Membedah Demokrasi (14 Jan 2014):

Tafsir Ayat : Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh? # (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing). # Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu. # Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka berbagai paluan azab;

(Surah Al-Fajr ; Ayat 10-13)

Pengajaran daripada Al-Quran tentang sifat thagut, melampui batas, bermaharajalela, melakukan kerosakan di atas muka bumi, dan di atas keterlaluan, kekejaman, kezaliman, penindasan, maka Allah azabkan sesuatu kaum, sesuatu pemerintah di suatu tempat itu yang dikisahkan di dalam Al-Quran terlalu banyak. Kisah-kisah dan pengajaran yang diperolehi daripada sejarah yang silam.

Ciri-ciri kejatuhan sesebuah kerajaan atau empayar adalah serupa sahaja samada metodologi, sebab musabab kejatuhan sesebuah kerajaan.

Kita berbangga dengan pembinaan tembok besar negeri China, tetapi untuk menyiapkan tembok besar itu, berlaku sistem perhambaan dan penindasan terhadap para pekerja oleh maharaja-maharaja China yang menguasai pemerintahan pada masa atau waktu itu.

Untuk menyiapkan piramid, ataupun binaan-binaan yang begitu kukuh, sudah tentulah melalui sistem perhambaan, kerahan tenaga yang digunakan oleh Maharaja Firaun untuk menunjukkan kebesarannya, kehebatannya dengan menindas rakyat dan menghabiskan harta rakyat untuk membina kemegahan pemerintahan Firaun.

Ciri-ciri kejatuhan kerajaan Rom, ciri-ciri kejatuhan kerajaan Uthmaniyah Turki, ciri-ciri kejatuhan kerajaan Islam Moghul di India, jikalau dilihat daripada sudut sejarah, ianya adalah sama, iaitu apabila pemerintah melakukan segala bentuk kezaliman, pembaziran, menunjuk-nunjuk kehebatan menguasai pembangunan dan membina mahligai-mahligai pemerintahan. Maka rakyat telah hilang daya juang untuk mempertahankan pemerintah, apabila diserang daripada dalam atau diserang daripada luar.

Apabila khalifah atau sultan asyik membina kekuatan termasuk mempamirkan kemegahan, meletakkan batu-batu permata yang begitu mahal di tengkolok mereka, juga meletakkan batu-batu permata hiasan di pedang-pedang kebesaran mereka, membina istana-istana yang begitu hebat, memiliki isteri-isteri dan hamba-hamba yang diletakkan di dalam “harem”. Semua kemewahan itu, kehebatan itu, semuanya ada dipamerkan dalam muzium istana topkapi di Turki.

Lihat pula kehebatan Taj Mahal, kehebatan Red Fort di New Delhi, kehebatan istana Humayun di Delhi, semuanya itu menggambarkan kehebatan pemerintahan Moghul dari sudut kebendaan, tetapi apabila kemewahan melampaui, penindasan kepada rakyat berleluasa. Yang “pelik bin ajaib” nya, ada pula ulamak yang menyokong pemerintahan yang zalim, membazir dan boros itu.

Maka akhirnya pemerintah tidak disukai oleh rakyat. Bila mana ada serangan daripada dalam atau luar, rakyat merasakan tidak perlu untuk mempertahankan pemerintahan. Maka jatuhlah sesebuah kerajaan itu seperti yang berlaku terhadap kerajaan Moghul, kerajaan Uthmaniyah di Turki.

Kamal Attartuk bukanlah seorang tokoh yang begitu hebat, tetapi beliau telah disokong oleh rakyat kerana kebencian orang awam terhadap pemerintah. Termasuk sebahagian daripada ulama ataupun mufti yang menyokong pemerintah yang zalim, yang membazir dan yang menekan rakyat.

Ini berlaku juga dalam pemerintahan di Eropah Timur dan Eropah Barat, di mana kemuncak pemerintahan oleh Czar-czar, Raja-raja terhadap rakyat mereka. Di waktu itulah ada paderi-paderi yang menyokong pemerintahan yang zalim dan jahat itu. Akhirnya rakyat bangun membenci golongan agama, paderi Kristian, dan sekaligus membenci agama mereka itu sendiri.

Sehinggalah lahirlah fahaman komunis, suatu fahaman yang tidak meletakkan agama sebagai satu matlamat, tetapi gerakan-gerakan sosial mengatasi segala-galanya. Dan ianya menjadi popular di negara-negara Eropah Timur dan Eropah Barat sehinggakan mereka menjadi “etheist” dan tidak mahu lagi mempercayai mana-mana agama.

Ketika ikan bawal kari dijual oleh mamak di restoran india dengan harga RM7 seketul, nasi putih RM2 sepinggan, maka makan tengahari melebihi RM10, begitulah juga untuk makan malam. Penderitaan yang amat sangat dilalui oleh rakyat Malaysia sekarang ini, terutamanya kaum buruh, kaum tani, kaum marhain, dengan upah yang tidak meningkat.

Manakala peningkatan harga barang yang begitu mendadak berleluasa, akibat daripada pemdorosan, rasuah, ketirisan, yang mana ianya telah direkodkan oleh Jabatan Audit Negara pada setiap tahun. Bagaimana wang negara telah dihabiskan dengan sebegitu rupa, mengakibatkan penderitaan rakyat begitu ketara sekali sekarang ini.

Di saat ini pula, ada mufti yang berani mengatakan bahawa menentang pemerintah seperti itu adalah “bughoh”. Kita bimbang, jikalau rakyat bangun menentang mufti tidak ada masalah, tetapi yang kita bimbangi ialah rakyat menjadi benci kepada golongan agama dan seterusnya membenci agama. Inilah yang sangat membimbangkan kita seperti yang berlaku di negara-negara Eropah Barat dan Eropah Timur.

Membenci sesorang mufti atau individu atau orang tertentu dari golongan agama itu, tidaklah menjadi masalah, tetapi yang kita tidak mahu ialah jangan sampai ke peringkat orang ramai atau rakyat membenci ISLAM dan membenci golongan agama secara menyeluruh.

Di mana ini akan membawa akibat buruk, terlalu susah dan sukar untuk hendak diperbetulkan semula, seperti apa yang berlaku di Turki dan di India, yang mengambil masa sudah ratusan tahun, bahkan di Turki ianya telah mengambil masa lebih seratus tahun, belum lagi pulih keyakinan orang ramai kepada agama ISLAM sebagai “Ad-dhin”, ISLAM sebagai cara hidup dan ISLAM sebagai cara penyelesaian, akibat daripada kesilapan yang telah dilakukan terutama oleh golongan pemerintah dan golongan agama yang menyokong pemerintahan yang zalim, yang boros, yang kasar dan menindas.

Inilah peringatan daripada saya, tentang apa yang berlaku ini supaya sejarah yang digambarkan di dalam Al-Quran tidak berulang kepada pemerintah yang ada sekarang ini atau kepada pemerintah yang akan datang.

Sepatutnya kangkong ditukar pada minyak baru kita nampak cerdik

Melayu mudah lupa…..
Kita sedar atau tidak..?..
PM kita memperbodohkan kita…
Dulu buat belanjawan antara barangan yg tak kena cukai pewarna rambut….
Belanjawan selepas itu antaranya belacan tak kena cukai…
Hari ini buat kenyataan harga kangkung sudah turun dan menyeru rakyat agar bersyukur…Saya berpendapat PM kita tak ada isu atau tidak ada modal nak tepis masaalah kenaikan harga barang,rakyat 52% memberontak atas kenaikan harga barang secara serentak kebetulan atau memang dirancang selepas pilihanraya.Kangkung turun harga atau naik harga ia tidak ada nilai sebenarnya kenaikanya tidak ada hubung kait barangan lain kalau dibandingkan dengan harga minyak atau letrik
Minyak turun rakyat makmur …minyak naik semua barangan akan naik ,rakyat sensara…

Tidak patut sama sekali  PM orang No.1 berucap atas pentas yang kos pentas itu sendiri ratusan ribu ringgit …didepan ribuan manusia .. depan  puluhan  media…kangkong menjadi contoh atau hujah naik turunnya harga barang….

Kalau pakcik-pakcik Felda…Makcik-makcik Felda bersembang di warong kopi atau diberanda jiran itu ada logiknya dan memang itu tarafnya…

Kita sebenarnya masih lagi mencari-cari  kepimpinan Negara yang cerdik,telus,amanah dan tidak memperbodohkan rakyatnya…..

Tapi bila masanya ???

# Dipetik dari Harakahdaily.net

K’jaan didesak tutup terus Kem Kamunting

Kem tahanan Kamunting di Perak telah menyaksikan puluhan individu dikurung di situ, termasuk aktivis dan ahli politik.

Tetapi walaupun selepas membebaskan kumpulan terakhir tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hujung minggu lalu, kerajaan enggan untuk menutup kem tersebut.

Marah dengan langkah itu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menggesa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menutup terus kem tersebut.

“Jika kerajaan ikhlas tentang transformasi politik, kem Kamunting, yang merupakan simbol kekejaman ISA, mesti ditutup,” kata pemimpin GMI, Syed Ibrahim Syed Noh.

Beliau menjawab kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Kem Kamunting kini akan menjadi pusat tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan pindaan Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Akta Dadah Berbahaya 1985.

Sejak ISA secara rasmi berakhir 17 bulan lalu, 45 tahanan dibebaskan secara berperingkat dan kumpulan enam tahanan terakhir dibebaskan Ahad lalu, selepas mereka menjalani tahanan selama dua tahun penuh tanpa bicara.

Bagaimanapun, Syed Ibrahim menyifatkannya sebagai satu  kemenangan “pahit-manis” bagi GMI, yang telah berjuang menentang ISA selama 13 tahun.

Katanya, pembebasan enam tahanan itu pada 5 Januari lalu
menggambarkan sikap angkuh kerajaan yang enggan membebaskan mereka lebih awal walaupun di bawah tekanan rakyat.

Beliau memberitahu pemberita bahawa ia juga dalam bidang kuasa menteri dalam negeri untuk membenarkannya.

Walaupun ditubuhkan pada 2001 semasa era reformasi, menurut GMI, perjuangan untuk memansuhkan ISA bermula pada 1989, apabila NGO Suaram mula memperjuangkan hak tahanan politik selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengejutkan negara dengan “Ops Lalang” pada 1987.

Walaupun gabungan 80 NGO itu mungkin membubarkan GMI, tetapi pergerakan baru untuk menentang “undang-undang zalim yang baru” dijangka muncul.

Sementara itu, pasangan bekas tahanan ISA yang bekerja untuk GMI juga berkata keluarga mereka masih berjuang untuk membebaskan diri daripada bayangan menjadi bekas tahanan.

Norlaila Othman ( kiri), yang suaminya ditahan dari 2002 hingga 2009, berkata bebas daripada Kamunting tidak sama dengan bebas daripada pemantauan Kementerian Dalam Negeri.

Beliau memberi contoh bagaimana pergerakan suaminya sentiasa dipantau dan bagaimana sukarnya untuk mengekalkan pekerjaan apabila majikan mendapat tahu tentang sejarah ISA beliau.

Norlaila mendakwa salah seorang daripada enam tahanan ISA yang dibebaskan hanya beberapa hari lalu, Nazri Dollah, telah didatangi polis.

Dipetik Dari MalaysiaKini.Com

Oleh : Lawrence Yong

Runtuhnya Kaabah di akhir zaman

Banyak riwayat yang menguatkan tentang akan runtuhnya Kaabah di akhir zaman. Diriwayatkan dari Abu Hurairah radhiallahu’anhu bahawa Rasulullah shallallahu’alaihi wa sallam bersabda: “Kaabah akan diruntuhkan oleh seorang yang berkaki bengkok berbangsa Habsyah”.

Diriwayatkan dari Ali bin Abi Talib ra, bahawa Rasulullah shallallahu’alaihi wa sallam bersabda: “Perbanyaklah melakukan thawaf di Baitullah semampu kalian sebelum kalian dihalangi untuk melakukannya, seolah-olah aku melihatnya sedang melakukan hal tersebut. Tanda-tandanya: berkepala dan bertelinga kecil, dia menghancurkan Kaabah dengan beliungnya”.

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas radhiallahu’anhu bahawa Rasulullah shallallahu’alaihi wa sallam bersabda, “Tandanya orang tersebut berkulit hitam, kakinya bengkok, dia meruntuhkan batu dinding Kaabah satu per satu”.

Diriwayatkan daripada Sa’id bin Sam’an ra, bahawa dia mendengar Abu Hurairah radhiallahu’anhu bercerita kepada Abu Qatadah ra, bahawa sesungguhnya Rasulullah shallallahu’alaihi wa sallam bersabda: “Seorang lelaki (Imam Mahdi) akan dibai’at di antara sudut (tempat Hajar Aswad) dan Maqam Ibrahim dan Kaabah tidak akan dirosakkan kehormatannya melainkan oleh orang Arab sendiri, dan bila mereka telah merosakkan kehormatan Kaabah, maka itulah saatnya kehancuran bangsa Arab, kemudian datang orang-orang Habasyah meruntuhkan Kaabah yang selepas itu tidak pernah dibina kembali selama-lamanya dan merekalah yang menggali harta yang terpendam di dalamnya”.

Hadis di atas tidak bertentangan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah ra, bahawa Nabi shallallahu’alaihi wa sallam bersabda: “Sebuah pasukan hendak menyerang Kaabah, hingga ketika mereka berada di sebuah padang pasir, semua pasukan ditenggelamkan Allah Subhanahu wa Ta’ala ke dalam bumi”.

Ibnu Hajar dalam bukunya “Fath al-Bari” dalam bab: runtuhnya Kaabah, berkata: “Hadis-hadis di atas menjelaskan akan berlakunya serangan terhadap Kaabah. Penyerang pertama dimusnahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sebelum mereka sampai ke Kaabah dan penyerangan kedua dibiarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala, sepertinya penyerang yang dimusnahkan berlaku lebih awal.”

Dan jangan sampai timbul pertanyaan: Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menggagalkan serangan tentera bergajah terhadap Kaabah padahal saat itu Kaabah belum menjadi kiblatnya umat Islam, maka mana mungkin Allah Subhanahu wa Ta’ala membiarkan bangsa Habasyah memusnahkan setelah Kaabah menjadi kiblatnya umat Islam?

Soalan ini tidak akan muncul andai dijelaskan bahawa peristiwa runtuhnya Kaabah akan berlaku nanti di akhir zaman menjelang kiamat. Di waktu itu tidak ada seorang pun di permukaan bumi yang mengucapkan, “Allah! Allah”, seperti yang disebutkan dalam sahih Muslim: “Kiamat tidak akan terjadi hingga tidak ada lagi orang yang mengucapkan, “Allah ! Allah.” [ Sumber: Sejarah Kota Mekah oleh Syaikh Syaifurrahman Mubarakfury]

* Diterjemahkan oleh Detik Islam dari sumber islampos.com

Dipetik Dari HarakahDaily.Net

Oleh : Detik Islam

Kos sara hidup naik, ulama harus santuni resah rakyat

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berpendapat bahawa adalah sangat penting para ulama berperanan menjernihkan keadaan ketika umat menghadapi kemusykilan isu kenaikan kos sara hidup dan pelbagai kemelut hidup akibat kepincangan urustadbir pemerintah.

“Di kala umat sangat mengharapkan kefahaman dan keprihatinan dari pemerintah dan apabila umat hilang arah untuk menyalurkan aduan agar masalah mereka didengari, ulama adalah tempat umat mengharap dan mengadu,” ujar Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Katanya, rakyat mengharapkan ulama menegur umara supaya tidak terus mengenepikan keresahan rakyat.

Beliau berkata, untuk mendakwa penyaluran maklumat mengenai isu kos sara hidup kepada Perdana Menteri tidak diusahakan adalah tidak tepat.

Katanya lagi, suara rakyat, termasuk ahli akedmik dan pemimpin politik dari dalam dan luar kerajaan yang dikumpul dan disiar dalam media sepatutnya sudah cukup untuk PM memberi respons yang wajar terhadap keresahan rakyat.

Tambahnya, tidak timbul isu mahu menggulingkan kerajaan kerana rakyat hanya menuntut agar kos sara hidupkan diturunkan.

Menurut Azmi, sudah banyak pengajaran dari negara-negara di seluruh dunia apabila rakyat bangkit kerana pemerintah tidak telus dalam membuat keputusan dan akhirnya menambah beban rakyat.

Lagipun, ujar beliau perkataan mengguling kerajaan telahpun dinafikan oleh pihak yang penganjur perhimpunan dan siasatan telahpun dijalankan oleh pihak polis.

“Ternyata yang menjadi arahan polis ialah perhimpunan haram tidak boleh diadakan bukan soal hendak menggulingkan kerajaan.

“Jika tuduhan niat asal untuk menggulingkan kerajaan masih diungkit maka ia hanya persepsi yang perlu dibuktikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, perhimpunan Turun yang diadakan oleh pihak penganjur jelas bermakna mendesak pihak kerajaan menurunkan kos sara hidup bukan menggulingkan kerajaan.

Tegasnya, pilihan menubuh atau menukar kerajaan melalui pendekatan demokrasi masih menjadi pilihan rakyat.

“Rakyat sudah biasa dengan terlibat beramai-ramai dalam perhimpunan yang tidak dibenar oleh pihak keselamatan namun tidak berlaku usaha penggulingan kerajaan seperti yang diwar-warkan.

“Kerap ditegaskan bahawa perhimpunan yang hendak diadakan adalah perhimpunan aman,” ujarnya.

Namun, kata beliau jika ada pihak yang mahu mengambil kesempatan untuk melakukan provokasi ganas dengan bertindak liar atau membawa senjata maka ia harus disiasat dan bukan terus didakwa ia bukti pihak penganjur mahu melakukan kekerasan.

Oleh yang demikian, kata Mohd Azmi adalah tidak wajar ulama bersikap simplistik dengan membuat rumusan dari maklumat yang tidak tepat dengan hanya bersandar kepada media lalu mengeluarkan pandangan yang boleh mengelirukan umat dan menegangkan suasana.

“Kami sangat mengharapkan ulama dan pemimpin politik menyantuni resah rakyat agar penyelesaian yang lebih bermakna dapat dicapai dan supaya mengelakkan emosi saling mencabar dan menuding berterusan,” katanya lagi.

Dipetik Dari HarakahDaily.Net

Insiden serbuan persatuan Bible tidak harus berlaku

KUALA LUMPUR: Insiden serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap Persatuan Bible Malaysia (PBM) baru-baru tidak seharusnya berlaku kerana ia boleh mengeruhkan keadaan perpaduan antara kaum dan agama, kata pengerusi Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) Tan Sri Samsudin Osman.

Katanya MKPN percaya isu membabitkan sensitiviti agama Islam yang hangat diperdebatkan ketika ini boleh diselesaikan dengan kaedah perbincangan tanpa mencemarkan agenda perpaduan nasional.

“MKPN kesal dengan serbuan tersebut dan menggesa kerajaan supaya mematuhi resolusi penyelesaian 10 perkara yang dicapai bersama kumpulan-kumpulan Kristian di negara ini pada April 2011,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pertama MKPN di sini semalam.

Penubuhan MKPN diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Nov lalu, sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memastikan perpaduan kaum terus teguh.

Antara ahli MKPN yang hadir adalah Ahli Lembaga Pengarah Sisters in Islam (SiS) Datin Paduka Marina Mahathir, anggota Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohamed Maliki Mohamed Rapiee dan selebriti Wardina Safiyyah.

Samsudin berkata MKPN menggesa kerajaan supaya mematuhi resolusi penyelesaian 10 perkara yang dicapai bersama kumpulan-kumpulan Kristian di negara ini pada April 2011.

“Itu antara 10 penyelesaian daripada ahli-ahli MKPN dalam mesyuarat hari ini berhubung isu kalimah Allah, serbuan Jais dan demonstrasi aman di Selangor,” katanya sambil menambah usul penyelesaian ini akan dibawa ke pengetahuan kerajaan secepat mungkin.

Beliau berkata tindakan serbuan Jais itu jelas melanggar kandungan resolusi Penyelesaian 10 Perkara yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala pada 2011, yang mana Putrajaya akan mengizinkan pengimportan Alkitab dalam semua bahasa, termasuk terjemahan Bahasa Malaysia/Indonesia.

Samsudin berkata antara penyelesaian lain adalah pihaknya akan mengadakan perbincangan tertutup dengan pemimpin agama, pihak berkuasa dan kumpulan berkaitan secepat mungkin.

Pada insiden Khamis lepas, Jais menyerbu pejabat Persatuan Bible Malaysia (PBM) di Damansara Kim dan merampas 300 bible versi Bahasa Malaysia dan Iban sebagai usaha membanteras penggunaan kalimah Allah dalam kitab itu yang didakwa melanggar Enakmen 1988.

Samsudin berkata tugas MKPN ketika ini adalah mengadakan dialog perpaduan di seluruh negara bersama masyarakat bagi mendapatkan maklum balas tentang perpaduan negara sebelum dibentangkan kepada kerajaan dalam tempoh enam bulan.

“Sasaran kita adalah apa yang diharapkan kerajaan iaitu menyediakan rangka tindakan untuk perpaduan. Kita akan berusaha memenuhi apa yang diminta perdana menteri (sediakan laporan),” katanya. - Bernama

Dipetik Dari HarakahDaily.Net

Membedah Demokrasi (2 Jan 2014)

Apabila saya ikuti perkembangan di website, facebook, tweeter, akhbar-akhbar tabloid yang dipunyai oleh parti pemerintah dan sebahagian daripadanya dimiliki oleh parti yang tidak memerintah seperti akhbar Harakah, Keadilan, Roket, buletin-buletin daripada PSM, dan berbagai-bagai daripada siaraya yang dikeluarkan oleh berbagai pihak di Malaysia sekarang ini menyentuh hal inflasi dan kenaikan harga barang serta sara hidup.

Saya ingin tegaskan sekali lagi, nampaknya pemerintah berjaya memutar pemikiran rakyat untuk berbincang hal berkaitan kenaikan harga barang, kenaikan sara hidup, kenaikan kos perkhidmatan.

Rakyat terpengaruh dengan hujah-hujah pemerintah, yang berkaitan dengan kenaikan harga barang, kos perkhidmatan, kos sara hidup tidak dapat dielakkan. Oleh itu, saya ingin tegaskan sekali lagi, rakyat hendaklah dibawa untuk berbincang tentang punca yang berlaku berkaitan kenaikan harga barang, kenaikan kos sara hidup, kenaikan kos perkhidmatan.

Punca inilah yang cuba diselubungi atau ditutup oleh Umno dan Barisan Nasional, sebab mereka ingin lari daripada bertanggung jawab tentang keadaan suasana yang berlaku hal berkaitan kenaikan harga barang sekarang ini.

Punca utama negara Malaysia dan rakyatnya terpaksa memikul bebanan yang dahsyat, tidak lain dan tidak bukan adalah akibat daripada rasuah, ketirisan, nepotisma dan berbelanja dengan boros.

Ini adalah di antara perkara yang menyebabkan wang negara dibelanjakan secara tidak betul, di mana telah didedahkan berulang kali setiap tahun oleh Laporan Jabatan Audit Negara tentang bagaimana kerajaan berbelanja dengan wang rakyat.

Daripada skandal “mee maggi” sebungkus yang berharga lebih kurang 0.30 sen, telah dibeli oleh kerajaan pemerintah dengan harga lebih daripada RM2.00. Telah didedahkan juga bagaimana sebuah teropong di Jabatan Laut yang berharga di pasaran lebih kurang RM1900, kerajaan telah membeli dengan harga RM19,000. Telah didedahkan juga bagaimana sebuah komputer yang berharga RM4000, kerajaan Barisan Nasional telah membelinya dengan harga lebih RM40,000. Telah didedahkan juga bagaimana sebuah jam dinding yang berharga sekitar lebih kurang RM100, kerajaan telah membelinya dengan harga lebih RM3700.

Pendedahan, demi pendedahan…., demi pendedahan…, rakyat kurang mengambil perhatian soal rasuah dan dosa rasuah. Sebab itu di dalam Islam, meletakkan soal pemberi rasuah dan penerima rasuah tempatnya adalah di dalam neraka.

Alasan diberi oleh orang awam, di mana setengah-setengah Ustaz mengatakan biarlah mereka yang terlibat itu masuk neraka. Dan kita tidak ada kena mengena dengan mereka. Tetapi apa yang berlaku sekarang akibat rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, penyalahgunaan wang rakyat, maka orang ramailah yang memikul segala bentuk bebanan yang telah dilakukan oleh para perasuah dan para penyeleweng.

Ada beberapa orang anggota polis yang telah melakukan rasuah dan penyelewengan, akibatnya seluruh anggota polis sekarang menanggung beban kenaikan harga barang, kenaikan sara hidup, kenaikan harga pengurusan daripada bocornya wang negara.

Ada juga beberapa pegawai kerajaan telah melakukan rasuah dan penyelewengan, dan akhirnya seluruh pegawai kerajaan memikul bebanan akibat daripada wang negara yang telah dibelanjakan secara tidak betul, wang negara lesap dan hilang.

Ada orang-orang politik yang ikhlas bekerja, berjuang untuk membela rakyat, tetapi ada juga di antara orang-orang politik ini yang melakukan penyelewengan, berbelanja boros, rasuah, menyalah gunakan kuasa, dan akhirnya seluruh rakyat, samada mereka yang bekerja dengan kerajaan, swasta, atau rakyat awam telah menanggung beban akibat daripada rasuah dan penyelewengan ini.

Sebab itulah, soal rasuah dan soal penyelewengan, amatlah perlu diperangi. Saya berkeyakinan penuh di mana golongan agama di kalangan orang Islam, para ulama, amatlah berpengaruh dalam masyarakat. Apabila mereka bercakap hal Syiah, maka dalam masa lebih kurang satu tahun isu itu berkumandang dan menarik perhatian masyarakat. Saya yakin jikalau golongan agama ini, tumpu kepada hal rasuah, penyelewengan, ketirisan, salah guna kuasa, dalam masa tidak sampai satu tahun ataupun dua tahun fikiran rakyat akan berubah, akan melihat perbuatan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa itu amat jijik dan kotor sehingga boleh membawa kepada bankrapnya negara dan akhirnya rakyat yang menanggung penderitaan ini.

Oleh itu kita harap, apa yang sedang berlaku di Malaysia sekarang ini dengan kenaikan minyak, kenaikan harga elektrik, kenaikan harga tol, kenaikan harga gula dan pemotongan belanjawan pembangunan dan sebagainya, sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Salah satu langkah untuk membuat perubahan ini ialah di mana pilihan raya yang akan datang, rakyat wajib menukar pemerintah terutama di peringkat pusat (federal) biarlah parti lain, kumpulan lain mengambil alih pemerintahan, lalu menunjukkan cara pemerintahan dan persembahan mereka supaya negara ini diikhtiarkan untuk diselamatkan daripada “buaya darat” yang mengaut kekayaan tanpa belas kasihan, yang akhirnya orang awam dan rakyat menanggung derita.

Di tengah-tengah penderitaan rakyat ini, bayangkan timbul pula cerita iaitu anak Perdana Menteri dikatakan membeli rumah bernilai lebih daripada USD 30 juta di Amerika. Di tengah-tengah penderitaan ini, masih lagi isteri Perdana Menteri menggunakan jet eksekutif kerajaan untuk pergi ke luar negara. Di tengah-tengah penderitaan rakyat ini juga, kita lihat soal rasuah, nepotisma, ketirisan masih juga lagi berterusan.

Oleh itu, tiada jalan yang lain untuk menyelamatkan Malaysia, menyelamatkan ekonomi, menyelamatkan penderitaan rakyat, melainkan rakyat hendaklah bersedia untuk menukar pemerintah.

Lihatlah pula pemerintah baru, untuk menunjukkan prestasi pemerintahan mereka. Jikalau pemerintah baru ini pula melakukan kerja yang sama seperti yang telah dibuat oleh Barisan Nasional, maka pemerintah baru ini pula dihukum juga oleh rakyat.

Apabila rasuah dapat dikurangkan, ketirisan juga dapat dikurangkan, yakinlah bahawa yang akan mendapat kebahagiaan ialah rakyat jelata, rakyat awam.

Inilah seruan saya kepada seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan, benci kepada rasuah dan penyelewengan, benci kepada kekayaan yang dimiliki oleh orang-orang politik tanpa melalui gaji dan elaun yang sesuai.

Kerajaan menuju bankrap bukan kerana gaji menteri, bukan kerana elaun wakil rakyat, bukan kerana gaji pegawai kerajaan. Gaji menteri, elaun wakil rakyat DUN dan Parlimen, gaji pegawai kerajaan masih rendah, tetapi negara menuju bankrap kerana rasuah, tiris, nepotisma dan penyelewengan bukan kerana gaji wakil rakyat, kerana seperti laporan audit negara faktor ketirisan yang begitu nyata, pemborosan, salah guna wang rakyat, menggunakan wang untuk bahan politik. Inilah yang menjadikan negara menuju kebankrapan, soal rasuah, tiris, pembaziran, penyelewengan dan nepotisma.

Hentikan segala bentuk retorik kosong, letakkan rasuah, ketirisan, penyalah gunaan kuasa ialah satu dosa yang perlu kita perangi, yang perlu kita tamatkan pada masa yang terdekat ini.

PAS Pulau Pinang bentuk jawatankuasa 2013-2015

PULAU PINANG: PAS Negeri Pulau Pinang selesai melantik ahli jawatankuasa sesi 2013-2015 dalam mesyuarat yang diadakan semalam.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya 1, Ahli Dewan Undangan Negeri  (Adun) Permatang Pasir, Datuk Saleh Man (Timbalan Pesuruhjaya 2) manakala mantan Ketua Dewan Ulamak PAS negeri, Ustaz Soid Mohd Amin (Timbalan Pesuruhjaya 3).

Jawatan setiausaha diamanahkan kepada penolong setiausaha PAS negeri sesi lepas, Ustaz Hasbul Nizal Zakaria, Bendahari diamanahkan kepada Yang Dipertua PAS Bayan Baru, Iszuree Ibrahim, Ketua Penerangan diamanahkan kepada Rosidi Husein manakala Pengarah Jabatan Pilihanraya diserahkan kepada mantan Ketua Penerangan sesi lalu, Bukhori Ghazali.

Selain itu ahli jawatankuasa yang turut dilantik ialah Zulkifli Md Lazim, Zulkiply Ishak, Yusof Mohd Noor, Ahmad Jailani dan Fadhil Kemi.

Pesuruhjaya PAS negeri, Mohamad Sabu, dalam wawancara dengan Harakah baru-baru ini menyebut baginya yang penting ialah hubungan baik dengan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang.

Sebab itulah, beliau mengambil sikap menyatukan semua aliran pemikiran dalam PAS untuk bersatu tenaga memajukan PAS negeri.

Dipetik Dari HarakahDaily.net

Oleh: Mohd Sabri Said

2014 tahun ‘sengsara’ rakyat – Ahmad Irfan Hani

Selang dua hari lagi, tahun 2013 semakin melabuhkan tirainya namun ia bukanlah sesuatu yang mampu menggembirakan hati rakyat pelbagai lapisan. Rakyat seolah-olah dihantui oleh suatu episod yang ngeri yang bakal menjelma pada tahun 2014. Tidak cukup dengan pelbagai sekatan terhadap rakyat termasuklah yang terbaru, sekatan terhadap akhbar The Heat.

Kebebasan dan hak bersuara rakyat dihalang malah akan menahan sesiapa pun jika didapati bercanggah dengan suara kerajaan. Demokrasi di Malaysia makin lesu dek kerana kebebasan bersuara disekat! Suara rakyat hanyalah menghiasi di ruangan kedai makan namun itu juga dipantau ketat oleh kerajaan. Sungguh pun begitu, semua itu hanyalah satu segmen daripada hidup rakyat.

Selepas tirai 2013 dilabuhkan, rakyat akan berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin kronik. Ya, pada saat ini rakyat sudah pun terkesan dengan kuasa beli yang jatuh merudum ditambah lagi harga barang semakin meningkat. Baru-baru ini kerajaan mengisytiharkan untuk menarik subsidi sebanyak ataupun rasionalisasi subsidi sebanyak RM0.20 terhadap harga minyak.

Pada ketika itu rakyat sekali lagi menerima beban oleh kerana minyak merupakan antara barangan asas dalam kehidupan. Mahu ataupun tidak, rakyat terpaksa akur dan mengikut sahaja tindakan kerajaan. Bantahan demi bantahan telah dibuat namun hanya pelaburan yang sia-sia.

Tahun 2014 merupakan tahun sengsara bagi rakyat Malaysia. Inflasi ialah suatu kenaikan dalam tingkat harga umum barangan dan perkhidmatan. Kadar inflasi yang dijangkakan akan melonjak naik kepada 3.5% hingga 4% (Consumer Price Index). Kesan inflasi menyebabkan reducing purchasing power atau penurunan kuasa beli individu. Maknanya, setiap ringgit pendapatan akan mampu membeli sedikit barangan dan perkhidmatan berbanding sebelum ini.

Peningkatan kos sara hidup dirasai oleh setiap lapisan masyarakat. Namun ada yang memberi respons bahawa kerajaan tidak mampu menyekat kenaikan harga barang dalam keadaan ekonomi semasa sekarang. Saya mungkin boleh bersetuju dalam satu sudut tetapi isu yang di highlightkan oleh rakyat adalah soal cara perbelanjaan dan mengurus kewangan oleh kerajaan. Laporan Audit secara jelas menunjukkan tahap ketirisan, rasuah, keborosan, perbelanjaan secara berlebihan dan tidak cekap dalam mengurus kewangan negara.

Tun Dr Mahathir juga menyelar bahawa banyak yang dapat dijimatkan jika kerajaan serius bertindak berikutan Laporan Ketua Audit Negara mengenai ketirisan kerajaan.  Pendapatan negara meningkat dua kali anda dalam tempoh 10 tahun namun persoalannya di mana hasil itu pergi?

Mantan Perdana Menteri keempat mengatakan Putrajaya boleh meningkatkan pendapatan melalui pengurangan kos dan bukan melalui kenaikan harga barang keperluan. Beliau mengatakan kerajaan boleh menggunakan konsep cost down untuk mengurangkan pembaziran.

Menurut beliau lagi, “kerajaan biasanya melakukan pembaziran kerana tidak memikirkan pulangan dalam apa juga bentuk perbelanjaan. Jika kerajaan berhasrat mengurangkan kos urus tadbir, mereka boleh melakukannya.”

GST
Kalau ikut keadaan sekarang, kita dikenakan satu cukai yang dinamakan Sales and Services Tax (SST). Kerajaan mengenakan SST atau Cukai Jualan dan Perkhidmatan dengan kadar 10%. Namun menerusi bajet 2014, kerajaan Barisan Nasional mengumumkan akan menggantikan SST dengan Goods and Services Tax (GST) atau Cukai Barangan dan Perkhidmatan sebanyak 6% yang akan berkuat kuasa pada April 2015.

Apa itu GST?
GST ataupun dikenali juga VAT diperkenalkan oleh Maurice Laure di Perancis pada tahun 1954 yang merupakan negara pertama menggunakan sistem GST. Ia adalah cukai yang dikenakan bagi setiap urus niaga (sebarang pertukaran barang atau perkhidmatan di antara dua pihak atau lebih sama ada melibatkan pertukaran wang atau pun tidak).

GST dikenakan kepada semua barangan  dan perkhidmatan kecuali yang disebut oleh kerajaan. Sebagai contoh, kerajaan mengecualikan barang makanan asas seperti:

1. Beras, gula, garam, tepung, minyak masak, kacang dal, rempah ratus, ikan masin, cencaluk, budu dan belacan.

2. Bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik.

3. Perkhidmatan pengangkutan seperti perkhidmatan bas, kereta api, LRT, teksi, feri, bot, tol serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.

4. Jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan yang terpilih.

Dengan pelaksanaan GST, ia memberi kesan kepada 3 aspek utama iaitu skop, kos niaga dan inflasi. GST menghasilkan skop yang lebih besar berbanding dengan SST sehinggakan lebih banyak barangan dan perkhidmatan akan dikenakan cukai walaupun kadar yang dinyatakan lebih rendah. Dalam pada itu, ia juga memberi kesan langsung kepada kos niaga kerana pengilang terpaksa mengadakan invois baru dengan mengupah firma akauntan untuk merekod.

Tahukah bahawa peniaga memerlukan perbelanjaan sebanyak RM15,000 setahun untuk melaksanakan sistem GST? Apabila hampir semua barangan dan perkhidmatan dikenakan cukai  dan kos niaga meningkat, ia memberi kesan kepada peningkatan kadar inflasi dan harga sesuatu barang. Keadaan ini telah dibuktikan oleh negara-negara yang telah melaksanakan sistem GST.

Perbezaan di antara GST dan SST adalah GST dikenakan pada setiap peringkat manakala SST dikenakan hanya pada satu peringkat sahaja iaitu pengilang.

Kedua, GST dikenakan kepada setiap barangan dan perkhidmatan kecuali yang dinyatakan oleh kerajaan berbanding SST yang dikenakan terhadap barangan dan perkhidmatan yang dinyatakan oleh kerajaan.

Ketiga, kadar yang dikenakan terhadap GST ialah kadar standard iaitu 6% sebaliknya kadar yang dikenakan terhadap SST sebanyak 10%. Namun tidak dinafikan bahawa GST di antara  sistem cukai yang terbaik namun dengan keadaan ekonomi semasa di Malaysia sekarang, ia tidak sesuai. Rakyat bukan sahaja bangkang GST dilaksanakan tetapi juga dengan kadar awal ditetapkan sebanyak 6%.

TARIF ELEKTRIK
Tenaga Nasional Berhad (TNB) baru sahaja mengisytiharkan keuntungan sebanyak RM4.46 bilion dalam laporan kewangan berakhir 2013 yang mana keuntungannya semakin meningkat daripada RM4.41 bilion pada tahun sebelumnya.

Sungguh aneh dan pelik kenapa dalam masa TNB mengaut keuntungan billion ringgit namun dalam masa yang sama tarif elektrik dinaikkan. Kenapakah kerajaan membiarkan sebegitu rupa ataupun ada perjanjian lain yang terpaksa dituruti sehingga rakyat yang terpaksa menerima beban.

Namun, kerajaan menjawab bahawa kenaikan tarif elektrik ini tidak melibatkan 4.6 juta isi rumah kerana kenaikan tarif tidak memberi kesan kepada golongan domestik disebabkan penggunaannya rendah.

TOL
Desas-desus mengatakan harga tol diramalkan akan naik antara 30 sen sehingga RM1 dan sebanyak 13 tol yang terlibat dalam semakan semula kadar tol. Menurut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdul Wahib Omar mengesahkan kenaikan tol yang akan berlaku dalam tahun 2014 adalah disebabkan ia sebahagian daripada perjanjian konsesi yang dimeterai oleh kerajaan.

Terdapat tiga syarikat besar yang memegang konsesi lebuh raya seperti PLUS, Prolintas dan Gamuda. Plus dan Prolintas dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan manakala Gamuda merupakan syarikat swasta namun terdapat juga agensi-agensi kerajaan sebagai pemegang saham.

Sebahagian besar pemegang konsesi lebuh raya terdiri daripada anak-anak syarikat milik kerajaan persekutuan. Kerajaan sepatutnya ada hak untuk campur tangan dan berunding semula demi kemaslahatan rakyat.

HARAPAN RAKYAT
Rakyat sudah cemuh dan hampa dengan segala kata-kata menteri yang langsung tidak merasai derita dan kepedihan rakyat. Cukuplah para menteri mengeluarkan statement yang langsung tidak masuk akal malah langsung tidak memberi solusi kepada kehidupan rakyat. Kerajaan selalu sebut bahawa peningkatan harga barang atau tarif elektrik tidak melibatkan semua lapisan namun tahukah kerajaan bahawa kenaikan itu memberi kesan kepada kenaikan kos pengeluaran.

Maknanya, syarikat-syarikat pengeluar terpaksa menanggung kos yang semakin tinggi dan dalam masa yang sama terpaksa menaikkan harga. Hal-hal seperti ini memberi kesan secara berderetan yang bermula dari pengilang sehinggalah isirumah.

Agak terkilan dengan Kementerian Dalam Negeri yang mengatakan himpunan 31 Disember 2013 merupakan himpunan untuk menggulingkan kerajaan. Sebelum itu elok rasanya untuk kita rujuk semula apakah objektif asal perhimpunan ini yang mana bermotifkan membantah kenaikan kos sara hidup secara mendadak.

Sangat hairan dengan kerajaan yang seolah-olah takut dengan bayang-bayang sendiri. Maka, tidak hairanlah kalau Tun Mahathir pernah menyebut, “jangan lama-lama memerintah, nanti akan lahir lebih ramai pemimpin yang bodoh”.

Ketika US berhadapan dengan krisis ekonomi pada tahun 2011, Prof. Laurence Kotlikoff memberi amaran bahawa kedudukan fiskal Amerika terpaksa memilih di antara menjadi sebuah negara yang bankrup, menaikkan cukai atau memotong perbelanjaan.

Belajarlah daripada sikap tamak mereka yang berbelanja besar, defisit besar malah hutang semakin membesar seterusnya rakyat yang semakin sengsara. Menjual aset negara dan berniaga (securities mortgages) atas pajakan pembelian rumah kerajaan sememangnya langkah yang merugikan semua. Bak kata peribahasa Melayu, “tutup lubang, gali lubang” yang mana berhutang untuk membayar hutang, pokoknya masih berhutang.

Akhir kalam, kerajaan perlu kaji balik dengan keputusan untuk menaikkan tarif elektrik, mengenakan GST, menarik subsidi dan pengurusan kewangan negara perlulah cekap dan amanah. Masih ramai rakyat di luar sana yang tidak ada rumah dan tidak ada pendapatan tetap.

Pak-pak menteri perlu fikir apakah nasib golongan-golongan bawahan yang majoriti ini, untuk berhadapan dengan pelbagai peningkatan kos sara hidup. Kerajaan tidak sepatutnya angkuh dengan sokongan 49% rakyat Malaysia dan tidak sepatutnya mengugut rakyat kerana makin kuat kerajaan menekan rakyat, makin kuat rakyat akan bangkit! – 30 Disember, 2013.

Dipetik Dari TheMalaysianInsider.Com

Mujahid berjanji bantu Mat Sabu di Pulau Pinang

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof  berjanji akan membantu Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dalam menjalankan tanggungjawabnya memimpin PAS Pulau Pinang.

Mujahid yang dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya I PAS Pulau Pinang berkata, beliau akan menggunakan segala ilmu yang beliau ada untuk membantu Mohamad  atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dan tidak akan lari daripada tanggungjawab itu.

PAS baru-baru ini mengumumkan pelantikan Mohamad sebagai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang walaupun nama Mujahid disebut-sebut bakal dilantik ke jawatan itu.

Dalam pembentukan kepimpinan negeri, Mujahid dipilih untuk menjadi timbalan kepada Mohamad.

Turut dilantik adalah bekas pesuruhjaya, Datuk Salleh Man  sebagai Timbalan Pesuruhjaya II manakala seorang lagi timbalan pesuruhjaya masih belum dilantik.

Ketika Salleh menjadi pesuruhjaya, Mujahid turut dilantik sebagai timbalan pesuruhjaya namun tokoh yang mempunyai Ijazah Sarjana dalam pengurusan organisasi itu menolak jawatan itu.

“Setelah memikirkan kepentingan PAS di Pulau Pinang, saya akan membantu Mohamad sepenuhnya,” kata Mujahid kepada The Malaysian Insider.

Mohamad pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang sebelum Salleh namun beliau dilihat tidak berjaya dan melepaskan jawatan itu sebelum habis penggalnya.

Kelemahan ketara beliau ketika itu adalah kerana terlalu sibuk berceramah ke seluruh negara dan lemah dalam pengurusan organisasi.

Daripada pengalaman itulah Mujahid yakin beliau boleh membantu Mohamad kali ini dalam menguruskan PAS Pulau Pinang yang mempunyai pelbagai masalah itu.

Menjelang Muktamar PAS ke-59 baru-baru ini, PAS Pulau Pinang membuat satu sidang media yang memberikan kata dua kepada kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng.

Tindakan ini telah mendapat kritikan pelbagai pihak, seolah-olah PAS tidak boleh berbincang dengan rakannya dalam Pakatan Rakyat (PR).

Bagi menghadapi fenomena ini, Mujahid memberikan tiga perkara utama yang akan menjadi fokus beliau untuk PAS Pulau Pinang.

“Pertama, saya akan membantu PAS memperkukuhkan organisasi parti di peringkat negeri dengan memahamkan parti bahawa PAS adalah rakan kongsi kerajaan PR Pulau Pinang.

“Kedua, saya akan membantu memperkukuhkan para pemimpin parti yang memegang jawatan dalam organisasi kerajaan Pulau Pinang daripada ahli majlis kerajaan tempatan, ahli-ahli lembaga anak syarikat kerajaan negeri dan sebagainya.

“Ketiga, memberikan fokus kepada sasaran PAS Pulau Pinang iaitu Melayu Pulau Pinang itu sendiri. Kita perlu memberikan mereka harapan bahawa PAS mampu mengubah nasib mereka jika kita bekerjasama dan berusaha dengan baik,” kata Mujahid.

Nasib Melayu Pulau Pinang menjadi sebutan pelbagai pihak sejak dahulu namun tidak ada sebarang usaha konkrit yang dibuat untuk mengeluarkan mereka daripada keadaan sedia ada.

Akibatnya, sebahagian mereka bersifat pemberontak dan sentiasa kesal dengan layanan ke atas mereka.

“Saya akan memberikan tumpuan kepada mereka sebagai salah satu fokus gerak kerja saya di Pulau Pinang kali ini,” kata Mujahid, anak bekas presiden dan Mursyidul Am PAS, Yusof Rawa. – 30 Disember, 2013.

Dipetik Dari TheMalaysianInsider.Com