Ayah Pin bukan
lagi ancaman?

Dis. 2008

KUALA LUMPUR, - Semasa PAS memerintah negeri Terengganu (1999-2004), Ariffin Mohammad atau Ayah Pin adalah ancaman kepada akidah umat Islam di negeri ini. Dek kerana dia merupakan ancaman kepada aqidah, kerajaan PAS menangkap dan membicarakan serta menjatuhi hukuman enam bulan penjara ke atasnya, bertujuan untuk memberi peluang kepadanya bertaubat.

Akan tetapi lain pula jadinya setelah dia dibebaskan dari penjara, dia bukan sahaja tidak mahu bertaubat, malah semakin kuat mempraktiskan ajaran sesatnya yang disebut sebagai ‘kerajaan langit’.

Setelah kerajaan PAS ditumbangkan dalam pilihan raya umum ke 11 (2004), adakah pusat kegiatan ajaran sesat ‘kerajaan langit’ di Batu 13, Jalan Hulu Besut semakin cantik dan besar serta bertambah ramai pengikutnya?

Lama juga pusat kegiatan ajaran sesat itu dibiarkan bebas beroperasi oleh kerajaan BN pada ketika ianya diterajui Dato’ Idris Jusoh.

Pendek kata, Ayah Pin boleh bebas mengamalkan ajaran sesat dengan begitu aman tanpa sebarang gangguan pihak pemerintah. Mungkin disifatkan oleh kerajaan Terengganu (2004-2008) tidak mendatangkan sebarang ancaman kepada kerajaan negeri, sebaliknya mendapat habuan politik.

Lama-kelamaan ada sebahagian orang Besut sangat tidak berkenan dengan layanan itu, maka timbullah rasa tidak puas hati sebahagian penduduk Besut terhadap pusat kegiatan ajaran sesat itu lalu dibakar.

Beberapa penduduk Besut yang terbabit dengan pembakaran pusat ajaran sesat itu ditahan reman selama beberapa hari untuk membantu siasatan kerana melakukan jenayah yang boleh membahayakan nyawa manusia.

Ketua ajaran sesat itu dicadang supaya ditangkap, tetapi malangnya pihak berkuasa tidak berjaya menahan Ayah Pin dengan alas an, dia lari dikatakan tiada di dalam negeri dan beberapa orang pengikutnya sahaja yang ditahan.

Baru-baru ini, dia pulang semula ke Besut dikatakan akan meneruskan semula ajaran sesat ‘kerajaan langit’ itu. Tapi malangnya ‘Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri’, Muhamad Ramli Nuh menyifatkan bahawa ajaran sesat Ayah Pin bukan lagi ancaman. Katanya ajaran sesat Ayah Pin sudah lumpuh.

Kita hairan dengan kenyataan Ramli yang juga Adun Tepuh mengatakan ajaran sesat itu sudah lumpuh, sedangkan pusat penyebaran ajaran sesat itu dikatakan mula beroperasi semula.

Seorang bekas pensyarah Institut Pengurusan di Besut menghubungi penulis mengatakan memang ajaran sesat itu bukan ancaman kerana seramai 9000 orang di Besut yang menjadi ahli umno menjadi pengikut Ayah Pin.

Cuba bayangkan seramai 9000 ahli umno yang menjadi pengikut Ayah Pin ditangkap atau diambil tindakan undang-undang, sudah tentu ada beberapa kerusi Dun milik umno akan tewas dalam pilihan raya umu nanti. Sekiranya apa yang dicakap oleh bekas pensyarah itu suatu reality, maka seramai pengikut Ayah Pin itu ada asset yang tersangat penting bagi umno Besut khususnya dan Terengganu amnya.

Atas sebab itulah Ramli berani berkata ajaran sesat yang disebarkan oleh Ariffin itu bukan ancaman lagi kini, sedangkan hakikat sebenarnya tidak demikian. Ini dapat kita lihat dengan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Dauk Seri Syed Hamid Albar, sebagai berkata, kementerian dalam negeri tunggu arahan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) untuk membuat sesuatu terhadap Ayah Pin.

Menurut kennyataan itu, sah ajaran sesat itu tetap merbahaya dan mengancam aqidah umat Islam di Terengganu. Macam mana Ramli boleh berkata yang ajaran sesat ‘kerajaan langit’ sudah lumpuh dan tidak mengancam aqidah umat Islam?

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, ketika bercakap di Putrajaya berkata: ‘Kita tidak boleh ambil tindakan ke atas ketua ajaran sesat ‘kerajaan langit’ di Terengganu, kerana itu bukan bidang kuasa polis dan polis boleh bertindak jika mendapat arahan’.

Ini menggambarkan kepada kita bahawa ajaran sesat yang disebarkan oleh Ariffin mengancam aqidah umat Islam di Negara ini dan sepatutnya dikenakan tindakan undang-undang.

-Ditulis Oleh: Abdullah Ngah-

-Dipetik Dari SIASAH Bil 0125 (30Nov-6Dis2008)-