunan itu didalangi seorang bertaraf menteri dan bekas menteri besar. Membenar atau melarang himpunan terletak di tangan OCPD, oleh itu mereka merasa amat tertekan.

Sewajibnya Akta Polis berkait hal himpunan awam dipinda khasnya tentang kuasa OCPD. Pihak polis sebaiknya mengawal himpunan di sudut perkara hasutan seperti menghina kaum lain, menghina mana-mana agama atau budaya. Barangkali bila himpunan aman diizinkan kepada rakyat, polis dapat menjalankan tugas dengan lebih adil dan dilihat adil.

Suasana kacau bilau dalam majlis dialog antara "kumpulan kepala lembu" dengan MB Selangor, Ahli Parlimen Shah Alam dan Exco Kerajaan Negeri Selangor berhubung cadangan memindahkan tapak kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 Shah Alam amat memeranjatkan kita.

"Kumpulan kepala lembu" ini menjadi semakin berani setelah dapat berjumpa Menteri Dalam Negeri dan mendapat pembelaan menteri terbabit. Kita tidak tahu kenapa mereka begitu berani. Apa jaminan diberi oleh Menteri Dalam Negeri kepada mereka, sehinggakan ada kejutan dari peserta dialog untuk merogol Exco wanita Melayu yang hadir. Berlaku pula dalam bulan Ramadhan di siang hari. Lebih dahsyat tiada pasukan keselamatan di tempat yang penuh dengan ketegangan itu.

Sudah tiba masanya pihak berkuasa membebaskan polis dari tekanan politik kepartian, biarlah mereka dapat bertindak adil, cekap dan betul - "without fear and favour".

Oleh : Hj Mohamad Sabu

Tulisan di HarakahDaily: 18-20 September 2009

Harakah Bil 1474 (Edisi Jumaat)