Mohamad Sabu terbang
ke Beirut
KUALA LUMPUR, Hrkh - Naib Presiden PAS, Hj Mohamad Sabu berucap dalam majlis ceramah di Kuala Terengganu bersempena kedua-dua kempen , iaitu pilihan raya kecil Kuala Terengganu dan kutipan derma untuk Palestin.
Beliau berucap menekankan masalah kutipan derma Palestin mesti disalurkan pada tempat yang betul, ini adalah kerana kerajaan Malaysia sendiri tidak mengiktiraf kemenangan Hamas yang menang dalam pilihan raya tempoh hari, sebaliknya kerajaan Malaysia menyokong dan mengiktiraf kumpulan Fatah yang dikepalai oleh Mahmud Abbas, di mana mereka adalah kumpulan yang tewas dalam pilihan raya yang telah dijalankan secara adil.
Ini termasuklah wakil Palestin yang menjadi duta di Malaysia adalah dari kumpulan Fatah. Sedangkan mereka ini juga adalah disokong dan dibantu oleh rejim yahudi itu sendiri.
Maka yang demikian , Hj Mohamad Sabu menyeru agar rakyat Malaysia yang mahu mendermakan kewangan dan bantuan kepada rakyat dan pejuang Palestin ini, melihat dan harus tahu saluran yang betul.
Semalam, pada 14 Jan beliau berceramah di Surau Al-Amin, Taman Tun Husin Onn dalam kuliah magribnya untuk melancarkan derma Palestin telah mendapat kutipan yang begitu menggalakkan , iaitu sebanyak RM21,000. Terima kasih kepada semua jemaah surau tersebut yang sanggup menyumbangkan derma.
Kemudian selepas waktu Isyak, Hj Mohamad Sabu terus bergegas ke Markaz Tarbiyyah di Taman Melewar, Gombak, untuk meneruskan siri ceramah dan kutipan dana untuk Palestin. Kutipan dalam ceramah tersebut berjaya mengutip lebih RM8000, hasil sumbangan orang ramai yang hadir. Terima kasih juga kepada semua jemaah yang sanggup menyumbangkan derma.
Selepas itu, Hj Mohamad Sabu terus bergerak ke KLIA jam 11.35 malam untuk berangkat ke Beirut , Lubnan. Penerbangan beliau pada pukul 2.20 pagi berseorangan sahaja. Beliau telah di jemput khas ke sana untuk hadir bersama semua Ahli-ahli Parlimen Negara-Negara Islam untuk persidangan Palestin tergempar di sana.
Segala kutipan derma siang tadi dan malam tadi, di bawa bersama untuk diserahkan kepada wakil HAMAS yang akan turut hadir dalam persidangan tersebut. Bak kata pepatah wang yang "masih hangat-hangat" di tangan tadi akan terus diberikan kepada wakil HAMAS untuk sumbangan saudara-saudara kita di Palestin. Bersamanya juga kutipan dari wakil-wakil yang telah disumbangkan sebelum itu dari Kedah , Kelantan, Selangor dan lain-lain , lebih RM150,000.
Semuga beliau selamat pergi dan pulang ke tanah air, dan membawa berita terkini kepada kita semua nanti. Kita doakan keselamatan dan kesihatan beliau, moga ALLAH memberkatinya.
Kepada saudara-saudara lain, selamat berjuang di Kuala Terengganu.
-Akhukum Fil-Islam-

