GMI bantah tahanan
dibawa ke lokap polis

Nov 2008

KUALA LUMPUR, - Gerakan Mansuhkan ISA meminta polis dan kerajaan memberi penjelasan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), peguam dan keluarga mangsa tahanan ISA berhubung tindakan polis membawa semua tahanan ISA ke lokap polis Kuala Lumpur (PRC) pada 15 Nov. lalu.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada 20 Nov. lalu, GMI berkata kesemua tahanan itu, Dr Abdullah Daud, Suhaimi Mokhtar, Yazid Sufaat, Mat Sah Mohd Satray, Abdul Murad Sudin dan Zaini Zakaria telah dibawa ke Bukit Aman dari kem Kemunting tanpa sebab-sebab yang jelas.

Menurut salah seorang ahli keluarga tahanan, suami beliau akan menjalani tiga proses pemulihan yang melibatkan kaunseling, kelas agama dan ujian bercakap benar dengan menggunakan mesin poligraf.

Sehubungan itu GMI melahirkan rasa kesal dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta kerajaan yang dibimbangi akan melakukan penderaan mental dan fizikal ke atas tahanan.

Berdasarkan beberapa pengalaman bekas tahanan ISA, lokasi tahanan di lokap Bukit Aman adalah lokasi di mana soal siasat yang dilakukan ketika tahanan mula ditahan.

Ketika ditahan di lokap, tahanan juga akan menjalani beberapa sesi termasuk penderaan mental dan fizikal bertujuan untuk mendapatkan maklumat.

Kenyataan GMI tersebut menyebut bahawa kesemua mereka yang dibawa ke Bukit Aman adalah tahanan yang paling lama ditahan iaitu antara 6 hingga 7 tahun.

Tindakan ini dilihat agak berbeza kerana tahanan yang dibawa ke lokap tersebut akan menjalani sesi sebagaimana mereka baru ditangkap.

Ini membayangkan pihak polis dan KDN tidak professional dalam menangani tahanan yang telah lama ditahan sebagaimana dilakukan pada 15 Nov. lalu.

GMI turut mengutuk tindakan pihak berkuasa kerana sepatutnya semua tahanan tersebut diberi peluang membela diri atau dibicarakan memandangkan ada yang lebih 7 tahun telah menjalani tahanan bukannya menambahkan lagi penderaan ke atas mereka.

Dalam pada itu GMI juga turut mendesak supaya polis dan kerajaan memberi penjelasan berhubung tindakan membawa semua tahanan ISA untuk dikurung di Bukit Aman.

Selain itu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini juga menggesa Suhakam perlu membuat lawatan segera bagi melawat semua tahanan terlibat bagi memastikan tahanan tersebut berada dalam keadaan baik, sihat dan tidak mengalami kecederaan akibat penderaan mental dan fizikal.

Pihak Kem Kemunting juga seharusnya memberi makluman kepada keluarga mangsa berhubung tindakan membawa keluar tahanan dari Kemunting ke Kuala Lumpur bagi memastikan keluarga mangsa tidak khuatir atau bimbang dengan keselamatan tahanan.

- Dipetik Dari Suara Keadilan 26 Nov-3 Dis 2008 -