Nekad Bertanding
Semula: Tok Mun
Pejuang Sejati?
KUALA TERENGGANU , Pilihan Raya Umum ke-12 bukan sahaja membawa sejarah apabila 5 buah negeri terlepas ke tangan pembangkang termasuk Wilayah Persekutuan tetapi ia memberi memori yang berguna untuk masa akan datang apabila seorang wanita yang bernama Maimun Yusof , 89, bertanding dalam pilihan raya di kawasan parlimen Kuala Terengganu (P36) sebagai calon bebas menentang Mohd Sabu (PAS) dan Datuk Razali Ismail (BN) seterusnya menjadi calon tertua dalam sejarah pilihan raya Malaysia.
Beliau bertanding atas sebab tidak sehaluan dengan aliran perjuangan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional serta mendakwa perjuangan mereka tidak betul atau menyimpang dari pada landasan sebenar. Tetapi malangnya beliau bukan sahaja tidak mendapat sambutan malahan hilang wang pertaruhan dengan mendapat 685 undi berbanding Mohd Sabu, 31934 undi dan Datuk Razali Ismail 32562 undi. Begitu banyak tohmahan yang beliau terima seperti orang tua yang nyanyuk dan banyak lagi. Lebih mengejutkan apabila beliau menyatakan hasrat untuk bertanding semula dalam Pilihan Raya Kecil yang bakal diadakan tetapi dengan syarat ada pihak yang mahu menaja wang deposit berjumlah RM10,000 bagi melayakkan dirinya bertanding sebagai calon pilihan raya kecil itu. Maimun yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mun berkata, beliau masih menyimpan hasrat untuk bertanding, namun tidak mempunyai wang berkenaan untuk berbuat demikian.
‘‘Tok berminat lagi bertanding, tapi tok tak ada pitih (wang) dah. Banyak pitih tok habis masa bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu. Sekarang ini pun, tok tak ada pendapatan tetap untuk sara diri tok. Tok hanya meniaga kain secara kecil-kecilan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Jalan Pasir Panjang di sini hari ini. (Utusan Malaysia, 1 Disember 2008).
Apakah semangat berjuang yang ada dalam diri Tok Mun kesan daripada kata-kata keramat Tun Dr. Mahathir,"Sesungguhnya Perjuangan itu belum selesai"?. Sekiranya ya, mengapa pada ketika usia muda beliau tidak berbuat demikian?. Jika beliau mahu berjuang apakah yang ingin beliau perjuangkan?. Berikut merupakan pandangan saya berkenaan diri Tok Mun yang kononnya ingin berjuang.
1. Tok Mun mahu menjadi Ahli Parlimen (MP) kerana beliau melihat PR dan BN tidak mampu lagi memperjuangkan kepentingan negara mengikut landasan yang sebenar. Jika ia benar, mengapa beliau tidak menceburkan diri dalam politik pada peringkat awal lagi?. Tindakan beliau tidak ubah seperti sudah terhantuk baru terngadah malahan sesudah tsunami berlaku barulah beliau tahu rupanya air boleh memusnahkan daratan dan beliau yang selama ini tidur lena dibuai mimpi indah baru terjaga daripada tidur.
2. Apakah seorang pejuang tidak memerlukan 'modal peribadi' untuk berjuang dan hanya bergantung kepada 'ehsan luaran'?. Beliau mahu menjadi pejuang tetapi malangnya diri sendiri pun tidak mampu mencapai apa yang sepatutnya beliau akan 'sumbangkan' kepada masyarakat. Beliau sepatutnya 'cermin diri' terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk bertanding dalam Pilihan Raya.
3. Dari sudut positif, tindakan Tok Mun tersebut menunjukkan bahawa siapa sahaja mempunyai hak untuk terlibat dalam apa jua bidang terutamanya politik malahan ia juga boleh disifatkan sebagai penyubur demokrasi. Maka ia membuka minda kepada ramai orang agar memberi perhatian betapa pentingnya perjuangan cuma cara beliau 'kurang betul' kerana ia dilihat sebagai ketinggalan zaman. Rakyat pada masa kini memerlukan pemimpin yang 'up to date' bukannya yang boleh disifatkan sebagai 'kuno'. Jika Tengku Razaleigh yang mempunyai pengalaman hebat dalam politik tidak dapat diterima oleh ahli-ahli UMNO untuk menjadi pemimpin mereka, bagaimana dengan Tok Mun yang boleh disifatkan tidak mempunyai apa-apa.
4. Sekiranya Tok Mun mempunyai nasib yang ajaib iaitu menang dalam pilihan raya tersebut, apakah beliau mampu membawa perubahan?. Pada pilihan raya yang ke-11 ada calon bebas (P186, Chong Hon Min) yang menang dalam pilihan raya sebagai Ahli Parlimen namun beliau tidak dapat membawa apa-apa perubahan kepada rakyat. Calon bebas tidak mempunyai jentera/parti apatah lagi boleh menjadi Perdana Menteri. Sekiranya seseorang ingin berjuang, semua aspek harus diteliti bukannya menjadi 'bidan terjun' dalam perjuangan.
Oleh itu tidak hairanlah sekiranya banyak tohmahan yang Tok Mun hadapi kerana tindakan beliau memang tidak dapat diterima oleh rakyat dan perkembangan zaman tidak mengizinkan beliau berbuat demikian. Bagi saya, jumlah undi sebanyak 685 itu adalah kerana belas kasihan rakyat terhadap jerih payah beliau berkempen dengan menjual kain dan berbasikal (bukan menghina tetapi kenyataan) bukannya disebabkan beliau layak menjadi MP.
Saya bukannya ingin menghalang Tok Mun untuk tidak bertanding tetapi biarlah beliau membuat keputusan yang rasional kerana wang taruhan sebanyak RM 10,000 bukannya suatu jumlah yang sedikit. Adalah lebih afdal sekiranya jumlah sebanyak itu didermakan kepada rumah kebajikan orang tua dan anak yatim bukannya disia-siakan hanya kerana ingin mencapai matlamat yang memang kelihatan tidak akan kesampaian. (Tok Mun ibarat Anti virus zaman 90-an yang tidak serasi dengan komputer masa kini, walaupun 'installed' dalam komputer tetapi ia tidak mempunyai sebarang erti malahan membawa kerosakan besar kepada komputer masa kini).
Catatan: Semoga rakyat Kuala Terengganu, P036 dapat memilih wakil rakyat yang dapat membawa aspirasi perjuangan mereka. Selamat menempuhi perang pilihan raya.
-Dipetik Tranungkite.Net, Oleh: Ajeem-
