Menteri Luar suruh AS
bebas tahanan Guantanamo ,
Rais dikecam NGO
kerana double Standard ISA

Nov 2008

KUALA LUMPUR, - Tindakan Menteri Luar, Rais Yatim yang menggesa Washington membebaskan dua rakyat Malaysia yang masih ditahan di Kem Tahanan Guantanamo tetapi membiarkan tahanan ISA menderita di Kem Tahanan Kemunting (KEMTA) dikecam pertubuhan bukan kerajaan, NGO.

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menyelar tindakan Rais yang bersikap ‘double standard’ dan meminta menteri tersebut berhenti dari membuat kenyataan yang bersifat retorik dan hipokrit berhubung pendirian kerajaan.

Pada 18 Nov. lalu sebagaimana dilaporkan media, Rais berkata “Kerajaan berharap dua rakyat Malaysia (Mohamad Farik Amin dan Mohamed Nazir Lep) yang ditahan di Kem Guantanamo Bay dibebaskan dan saya telah menemui Barack Obama”.

Menurut Rais lagi “Tiada sebab untuk mereka ditahan di sana dan ini lebih teruk berbanding ISA”.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada 20 Nov. lalu, GMI mempertikaikan kenyataan Rais yang dimaksudkan dengan “lebih teruk berbanding ISA”.

Menurut GMI kekejaman dan kezaliman ISA sama tarafnya dengan kem Guantanamo kerana bertindak menahan mereka yang tidak bersalah dan tidak diberi hak pengadilan yang sewajarnya kepada mereka yang dianggap bersalah.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pimpinan Tertinggi Keadilan, Latheefa Koya, Rais seharusnya tidak melindungi fakta bahawa Malaysia dan Amerika mempunyai persefahaman yang erat berhubung tahanan ISA kerana menentang pengganas.

Menurut Latheefa ramai tahanan ISA yang diancam akan dihantar ke Kem Guantanamo dan tahanan di Kem Kemunting hanya bersifat sementara sebelum dihantar ke Kem Guantanamo.

“Kerjasama antara Malaysia dan Amerika berhubung isu pengganas sebenarnya banyak memberi manfaat kepada negara kuasa besar dunia itu kerana mereka mendapat kerjasama sepenuhnya dari kerajaan Malaysia” jelas Latheefa.

Katanya lagi, Kerajaan sekarang harus membuat pendirian dan membebaskan semua tahanan ISA yang menjadi mangsa kezaliman kerajaan kerana Amerika sendiri akan menutup kem di Guantanamo bay.

“Apakah alasan yang akan diberikan Rais dan kerajaan Malaysia berhubung tindakan Washington akan menutup kem di Guantanamo bay sedangkan kita masih lagi menahan ramai yang tidak berdosa di kem Kemunting” , katanya lagi.

- Oleh : Mat Zahari Ali -

- Dipetik Dari Suara Keadilan 26 Nov-3 Dis 2008 -