Harapan tamatkan
ISA di bahu Pakatan Rakyat
KUALA LUMPUR, Hrkh -Bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari menegaskan harapan untuk melakukan perubahan selepas negara dicengkam akta zalim iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kini terletak pada bahu Pakatan Rakyat.
Bercakap semasa sesi ulasan buku “Dua Wajah : Penahanan Tanpa Bicara” karya Dr Syed Husin Ali pada 9 November 2008 lalu, tokoh wartawan veteran itu berkata, akta tersebut perlu dimansuhkan segera. Ujarnya, pengharapan itu diletakkan berasaskan kepada komitmen Pakatan Rakyat untuk memansuhkan akta tersebut jika berjaya memerintah negara.
“Jika tidak dalam masa sekarang, saya harap ia berlaku pada pilihan raya umum akan datang. Ini hasrat rakyat yang kini mula menyatakan sokongan terhadap Pakatan Rakyat.” katanya.
Bagi Said, rakyat kini melihat lima negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat sebagai contoh ‘kebebasan bersuara’ dan ianya perlu berterusan sehingga Pakatan Rakyat berjaya memerintah negara sepenuhnya.
Beliau menjelaskan ISA dijadikan senjata oleh umno-BN sejak selepas merdeka bagi menyekat suara rakyat terutamanya pembangkang.
Malah akta tersebut jugalah yang menahan beliau selama 17 tahun, dan Dr Syed Husin Ali yang juga bekas Pensyarah Universiti Malaya selama enam tahun.
Kini rakyat menuntut akta itu dimansuhkan segera, walaupun kerajaan umno-BN mahu ianya hanya dikaji semula, katanya pada majlis itu.
Akta ini sebenarnya adalah senjata kerajaan dalam menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat, dan ianya telah diungkap dalam pengkisahan semula Dr Syed Husin Ali dalam bukunya yang diberi nafas baru, ujar Said Zahari.
Beliau seterusnya menyeru kelompok muda dan generasi pejuang agar menghayati penulisan Dr Syed Husin ini mengenai erti sebenar perjuangan.
Dalam majlis yang sama, Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar telah melancarkan empat buku tulisan Dr Syed Husin itu.
Salah satu dari buku tersebut diterbitkan oleh Unit Buku Harakah dan tiga lagi oleh Startegic Information Research Development Centre (SRID).
Buku-buku tersebut bertajuk “Orang Melayu: Masalah dan Masa Depannya” yang diulas oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sementara buku “Ethnic Relations in Malaysia : Harmony and Conflict” diulas oleh Dr Lim Teck Ghee.
Selain itu buku “Dua wajah : Tahanan Tanpa Bicara” yang juga diterbitkan dalam versi bahasa Inggeris “Two Faces : Detention Without Trial” diulas oleh bekas Pengarang Utusan Melayu dan tahanan ISA, Said Zahari.
Turut hadir dalam pelancaran tersebut, Presiden Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Adun Kajang, Dr Shafie Bakar, Adun Lenbah Jaya, Abu Kassim, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne, dan kira-kira 200 tetamu.
Unit buku Harakah pula diwakili oleh Editornya, Syed Putra Syed Ahmad yang turut memberi ucapan aluan mewakili Pengarah Urusan Harakah, Dato’ Kamarudin Jaafar yang tidak dapat hadir berikutan komitmen parti.
-Oleh : Wan Nordin Wan Yaacob-
-Dipetik Dari Harakah Edisi 1390 (14-16 Nov 2008)-

