Dun Perak Lulus
Usul Mansuh ISA
KUALA LUMPUR, Hrkh -Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak sekali lagi melakarkan sejarah apabila usul memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diluluskan oleh dewan setelah berlaku perbahasan ‘panas’ antara wakil kerajaan dan pembangkang pada hari terakhir persidangan.
Usul yang dibawa Adun Teja, Chang Li Kang itu berbunyi: “Bahawa Dewan ini menetap dan mengecam sekeras-kerasnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membenarkan penahanan tanpa bicara. Dewan ini mendesak Kerajaan Pusat membebaskan semua tahanan ISA, menutup Kem Tahanan Kemunting dan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang zalim dan tidak demokratik”.
Dua anggota Dun bangun membahaskan usul ini iaitu wakil Canning, Wong Kah Woh yang mewakili kerajaan manakala wakil Pengkalan Hulu, Dato’ Seri Tajol Rosli Gazali bagi pihak pembangkang.
Selesainya Tajol mengemukakan hujah menolak usul tersebut, seorang demi seorang anggota pembangkang bertindak meninggalkan dewan.
Wakil Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim kemudian bangun mencelah mengecam tindakan wakil pembangkang yang meninggalkan dewan.
“Ini adalah bukti kukuh pembangkang tidak sanggup mendengar hujah yang membuktikan ISA hendaklah segera dimansuhkan”, ujarnya.
Ketika menggulung perbahasan, Mohammad Nizar menegaskan bahawa ISA perlu dimansuhkan kerana ia adalah undang-undang zalim yang bertentangan dengan Islam.
Dewan kemudiannya mengundi dengan cara bersuara menyokong usul tersebut.
- Dipetik Dari Harakah (Bil 1392 : 21-23 Nov 2008).-

