Mat Sabu 'orang luar'
ditolak di Kuala Terengganu?

Dis. 6, 2008

KUALA TERENGGANU , Cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahukan Mohamad Sabu terus dikekalkan sebagai calon dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari depan ditolak oleh Dewan Pemuda Pas Negeri atas alasan beliau adalah 'orang luar.'

Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri, Azman Shapawi Abdul Rani berkata, pihaknya menolak cadangan tersebut kerana negeri itu tidak ketandusan pemimpin sebaliknya mempunyai ramai calon muda yang berketerampilan.

Beliau menambah, Pas negeri mengenal pasti beberapa calon yang mempunyai kredibiliti tersendiri dalam memikul tugas dan tanggungjawab yang bakal diserahkan.

Katanya, calon yang dikenal pasti adalah anak tempatan, berumur awal 40-an, berkelulusan doktor falsafah (Ph.D), tidak pernah bertanding dalam pilihan raya serta mampu memikul tanggungjawab jika diberi peluang.

''Saya menganggap kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahukan Mohamad Sabu terus dikekalkan sebagai calon adalah keputusan peribadi tetapi keputusan kita adalah keputusan bersama," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Bagaimanapun, katanya walau apa pun yang berlaku, Pemuda tetap menerima sebarang calon jika ia adalah keputusan kepimpinan Pas negeri dan Pusat.

Beliau mengulas kenyataan akhbar Nik Aziz semalam yang berharap parti itu terus mengekalkan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu sebagai calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Nik Aziz yakin Naib Presiden Pas itu mampu membawa kemenangan kepada parti selain menyatakan tertariknya dengan kewibawaan dan keperibadian Mohamad yang begitu lantang menyuarakan sebarang isu secara jujur dan ikhlas.

Mengulas lanjut, Azman Shapawi berkata, pihaknya membuat cadangan itu berdasarkan analisis yang dilakukan pada pilihan raya umum lalu hampir keseluruhan calon luar yang bertanding di negeri ini memperolehi jumlah undi yang tidak memberangsangkan.

Katanya, Dewan Pemuda Pas mahu cadangannya diterima iaitu golongan muda dari negeri ini dipilih bukannya dari negeri lain.

''Terengganu tidak ketandusan pemimpin terutama golongan muda dan jika orang luar dicalonkan apa jadi dengan anak tempatan sendiri.

''Ketengahkan anak tempatan yang berwibawa, beri mereka peluang kerana mereka ini akan jadi pelapis bagi menggantikan pemimpin peringkat negeri yang ada sekarang," katanya.

-Dipetik Dari Utusan Online-