Pemuda PAS gerakkan
kempen demontrasi
100,000 rakyat

Nov 2008

KUALA LUMPUR, Hrkh - Dewan Pemuda PAS Pusat akan menggerakkan kempen secara besar-besaran bersama-sama Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) bagi mendesak kerajaan menghapuskan akta kejam, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pada 23 Nov ini.

Kempen yang akan diadakan di Dataran MPAJ itu dijangka bagi menghimpun ‘kira-kira 100,000 orang pada Mac 2009, sebagai acara kemuncak kepada kempen berkenaan’.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hasan, kempen tersebut sebagai usaha meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat, selain menunjukkan komitmen rakyat yang tidak mahukan kezaliman tersebut.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan dewan itu, di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, 15 November lalu.

Dalam sidang media itu juga, beliau turut memberitahu himpunan tersebut akan melibatkan NGO-NGO dan pimpinan Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu, Pemuda PAS akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung pembatalan MoU antara kolej-kolej agama negeri dengan Universiti Al-Azhar.

“Pembatalan MoU ini menyebabkan lebih daripada 18 kolej dan pusat pengajian tidak dapat menghantar pelajar untuk menyambung pelajaran mereka ke sana.

Sehubungan itu, Pemuda PAS akan menghantar memorandum kepada Abdullah supaya campurtangan dalam isu pembatalan MoU tersebut pada 20 November 2008.

- Dipetik Dari Harakah (Bil 1392 : 21-23 Nov 2008) -